17 Jun 2012

Agensi Kerajaan Didakwa Kenakan Bayaran Untuk Borang BR1M

Kota Galanggi – Dua penduduk Orang Asli Kampung Sematau, dekat sini, mendakwa mereka dikenakan bayaran RM100 oleh kakitangan sebuah agensi kerajaan hanya untuk mengisi dua keping borang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Gambar: Rahmat (kiri) bersama beberapa penduduk menyatakan kekesalan terhadap penipuan pihak ketiga hingga nama mereka tercicir daripada menerima BR1M.

Rahmat Abdullah, 37, berkata, lelaki itu turut mengenakan bayaran tambahan sebanyak RM20 kepada menantunya sebagai kos pos borang tersebut ke Kuala Lumpur.

Menurutnya, dia menjelaskan bayaran itu kerana menyangka kos tersebut sudah ditetapkan untuk perkhidmatan berkenaan.

“Lebih mengecewakan saya dan menantu tidak terpilih sebagai penerima bantuan RM500 tersebut selepas membuat permohonan.

“Saya berasa tertipu dan terus menunggu walaupun pemberian BR1M dilakukan fasa demi fasa kepada penduduk di bawah Dewan Undangan Negeri Pulau Tawar,” katanya.

Dia berkata, ramai penduduk kampung terpilih menerima BR1M kecuali dia dan menantu yang masih menunggu untuk fasa berikutnya.

“Saya bimbang berlaku keciciran lalu sekali lagi ke pejabat tersebut bersama menantu untuk mendapatkan borang dan mengisi permohonan baru.

“Bagaimanapun kami dikenakan bayaran tambahan RM10 bagi setiap borang diisi ketika itu,” katanya.

Rahmat berkata, namun sehingga kini mereka berdua belum berpeluang mendapatkan RM500 tersebut.

“Kami tertipu dan kesal kerana ada pihak memanipulasikan keadaan dengan menindas orang lain untuk mendapatkan wang dengan mudah,” katanya.

Dia berkata, kini semua fasa pemberian BR1M sudah selesai, namun dia, menantu dan beberapa penduduk Orang Asli lain masih gagal menerima bantuan tersebut.

“Saya kesal kerana kami semua tercicir daripada senarai penerima BR1M. Saya terpaksa menyara seramai 14 anak dan berharap bantuan itu dapat meringankan beban keluarga.

“Lebih mengecewakan apabila wujudnya pihak ketiga yang mengambil kesempatan terhadap kami dengan mengenakan bayaran sedangkan perkara itu tidak berlaku kepada pemohon BR1M di kawasan lain,” katanya.

“Saya kesal kerana kami semua tercicir daripada senarai penerima BR1M. Saya terpaksa menyara seramai 14 anak dan berharap bantuan itu dapat meringankan beban keluarga.

“Lebih mengecewakan apabila wujudnya pihak ketiga yang mengambil kesempatan terhadap kami dengan mengenakan bayaran sedangkan perkara itu tidak berlaku kepada pemohon BR1M di kawasan lain,” katanya. -SH

Tiada ulasan: