26 Apr 2012

Kes Remaja Dibunuh & Dibakar: Nor Ain Dibunuh 2 Minggu Lalu

Kota Bharu – Nor Ain Shafnie Mohd. Azizi, 16, yang rangka mayatnya ditemui di ladang kelapa sawit di Jeram Tekoh, Gua Musang dekat sini pada Isnin lalu dipercayai telah dibunuh dan dibakar dalam tempoh dua minggu sebelum rangka mangsa ditemui.

Gambar: Nor Ain suka memakai pakaian seperti lelaki.

Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Saiful Bahri Abdullah berkata, polis masih menunggu laporan bedah siasat untuk mengetahui sama ada gadis tomboi itu dibakar hidup-hidup atau mangsa dibunuh terlebih dahulu sebelum dibakar.

“Setakat ini, kita mendapati Nor Ain dan motosikal miliknya dibakar. Polis menemui rangka motosikal mangsa yang hangus dan tulang-tulang manusia termasuk beberapa barangan peribadi mangsa di lokasi kejadian,” kata beliau ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Menurut beliau, polis masih menyiasat motif pembunuhan itu dan tidak menolak kemungkinan pembunuhan mangsa ada kaitan dengan dadah dan orang yang dikenalinya.

Kosmo! semalam melaporkan misteri kehilangan seorang remaja tomboi sejak 21 hari lalu terungkai apabila rangka Nor Ain ditemui di ladang kelapa sawit di Jeram Tekoh oleh seorang pemandu lori yang melalui kawasan itu.

Nor Ain yang sudah tidak bersekolah, sebelum ini dilaporkan tidak pulang selepas keluar dari rumahnya sejak 3 April lalu.

Jarak rangka Nor Ain ditemui dengan rumahnya kira-kira 500 meter.

Ekoran penemuan itu, enam lelaki dan dua wanita berusia 17 hingga 30 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

Mengulas lanjut, Saiful Bahri berkata, polis dalam proses menahan beberapa suspek lain bagi membantu siasatan pembunuhan Nor Ain. -kosmo


Laporan sebelum ini
klik untuk baca





Tiada ulasan: