21 Mac 2012

Pelajar Yang Pandai Cakap Korea & Mandarin Kini Bertutur Loghat Terengganu

Besut - Pelajar perempuan Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nasiruddin Shah, Noraini Ismail, 17, yang menggemparkan negara sebelum ini, kerana boleh bertutur bahasa Korea selepas kemalangan jalan raya kini bertutur loghat Terengganu pula.

Sebelum ini, bahasa pertuturan hariannya adalah bahasa Melayu baku pelat Cina selain langsung tidak boleh bercakap bahasa ibundanya, iaitu loghat Kelantan.

Selepas kemalangan jalan raya pada Januari lalu, dia juga boleh bercakap bahasa Cina selain Korea pada masa tertentu.

Bagaimanapun Sinar Harian yang mengunjungi rumahnya semalam terkejut, apabila mendapati kini dia bertutur loghat Terengganu bukan seperti sebelum ini.

Menurut Noraini, pe­rubahan itu berlaku kira-kira jam 3 petang Ahad lalu, ketika dia sedang bercakap dengan rakan di halaman rumah.

“Sebaik bangun dari tidur selepas solat Zuhur, saya duduk berbual dengan beberapa orang kawan dan secara tiba-tiba saya bercakap loghat Terengganu seperti ikan disebut ‘ikang’, makan menjadi ‘makang’. Pada mulanya saya bertutur pelat Cina dan selepas berubah itu sehinggalah ke hari ini saya bercakap loghat Kuala Terengganu,” katanya yang mengejutkan rakannya ketika itu.

Berlaku secara tiba-tiba

Noraini memberitahu, sekali sekala ada perkataan pelat Cina terkeluar ketika dia bercakap.

Namun, sejak lebih sebulan lalu, dia tidak lagi dapat bertutur dalam bahasa Korea dan Cina.

Dalam pada itu, masalah sakit kepala yang dihadapinya sudah berkurangan selepas mengambil ubat secara berjadual namun kelmarin dia terpaksa ke Klinik Kesihatan Gong Medang tidak jauh dari rumahnya kerana mengalami masalah sakit pinggang namun kini sudah sembuh.

Sementara itu, ibunya, Mesina Daud, 48, turut terkejut dengan perubahan pertuturan anaknya yang berlaku secara tiba-tiba.

Kata Mesina, Noraini sebelum ini langsung tidak pernah bercakap loghat Terengganu malah dia boleh dikatakan tidak pandai bertutur loghat itu.

“Pada tahun lepas, dia pernah tinggal bersama kakaknya selama empat bulan di Kuala Terengganu tetapi ketika itu dia cakap loghat Kelantan,” katanya yang kebingungan.

Boleh disembuhkan: Sharhan

Pendakwah bebas yang juga ahli perubatan alternatif Islam terkenal, Sharhan Shafie menyifatkan, kejadian Noraini boleh bertutur banyak bahasa secara tiba-tiba adalah perkara tidak mustahil berlaku.

Katanya, kejadian seumpama itu dianggap pelik kerana jarang berlaku di negara ini tetapi di Mesir ia sering terjadi.

Beliau mendakwa, tidak mustahil gadis itu boleh bertutur bahasa Korea disebabkan jin Korea telah meresap masuk ke dalam tubuhnya.

“Mungkin jin Korea yang ‘singgah’ di negara ini telah masuk ke tubuh sebaik dia kemalangan dulu kerana jin Korea lebih maju berbanding jin di negara ini,” dakwanya.

Sharhan berkata, beliau pernah merawat pesakit di Korea dan jin di negara itu lebih mudah memasuki tubuh manusia berbanding di negara ini.

Malahan katanya, jin boleh bergerak dari suatu tempat dalam tempoh yang amat singkat dan tidak mustahil apa yang berlaku kepada Noraini akibat gangguan jin itu.

“Al-Quran ada menyebut jin ada kalangan Islam, kafir dan mereka berpuak-puak serta berbangsa-bangsa,” katanya.

Sementara itu, dia menasihati Noraini supaya tidak bimbang dengan kejadian tersebut kerana dengan izin ALLAH SWT ia boleh disembuhkan.

Beliau turut menawarkan khidmat rawatan Islam secara percuma kepada gadis itu sekiranya keluarga pelajar itu bersetuju. -SH

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Ade tak youtube ttg budak ni?
Sbb ni kes spesial, kena le dirakamkan.
Mudah2an beliau & keluarganya dapat perhatian & bantuan mana2 yg patut, & semakin dekat dgn Allah.