9 Mac 2012

Dana RM1 Juta: Dr Jeyakumar Dibenar Cabar Keputusan Mahkamah Rayuan

Mahkamah Persekutuan di Putrajaya semalam memberi kebenaran kepada Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr Michael Jeyakumar Devaraj mencabar merit yang berkaitan dengan 'prerogatif pengurusan' berhubung keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak semakan kehakiman berhubung dana daripada Peruntukan Khas Kawasan.

Keputusan itu dibuat sebulat suara oleh panel lima hakim yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tan Sri Arifin Zakaria.

Empat hakim yang lain dalam panel itu ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum dan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Abdull Hamid Embong, Datuk Suriyadi Halim Omar dan Datuk Hasan Lah.

Dr Jeyakumar diwakili oleh peguam Datuk S.Ambiga manakala Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan yang mewakili Peguam Negara.

Pada 10 Oktober tahun lalu, tiga panel Hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Wira Low Hop Bing memutuskan bahawa Dr Jeyakumar tidak boleh mencabar keputusan agensi-agensi kerajaan yang menolak permohonannya bagi dana daripada Peruntukan Khas Kawasan untuk pelbagai projek di kawasannya.

Panel itu mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memberikan kebenaran semakan kehakiman kepada Dr Jeyakumar dan membatalkan permohonan semakan kehakiman itu.

Pemimpin Parti Sosialis Malaysia memohon kebenaran untuk memulakan satu prosiding semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Pengarah Pejabat Kemajuan Perak menolak permohonan mendapatkan dana untuk digunakan sebagai sumbangan kepada SMJK Shin Chung, SJK Methodist dan Rumah anak Yatim Nurul Ihsan serta dana bagi projek kecil untuk faedah kampung-kampung Orang Asli.

Dr Jeyakumar menamakan Ketua Pengarah Unit Pelaksanaan dan Penyelarasan Jabatan Perdana Menteri, Pengarah Jabatan Pembangunan Perak dan kerajaan sebagai responden dalam permohonan semakan kehakiman yang difailkan pada 29 Oktober, 2010.

Jeyakumar menuntut antara lain perisytiharan bahawa peruntukan khas itu diberi kepada semua Anggota Parlimen secara sama rata, mengikut Perkara 8 (1) Perlembagaan Persekutuan. -mk



Laporan sebelum ini
klik untuk baca






Tiada ulasan: