23 Apr 2013

Sg Acheh: Ahli PAS Perlu Sokong Chegubard


PAS serah DUN Sg Acheh kepada Chegubard PKR

PAS Pulau Pinang akur dengan keputusan menyerahkan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Sungai Acheh kepada PKR seperti mana yang telah diputuskan oleh PAS Pusat hari ini.

Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang Datuk Saleh Man berkata, memandangkan persetujuan telah dicapai oleh kepimpinan tertinggi PAS dan Pakatan Rakyat, maka semua pihak harus akur dengan keputusan tersebut.

Sehubungan itu juga katanya, jentera parti PAS dan PKR harus bergerak bersama dengan satu matlamat iaitu memastikan BN tewas pada Pilihan Raya Umum (PRU13) kali ini.

“Saya sudah jalankan tanggungjawab bersama kepimpinan PAS Negeri untuk memastikan Dun tersebut ditandingi PAS. Tetapi, ia adalah keputusan pihak tertinggi dalam PAS yang tentunya mempunyai pengetahuan yang lebih tinggi,” ujarnya pada sidang media petang ini sambil menasihatkan semua pihak menerima keputusan tersebut.

Bagaimanapun, beliau turut menyeru agar pimpinan PAS Pusat segera turun padang bagi menjernihkan kekeruhan yang berlaku dan menjelaskannya khususnya kepada jentera dan anggota parti di Dun berkenaan.

“PAS Pusat sendiri perlu datang untuk menenangkan keadaan dengan menyatukan semua pihak terutamanya kedua-dua parti gabungan PR ini agar bersama menghalakan senapang ke arah musuh, dan bukan sesama sendiri yang akhirnya membawa kerugian kepada jemaah,” katanya.

Kerusi Dun Sg Acheh adalah antara tujuk kerusi menyaksikan berlakunya pertindihan calon PAS dan PKR pada hari penamaan calon kelmarin.

Pagi semalam, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada satu sidang media mengumumkan cadangan PAS untuk menyerahkan kerusi Dun Sg Acheh kepada PKR.

Dua lagi kerusi yang turut diserahkan kepada PKR adalah Parlimen Labuan dan Dun Panti di Johor.

Sebagai timbal balas, PKR pula dicadangkan agar menyerahkan tiga Dun di Terengganu iaitu Bukit Besi, Seberang Takir dan Kota Putera kepada PAS.

Manakala kerusi Dun Kota Damansara di bawah Parlimen Subang akan dirundingkan antara PAS dan PKR.

Cadangan ini diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Harian PAS yang dipengerusikan oleh Tuan Guru Abdul Hadi sendiri.

Dengan keputusan terbaru itu, kesemua kerusi tersebut bakal menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calaon Pakatan Rakyat dengan calon BN.

9 ulasan:

Amuraria berkata...

BERSATU MENGUBAH DEMI KETELUSAN ! ABU !

Tanpa Nama berkata...

Pecahan undi tetap berlaku kerana semua nama calon tetap ada dalam kertas undi..diharapkan pihak2 yg terlibat turun padang beri pencerahan pada pengundi mana yg patut diundi. Yang penting..ini kalilah.!

Ismail Abd Manan berkata...

kerana mulut badan binasa... muktamar kasi tarok cili sikit...

Tanpa Nama berkata...

Sumbangan kita?

Tanpa Nama berkata...

minta tolong chegu bard dan ustaz yusni turun bersama sama dan jelaskan kepada pengundi kawasan itu,,,,


mara terus mara
rakyat terus sejahtera
jangan lupa minyak kasi turun 7 mei 2013.

chuta baling berkata...

Nasib baik nasi tak jadi bubur lagi. Matlamat Kita nak jatuhkan bn. Jgn Ada agenda pentingkan diri sendiri . Berlapang dada . Buang yg keroh ambil yg jernih.

Tanpa Nama berkata...

Kami sokong calon Pakatan Rakyat, Putrajaya insyaallah kita yang punya

Tanpa Nama berkata...

Walau bagaimana pun nama pada kertas undi tetap ada. Ini merupakan perkara bodoh dr pihak kepimpinan. Masing2 ada ego. Andai kata kekalahan terjadi disebabkan berlakunya pecahan undi, kami lah yang paling kecewa dgn sikap anda

Tanpa Nama berkata...

Umat umat PAS perlu lebih banyak membaca dan ber pengetahuan untuk matang dalam politik dan pemikiran mereka.

Harapan agar umat umat PAS tidak membuta tuli mengikut keputusan kepimpinan PAS cawangan , negeri , atau pun Pusat kerana yang ada kini tidaklah bijak tahap mana pun.

Memalukan aje bila buka mulut , sebaiknya duduk belakang aje biarkan Husam Musa , Khalid Samad , Mohamad Sabu , Salahuddin Ayob jadi kepimpinan tinggi PAS adalah terbaik.

Umat umat PAS ini pun kebanyakan Melayu , dan rata rata Melayu in banyak yang masih ketinggalan dan NGOK macam puak DUMBNO juga....itu yang sedihnya.