9 Mac 2012

[Bergambar & Video] Hujan Berterusan 4 Jam 45 Minit Banjirkan KL

Kuala Lumpur: Banjir kilat di sekitar ibu negara kelmarin berpunca daripada jumlah hujan yang tinggi berikutan hujan turun selama empat jam 45 minit mulai jam 6.45 petang, kata Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Beliau berkata, laporan Jabatan Meteorologi Malaysia menunjukkan hujan berterusan sehingga 11.30 malam itu menyebabkan paras air di beberapa kawasan di sepanjang Sungai Klang mencecah paras amaran.

“Kesan hujan lebat itu mengakibatkan 15 kawasan dilanda banjir kilat apabila dinaiki air antara 0.3m dan 1.2m, kecuali di Kampung Periuk, Kampung Baru yang mencatat paras air sehingga 2.1m,” katanya dalam kenyataan semalam.

Antara kawasan terbabit ialah Lorong Rhu Pertama dan Persiaran Madge di Ampang Hilir; Projek Perumahan Rakyat Hiliran Ampang, Lorong Kiri 14 dan 15 serta Jalan Keramat 1 dan 2 di Datuk Keramat; Jalan Limau Kasturi, Bangsar; Jalan Liew Weng Chee Off Jalan Yap Kwan Seng; Jalan Melaka; dan Kampung Pasir Baru, Jalan Klang Lama.

Kawasan lain yang terjejas ialah Jalan Travers, Brickfields, Jalan Bandar, Jalan Loke Yew, Jalan Sultan Salahuddin dan Jalan Munshi Abdullah.

Raja Nong Chik berkata, hanya satu kawasan membabitkan pemindahan sementara iaitu di Kampung Periuk, Kampung Baru yang dinaiki air sedalam 2.1 meter, dengan 784 penduduk membabitkan 174 keluarga dipindahkan ke dewan Kelab Sultan Sulaiman.

Mereka dibenar pulang pada jam 12.30 tengah malam selepas banjir mulai surut.

“Tinjauan dan bancian petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mendapati lebih 16 kenderaan terperangkap dan rosak akibat banjir kilat berkenaan,” katanya. - Bernama

Banjir: 400 mangsa dipindah ke surau

AMPANG, 8 Mac: Penduduk kawasan Ampang yang kediaman mereka terlibat dengan banjir kilat sejak petang semalam ditempatkan sementara di Surau Insaniah di Desa Lembah Permai, di Kampung Lembah Jaya Utara.

Menurut Adun Lembah Jaya, Tuan Khasim Abdul Aziz (gambar), sehingga kini hampir 400 orang sudah dipindahkan ke pusat sementara itu.

"Semua mangsa yang terlibat kita pindahkan ke sini buat sementara waktu. Semua makan minum kita sediakan di sini.

"Cuma masalah besar ketika ini adalah bekalan air bersih paip Syabas tak ada," katanya yang juga Yang Dipertua PAS Ampang yang berada di sini sejak malam tadi.

Setakat ini katanya, mereka terpaksa menggunakan bantuan lori tangki bagi menghantar air bersih ke kawasan pemenpatan tersebut.

Pusat penempatan sementara itu dikendalikan bersama Kerajaan Negeri Selangor, Pusat Khidmat Masyarakat Dun Lembah Jaya dan anggota Unit Amal PAS.

Hujan lebat dan ribut selama beberapa jam yang melanda Lembah Klang sejak petang semalam menyebabkan beberapa kawasan di ibu negara mengalami banjir kilat, pokok tumbang serta kejadian tanah runtuh kecil.

Selain Ampang, kawasan yang teruk dinaiki air antara setengah meter dan semeter, termasuk Kampung Melayu, Subang, Jalan Peel dan Kampung Baru, Keramat Luar, Bangsar dan Jalan Syed Putra.

Manakala tanah runtuh berskala kecil turut berlaku di kawasan cerun bukit di Apartmen Spring Villa, Ukay Perdana, Ampang malam tadi.

Satu lagi kejadian tanah runtuh dilaporkan berlaku di kawasan cerun di Jalan Kampung Atap dengan seorang mangsa yang terperangkap dalam kenderaannya berjaya dikeluarkan bomba.

Selain itu, kejadian pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail di sini menghempap sebuah bas yang diparkir berhampiran lampu isyarat.
-HD


Sumber foto: NST, HD, HM













Tiada ulasan: