9 Apr 2012

[Bergambar] GMI Berarak Ke Parlimen Tuntut Najib Tunaikan Janji Hapuskan ISA

Gerakan Mansuh ISA (GMI) mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak supaya melaksanakan janji untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) serta merta seperti yang diumumkan pada 15 September tahun lalu.

Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, keutamaan sekarang adalah membatalkan ISA yang digunapakai sehingga mengakibatkan tahanan terpaksa menunggu begitu lama tanpa mengetahui status bersalah atau tidak.

Katanya, jika penggubalan akta baru bagi menggantikan akta sedia ada masih mengekalkan tindakan tahan tanpa bicara, beliau menyifatkan kerajaan sekadar melaungkan ‘cakap-cakap kosong semata-mata’.

Hampir 50 orang penyokong hadir ke Parlimen bagi menyerahkan memorandum bertajuk Janji Ditepati Atau Mungkir Janji? dengan tujuh tuntutan yang perlu dilaksanakan oleh Perdana Menteri dan kerajaan.

Tujuh tuntutan tersebut adalah :

* Segera memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Ordinan Darurat 1969 (EO) dan Akta Dadah Berbahaya (DDA) 1985-Langkah-langkah Pencegahan Khas

*Melupakan cadangan mewujudkan undang-undang baru yang mempertahankan konsep tahan tanpa bicara

*Melaksanakan rundingan awam yang benar dan munasabah terhadap penggubalan undang-undang baru yang melibatkan semua pihak

*Menubuhkan satu Suruhanjaya Kebenaran dan Rekonsiliasi bagi menegakkan keadilan untuk setiap tahanan ISA dan membolehkan pihak yang bertanggungjawab dihadapkan ke muka pengadilan.

*Menutup segera Kem Tahanan Kemunting ( KEMTA) dan diwartakan sebagai Warisan Negara atau muzium seperti mana Pulau Robben, Afrika Selatan.

*Membayar pampasan kepada semua mangsa ISA setara dengan penyeksaan dan penderitaan yang dialami oleh tahanan dan ahli keluarga

*Mematuhi piagam hak asasi manusia antarabangsa dalam soal berkaitan dengan aktiviti anti-keganasan dan membentuk mekanisme baru menangani keganasan tanoa menjejaskan hak-hak asas dan prinsip keadilan. Oleh itu, kerajaan Malaysia seharusnya bersedia untuk menandatangani dan meratifikasi ‘International Convenant on Civil and Political Rights (ICCPR) dan Convrntion Against Torture and Other Cruel, Inhuman or Degrading Treatment or Punishment (CAT)’
.

Tegas beliau, kewujudan ISA akan menyukarkan negara untuk mencapai status negara maju dan akan memberikan kesan kepada ekonomi khususnya pelaburan asing dan masa depan rakyat.

“GMI berpandangan kegagalan PM dalam mematuhi janji untuk memansuhkan ISA akan mencalar imej dan kredibiliti beliau.

“Malah lebih buruk lagi akan mencemar rasa hormat masyarakat antarabangsa terhadap Malaysia dalam melindungi hak asasi manusia,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mewakili pihak pembangkang menerima memorundum yang diserahkan oleh Pengerusi GMI namun tiada wakil penerima daripada pihak kerajaan.

Anwar dalam reaksinya menyatakan sokongan terhadap pemansuhan ISA dan akan membawa perkara ini untuk dibahaskan di Parlimen.

Turut hadir sama memberikan sokongan adalah MP Pakatan Rakyat, Fuziah Salleh, Nurul Izzah, Dr Siti Mariah Mahmud, Michael Jeyakumar dan Datuk Mahfuz Omar.














SUMBER GAMBAR : Facebook JKKK Fan Club



kredit: Tinta Hijau Dari Kaki Bukit

ISA akan dimansuhkan terus: Najib

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sebentar tadi mengumumkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Akta Buang Negeri 1959 akan dimansuhkan terus.

Sehubungan itu, Najib berkata dua akta baru yang sesuai akan digubal bagi mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan perbuatan jenayah untuk memelihara ketenteraman dan keselamatan awam.

Katanya, akta baru itu bermatlamat untuk memelihara keamanan, kesejahteraan, kesentosaan serta kerukunan hidup rakyat dan negara.

"Seperti mana yang saya janjikan dalam ucapan sulung saya semasa mula-mula mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada 3 April 2009, bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (yakni ISA) akan dikaji secara komprehensif.

"Sehubungan dengan itu, suka saya mengumumkan pada malam yang bersejarah ini, bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (yakni ISA) akan dimansuhkan terus...

"Dalam konteks ini juga, selain memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960, Kerajaan juga akan memansuhkan Akta Buang Negeri 1959 di samping mengkaji semula beberapa undang-undang lain bagi memastikan ia memenuhi kehendak semasa," katanya dalam Perutusan Khas Hari Malaysia di Angkasapuri.

Ucapan beliau itu disiarkan secara langsung oleh RTM.

Sehubungan itu, Najib berkata kerajaan tidak akan teragak-agak untuk meminda atau memansuhkan undang-undang yang tidak lagi relevan.

Katanya, kajian semula komprehensif akan membabitkan Akta Kediaman Terhad 1933 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang mana prinsip pembaharuan tahunan akan dihapuskan dan digantikan dengan pengeluaran lesen sehingga dibatalkan.

Beliau berkata, kerajaan juga akan mengkaji semula seksyen 27 Akta Polis 1967 dengan mengambil kira peruntukan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan mengenai kebebasan berhimpun dengan prinsip menentang sekeras-kerasnya demonstrasi jalanan.

"Namun, kebenaran berhimpun diberi selaras dengan kaedah-kaedah yang akan ditetapkan kelak disamping mengambil kira norma-norma di peringkat antarabangsa," katanya
. -BH 2011/09/15



1 ulasan:

Awanama berkata...

Umno ni kalau berjanji, janji dia orang ni macam "janji Munafik"

Kata nak hapuskan ISA, tapi....tak tunaikan.

Yg mereka buat ialah mengubah nama saja, tapi, hukumannya tetap sama.

Aku confirm tak undi BN lagi.
Melayu Munafik