21 Mac 2012

"Penculik" Nur Fatihah Hubungi Ibunya Nyatakan Fatihah Selamat

Pelajar disyaki diculik dikatakan selamat

KUANTAN - Seorang pelajar, Siti Nur Fatihah Mahadi, 15, yang dilaporkan diculik pada Ahad lepas dipercayai selamat dan berada di rumah ibu angkat seorang kawannya.

Menurut ibu remaja berkenaan, Nor Mala Mohd Lazin, 34, beliau menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang tidak dikenali memaklumkan anaknya itu kini berada di rumah ibu angkat kawan anaknya itu.

"Saya mendapat panggilan telefon pada kira-kira 2 pagi dan meminta saya dan keluarganya usah bimbang. Pada mulanya lelaki itu menyamar memberitahu dia pelajar tingkatan empat satu sekolah dengan Fatihah, namun apabila didesak dia akhirnya memberitahu dia adalah kawan kepada Fatihah," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di sini hari ini.

Nor Mala berkata lelaki itu kemudian memaklumkan bahawa Fatihah akan pulang ke rumah dalam masa terdekat setelah kehilangannya kini telah menjadi kes polis.

"Saya sempat memujuk lelaki itu malah mendakwa mengenalinya supaya memaklumkan di mana Fatihah tinggal.

"Dalam perbualan kami selama dua jam itu, lelaki itu yang berusia 20-an turut memberitahu dia serba salah untuk berterus-terang kerana dia juga ada kes polis dan tak mahu ada apa-apa rekod lagi," katanya.

Ketua Polis Kuantan ACP Mohd Jasmani Yusoff berkata kes itu masih dalam siasatan polis. - Bernama

Dengki punca anak dilarikan

NORMALA memujuk Muhammad Syahmi Aiman dan Siti Nurul Aishah ketika ditemui di rumah mereka di Kuantan, semalam.


Ibu terima panggilan gadis selamat

KUANTAN: Ibu kepada pelajar Tingkatan Tiga, Siti Nurfatihah Mahadi mengesyaki perasaan dengki dan cemburu menjadi punca anaknya dilarikan dua lelaki dan seorang wanita ketika membeli kad tambah nilai prabayar di premis berhampiran rumah di Taman Tas, Ahad lalu.

Ibu mangsa, Normala Mohd Lazin, 33, berkata beliau dihubungi lelaki berusia 20-an yang juga kenalan anaknya jam 2 pagi semalam, memaklumkan anaknya selamat.

“Saya kenal lelaki terbabit kerana dia pernah datang ke rumah. Dia memaklumkan ada seorang perempuan memberitahunya anak saya selamat dan berada di rumah ibu angkat dipercayai salah seorang individu yang mengambilnya.

“Namun lelaki terbabit enggan memberitahu di mana Siti Nurfatihah berada sekadar memaklumkan anak saya mahu pulang ke rumah hari ini (semalam), tapi sehingga kini anak saya tetap belum pulang,” katanya ketika ditemui, petang semalam.

Dalam kejadian jam 3 petang Ahad lalu, Siti Nurfatihah, 15, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Pandan, di sini keluar ke sebuah premis yang terletak 100 meter dari rumahnya untuk membeli kad tambah nilai dengan ditemani dua adiknya iaitu Muhammad Syahmi Aiman dan Siti Nurul Aishah, masing-masing berusia 11 tahun sebelum dipercayai diculik suspek menaiki sebuah kereta jenis Honda berwarna ungu.

Selain itu, Normala berkata, dalam perbualan telefon hampir dua jam, beliau turut meminta lelaki terbabit untuk memujuk pihak yang mengambil Siti Nurfatihah memulangkan anaknya semula.

“Mungkin kerana dengki menjadi punca anak saya dilarikan, malah lelaki terbabit berkata perempuan yang mengetahui di mana anak saya berada marah apabila kes ini tersebar selain menjadi kes polis.

“Saya mengesyaki ada pakatan antara lelaki ini dan perempuan terbabit yang seakan-akan menyembunyikan sesuatu sehingga enggan memaklumkan di mana Siti Nurfatihah berada,” katanya.

“Kami sekeluarga sangat tertekan dan runsing memikirkan bagaimana keadaan Siti Nurfatihah,” katanya.

Suri rumah terbabit menolak andaian sesetengah pihak yang mendakwa anaknya sengaja melarikan diri mengikut teman lelaki dan bukan diculik.

“Saya sangat rapat dengannya dan tahu sikapnya malah setahu saya, Siti Nurfatihah tiada teman lelaki cuma dia ramah dan mempunyai ramai kenalan,” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff ketika dihubungi berkata siasatan berhubung kejadian berkenaan masih diteruskan, termasuk mengambil keterangan lanjut dua adik mangsa yang juga individu terakhir dilihat berada bersama mangsa sebelum kejadian.
-BH


Laporan sebelum ini
klik untuk baca




Tiada ulasan: