25 Jun 2013

18 Anggota Polis Iringi Husam Musa Dari KL Ke Kota Bahru

Seramai 18 anggota dengan lima kereta polis mengiringi Datuk Husam Musa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu malam 22 Jun lalu.

Naib Presiden PAS itu berkata, beliau “dilayan” seperti pembesar pula dengan diiringi begitu ramai anggota polis.

Namun katanya, apa yang lebih pelik apabila polis terbabit melalui jalan yang jauh dengan berpusing ke beberapa jajahan sebelum sampai di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu jam 1.30 pagi.

“Polis buat habis minyak kereta sahaja dengan berpusing-pusing ke merata tempat sebelum sampai di IPD di Pengkalan Chepa,” katanya pada ceramah Free Husam di Pasir Tumbuh malam tadi.

Program tersebut dianjurkan Gabungan Profesional Menuntut Royalti, Hak Pendaratan Minyak dan Gas ke Kelantan (R), diketuai Nazri Deraman.

Hadir sama anggota Exco, Datuk Dr Muhamed Fadzli Hassan, Adun Kelaboran, Mohd Zaki Ibrahim, Adun Pasir Tumbuh, Abdul Rahman Yunus, Adun Tawang, Hassan Mohammad dan aktivis R.

Husam ditahan di Pandan ketika berada di sebuah kedai makan sebelum dibawa ke IPD Ampang. Kemudian pada jam 6 petang dibawa pula ke Kota Bharu dengan kereta.

Beliau ditahan dipercayai ada kaitan dengan ucapannya mengajak orang ramai hadir pada program Blackout di Padang Merbok petang 22 Jun lalu.

Husam juga meluahkan rasa hairan mengapa polis tidak memberitahunya lebih awal untuk datang memberi keterangan di IPD Kota Bharu, sehingga terpaksa pula ditahan di Kuala Lumpur.

Katanya, laporan polis terhadapnya dibuat pada 21 Jun, sedangkan ceramah Blackout 505 diadakan di Ketereh pada malam 12 Jun lalu.

“Lagi pun semasa datang ke Kuala Lumpur pada 21 Jun lalu saya juga bertemu dengan seorang pegawai kanan polis dalam satu penerbangan, tetapi tidak pula diberitahu ada tangkapan hendak dibuat.

“Kalau ada apa-apa masalah polis boleh panggil dan tak payahlah hendak datang tangkap di tempat lain,” ujarnya. -HD


Ribuan sertai majlis Free Husam, Exco dakwa Umno terlibat


Dengan didengari oleh ribuan orang yang memenuhi sebuah dewan di sebuah sekolah, Umno didakwa terlibat dalam insiden penangkapan Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa.

Ketua Penerangan PAS Kelantan yang juga Exco kerajaan negeri, Datuk Dr Mohd Fadhli Hassan mendakwa insiden penahanan Husam merupakan antara permulaan perancangan Umno-Barisan Nasional menjelang Pilihan Raya Umum keempat belas (PRU-14).

Bagi beliau, Ahli Dewan Undangan Negeri Salor itu tidak sepatutnya ditahan.

“Dengan tuduhan yang dibuat ke atas Datuk Husam itu, dia tak sepatutnya ditahan.

Cukuplah dia dipanggil untuk memberi kerjasama kepada pihak polis," katanya.

Ketua Penerangan PAS Kelantan itu bercakap pada majlis ceramah perdana sempena pembebasan Husam di Dewan Sekolah Menengah Ugama (Arab) Taqaddum Ma’rif, Pasir Tumboh malam tadi.

Turut hadir Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) Abdul Latiff Abdul Rahman yang juga Timbalan Speaker Dewan Negeri.

Hadir sama Adun Pasir Tumboh Abdul Rahman Yunus, Adun Kelaboran Mohamed Zaki Ibrahim, Adun Tawang yang juga Pemangku Dewan Ulama PAS Kelantan Hassan Mahmood, Adun Gual Periuk Mohamad Awang.

Ketua Lajnah Guaman PAS Kelantan Hisyam Fauzi, mantan Setiausaha Politik MB Kelantan Annual Bakri Haron dan Presiden Gabungan Profesional Menuntut Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas ke Kelantan (Royalti) Nazeri Deraman turut hadir.

Husam yang ditahan dua hari di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu sejak 23 Jun dan dibebaskan kira-kira 5.

00 petang 24 Jun semalam dibebaskan dengan jaminan RM3,000 serta jaminan polis, dalam tempoh sebulan.

“Sekarang ini setiap pergerakan yang dibuat (badan-badan kerajaan), mesti ada perancangan Umno-BN, tambahan pula dia (Umno-BN) sedar bahawa (prestasinya) pada PRU-14 nanti dia amat teruk.

"Jadi mereka akan buat perancangan daripada awal lagi supaya tidak berlaku sebagaimana pilihan raya baru-baru ini, dia rasa nak mati sangat-sangat.

Jadi ini adalah perancangan dia, ini baru permulaan.

“Jadi ini sangat-sangat merisaukan kita," kata Fadhli.
-HD

1 ulasan:

Awanama berkata...

Membazir wang negara. Ketua penguatkuasaan kerajaan yang bodoh2 lagi kuat bodek perlu meletak jawatan dengan segera. Perompak dan pembunuh takder sampai 18 jaga 1 inikan orang terkenal. saper tak kenal muka Husam?