4 Feb 2012

Suami Mengamuk Langgar Kereta 40 Kali Dengan Lori Kerana Isteri Curang

Lenyek kereta lepas geram

SUNGAI BULOH: Seorang suami yang cemburu kerana mengesyaki isterinya menjalin hubungan sulit dengan lelaki lain bertindak ‘gila’ apabila memandu lori tiga tan lalu merempuh dan melenyek kereta isterinya yang diletakkan di luar pagar rumah sehingga remuk, malam kelmarin.

Bagaimanapun, isterinya yang berusia 30-an tiada di dalam kereta berkenaan sebaliknya berada di rumah ketika suaminya melepaskan geram.

Dalam kejadian jam 11.30 malam di rumah pasangan itu di Taman Suria berhampiran Kampung Desa Aman, di sini, suami terbabit yang juga pemandu lori naik angin dan melepaskan kemarahan itu dengan merempuh Myvi SE hitam milik isterinya beberapa kali sehingga remuk.

Menurut jiran pasangan itu yang mahu dikenali sebagai Wong, 40, dia melihat suspek pulang ke rumah sejam sebelum kejadian, namun tidak mendengar pergaduhan di antara pasangan itu.

“Saya nampak lelaki itu masuk ke dalam rumah dan tidak lama selepas itu terdengar dentuman kuat sebelum paip di depan rumah saya pecah dan memancutkan air. -hm

Suami cemburu lepas geram

BEGINILAH keadaan kereta Perodua Myvi yang rosak teruk selepas dilanggar kira-kira 40 kali dengan lori oleh seorang lelaki yang mengamuk selepas mendakwa isterinya berlaku curang di Sungai Buloh, Selangor kelmarin.

SUNGAI BULOH – Api cemburu yang meluap-luap seorang suami terhadap isterinya yang disyaki menjalinkan hubungan sulit dengan lelaki lain menyebabkannya bertindak di luar kawalan apabila melanggar kereta jenis Perodua Myvi wanita itu lebih kurang 40 kali menggunakan lori seberat dua tan kelmarin.

Kejadian pukul 11.30 malam yang turut mencemaskan jiran-jiran di Taman Suria, Kampung Desa Aman di sini itu berlaku apabila pemandu lori berusia lingkungan 40-an terbabit hilang sabar selepas bertengkar dengan isterinya di dalam rumah teres dua tingkat itu mengenai dakwaan berkenaan.

Dia yang gagal mengawal emosi kemudian mencapai kunci lori lalu keluar rumah sebelum melanggar kereta Perodua Myvi yang sering dinaiki isterinya kira-kira 40 kali hingga mengakibatkan bahagian depan kenderaan itu rosak teruk untuk melepaskan geram.

Lori itu pula hanya mengalami kerosakan kecil di bahagian depan.

Difahamkan, isteri lelaki itu merupakan pengusaha kantin di sebuah kilang berdekatan rumahnya di sini.

Seorang jiran yang enggan dikenali berkata, sebelum kejadian, dia ada mendengar bunyi orang bergaduh di dalam rumah itu sebelum lelaki tersebut keluar dalam keadaan marah-marah.

“Dia terus masuk dalam lori seberat dua tan itu lalu melanggarnya berulang kali. Saya rasa dia bertindak demikian kira-kira 40 kali hingga kereta itu seperti terlibat dalam kemalangan teruk.

“Bukan itu sahaja, tindakan lelaki itu turut mengakibatkan pintu pagar rumah saya dan rumah seorang lagi jiran rosak akibat dilanggar lori yang dipandunya,” ceritanya ketika ditemui. -kosmo


Tiada ulasan: