23 Mac 2012

Badan Bayi 18 Bulan Terlipat Dua Dilenyek Kereta Ibu Sendiri

Badan terlipat dua

JOHOR BAHRU: “Jantung saya hampir terhenti apabila melihat dia terperosok di bawah kereta dan tidak menyahut panggilan saya,” kata Salinda Kamisan, 38, menceritakan kemalangan menimpa anak bongsunya, Mohd Ilman Sadiq Mohd Abdul Hakim, 18 bulan, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, kanak-kanak yang mesra dengan panggilan Ilman itu terperosok di ruang bawah kereta ibunya selama hampir lima minit sebelum berjaya dikeluarkan, namun cedera parah dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini.

Salinda berkata, pemeriksaan doktor mendapati anak keempatnya itu mengalami kecederaan dalaman yang serius di bahagian paru-paru apabila tubuhnya terlipat dua akibat insiden berkenaan.

Menurutnya, kejadian berlaku apabila Proton Iswara itu mengundur tanpa disengajakan selepas kakak Ilman, Norizati Nafisah, 14, tertolak brek tangan ketika ingin mengeluarkan makanan daripada dalam kereta.

Sebelum kejadian, kereta itu diparkir di depan rumah keluarga berkenaan di Jalan Cengal 3, Taman Desaru Utama, Bandar Penawar, Kota Tinggi. -hm

‘Saya tiada niat cederakan adik’

KOTA TINGGI: “Ibu menyuruh saya mengambil kotak piza di dalam kereta dan ketika itu saya sedar adik bermain di kawasan berhampiran.

“Tapi saya tak tahu bagaimana kereta itu boleh bergerak dan mengundur sehingga melanggar adik,” kata Nur Izati Nafisah, 14, kakak Mohd Ilman Sadiq Mohd Abd Hakim, 18 bulan, yang terperosok di bawah kereta milik ibunya petang kelmarin.

Nur Izati berkata , kotak makanan segera itu berada di tempat duduk belakang namun dia mengambilnya dari arah tempat duduk pemandu.

“Saya tidak menyangka kereta itu boleh berundur dan merempuh adik yang berdiri di belakang kereta. Saya terus terpaku selepas kereta itu berundur sehingga melepasi pagar dan adik berada di bawahnya,” katanya yang ditemui di rumahnya di Taman Desaru Utama, Bandar Penawar dekat sini, semalam.

Nur Izati yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Penawar berkata, keadaan menjadi lebih cemas apabila jiran dan orang ramai berusaha untuk mengeluarkan Ilman tetapi gagal, hinggalah mereka sepakat mengangkat kereta bagi mengeluarkan adiknya itu.

“Saya lihat ibu, adik dan beberapa jiran lain menangis menyebabkan saya lebih panik, namun hakikatnya saya tidak berniat mengapa-apakan adik apatah lagi menyebabkan dia cedera.

“Saya amat menyayanginya lebih-lebih lagi dia adalah adik bongsu yang manja dan bijak,” katanya.

Jirannya, Roslilawati Supardi, 42, berkata, ketika kejadian, dia mengemas halaman rumah dan melihat sendiri bagaimana Ilman dirempuh kereta milik ibunya itu sebelum terperosok di bawah kereta.

“Saya menjerit sekuat hati sebelum beberapa jiran bergegas datang bagi membantu mengeluarkan Ilman,” katanya. -hm


Salinda Kamisan menunggu anaknya Mohd Ilman Sadiq, 18 bulan, yang cedera parah tersepit di bawah kereta bapanya di Taman Desaru Utama, Kota Tinggi, ketika dirawat di Hospital Sultanah Aminah, semalam.

RAWAT...Ilman yang parah bahagian paru-paru kini dirawat di HSA.

DISINI...jiran, Roslilawati Supardi, 42, menunjukkan lokasi budak terperosok di bawah kereta.


1 ulasan:

..cik faTiha Tea'ah... berkata...

semoga adik ilman sembuh dan kuat