17 Jun 2012

Mufti Perlis: Mengundi Pada Pilihanraya Itu Wajib Untuk Beri Kekuatan Kepada Umat Islam

Haji-PRU: Usah Wujudkan Fitnah, Keliru

Shah Alam – Mengadakan pilihanraya umum dalam musim ibadat haji adalah tidak wajar kerana ia boleh mendatangkan fitnah kepada umat Islam.

Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya berkata, mengundi pada pilihan raya wajib dan perlu diutamakan untuk beri kekuatan kepada umat Islam.

Menurutnya, umat Islam akan terus lemah politiknya jika kerajaan mengambil tindakan tidak adil secara menyeluruh kepada mereka.

“Janganlah mewujudkan fitnah dan kekeliruan kepada umat Islam dalam soal ibadat mereka kerana kecelaruan dan perangai kurang cerdik orang-orang politik,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurut beliau, semua pihak perlu menunggu bilakah Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) diumumkan dahulu sebelum mempersoalkan mengenai hukum menangguhkan haji jika waktu PRU13.

“Jika benar ia diumumkan dalam musim haji nanti, baru kita menyatakan hukum kerana bercakap mengenai hukum terhadap perkara yang belum berlaku agak kurang cerdik dan boleh mendatangkan huruhara,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid kelmarin bahawa membatalkan niat menunaikan fardu haji kali pertama adalah haram.

Sebelum ini, Mohd Tamyes berkata, jika dibatalkan niat itu hanya kerana perkara duniawi, sekiranya dia meninggal dunia sebelum sempat menunaikan haji maka matinya dalam keadaan jahiliah.

Mohd Tamyes berkata demikian susulan kenyataan Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang mahu ahlinya (Pas) menangguhkan niat menunaikan haji pada tahun ini bagi memfokuskan kepada PRU13.

Bagaimanapun, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, kelmarin, menegaskan haji bukan ibadat yang perlu disegerakan dan meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya memberikan jaminan tidak akan mengadakan pilihan raya pada musim haji kerana ibadat itu sangat penting bagi umat Islam. -SH

Nik Aziz setuju penyokong PAS tangguh haji

Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bersetuju jika penyokong parti PAS membatalkan niat untuk menunaikan haji jika pilihan raya umum ke-13 diadakan pada musim haji tahun ini.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak mengeluarkan arahan rasmi supaya mereka berbuat demikian, kerana ia terserah kepada pucuk pimpinan parti.

Beliau berkata Islam tidak mewajibkan mereka pergi mengerjakan Haji setelah nama mereka tersenarai sebagai jemaah haji oleh Tabung Haji pada tahun berkenaan.

"Malah, Nabi Muhammad sendiri menunaikan haji pada tahun ke-10, sedangkan ayat mengenai wajib haji turun pada tahun ke enam," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program MASS CPR (cardiopulmonary resuscitation) peringkat Negeri anjuran St John Ambulans Malaysia (SJAM) di Kota Baharu, semalam.

Nik Abdul Aziz berkata ibadah haji boleh dilakukan bila-bila masa, walaupun ia wajib dan menjadi rukun Islam kelima.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Tuan Ibrahim Tuan Man, dalam portal propembangkang, meminta anggota PAS yang terlibat secara langsung dengan pilihan raya supaya menangguhkan ibadah haji.

Mengenai kerajaan PAS Kelantan menarik balik larangan wanita menyertai tilawah Al-Quran selepas lebih 20 tahun larangan itu dikuatkuasakan, Nik Abdul Aziz berkata perkara itu boleh berubah bergantung kepada keadaan semasa kerana kebanyakan umat Islam kini sudah memahami mengenai agama dan adat sopan dalam masyarakat.

Kerajaan PAS Kelantan mula melarang wanita menyertai tilawah Al-Quran di semua peringkat selepas mengambil alih teraju pentadbiran negeri ini pada 1990.

Ia menimbulkan isu sehingga ia dibantah oleh Persatuan Qari dan Qariah negeri ini yang meminta kerajaan negeri mengkaji semula larangan itu.
- Bernama


6 ulasan:

Abu berkata...

Mufti Selangor kata haram, Mufti Perlis kata wajib.

Apa kata JAKIM & majlis fatwa negeri & majlis fatwa kebangsaan ?

Tanpa Nama berkata...

Tak kan nak pilih dalam bulan haji? Banyak lagi bulan lain boleh diadakan PRU 13.Bulan haji penting kpd umat Islam.

Ridzuans berkata...

Kalo setakat nk tnya Majlis Fatwa Kebangsaan baik x payah.dh tau nk kluar fatwa apa. Pastu auta ckp bukan fatwa tp penjelasan.

Tanpa Nama berkata...

kewajipan umat islam tumbangkan pemerintah zalim PRU13

Tanpa Nama berkata...

Pilih pemimpin yang takutkan Allah, betul kerja buatnya di dunia sebagai jalan menuju akhirat.Bukannya kaki auta.

Tanpa Nama berkata...

Kalau adakan pilihan raya pada musim haji, bermakna kerajaan melakukan kezaliman kepada rakyat beragama Islam.