4 Feb 2012

Pembantu Peribadi Ditemui Mati Dijerut, Ditikam

Serdang – Tanda tanya dan kerisauan seorang suami terhadap isterinya yang tidak pulang ke rumah terjawab apabila wanita itu ditemui mati dijerut dan ditikam kira-kira 200 meter dari tempat dia bekerja di Serdang Perdana di sini, lewat malam tadi.

Mangsa berusia 39 tahun ditemui oleh suami dan majikannya di tempat duduk penumpang sebelah pemandu dalam kereta Honda City di tempat letak kereta berbayar.

Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Abd Razak Elias berkata, mangsa yang bekerja sebagai pembantu peribadi di sebuah syarikat teknologi maklumat di Serdang Perdana biasanya akan pulang ke rumah sekitar jam 8 malam.

Menurutnya, kelewatan mangsa pulang ke rumahnya di Bandar Kinrara, Puchong malam tadi menyebabkan suaminya risau dan terus menghubungi majikannya.

“Selepas lebih kurang sejam tidak pulang ke rumah, suami bersama majikan mangsa kemudian mencari isterinya di sekitar kawasan bangunan komersial itu.

“Kira-kira jam 10.30 malam, suami mangsa menemuinya dalam kereta, yang biasa dipandunya ke tempat kerja, dalam keadaan berlumuran darah dan tidak bernyawa,” katanya.

Abd Razak berkata, sebaik menerima panggilan kira-kira jam 11.45 malam, sepasukan anggota polis tiba di tempat kejadian dan mendapati satu mayat wanita dalam kereta yang tidak berkunci.

“Siasatan mendapati mangsa dijerut dengan wayar pembesar suara dan ditikam di bahagian kiri leher menggunakan pisau.

“Sebilah pisau sepanjang enam inci ditemui di luar pintu kereta di bahagian pemandu dan dawai sepanjang satu kaki berhampiran mayat mangsa,” katanya.

Beliau berkata, motif kejadian masih dalam siasatan dan pihaknya percaya suspek lebih daripada seorang.

Siasatan awal mendapati tiada kesan pergelutan yang berlaku.

“Ada beberapa biji limau mandarin yang sedia dikupas ditemui dan dipercayai berkemungkinan mangsa mungkin sedang menikmatinya ketika itu. Berkemungkinan juga mangsa yang mempunyai dua anak masih kecil sedang bersembang dengan suspek tetapi belum ada petunjuk penuh berhubung perkara itu.

“Pemeriksaan mendapati telefon bimbit, dompet dan beg tangan milik mangsa hilang. Suami mangsa memaklumkan mangsa adalah seorang isteri yang baik dan tidak mempunyai musuh dengan sesiapa,”katanya.

Beliau berkata, kes di siasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat. -SH

4 ulasan:

Jiwa Islam berkata...

Mcm-mcm kejadian yang berlaku sekarang...mudah-mudahan Allah selamatkan keluarga kita dunia dan akhirat...

abu berkata...

selagi hukum & syariat Allah tidak dilaksana, maka begitulah jadi nya....

Tanpa Nama berkata...

persoalannya..bagaimana mangsa buleh duduk di tempat sebelah penumpang...sedangkan itu kereta miliknya...mcm ada tk kena jer

Tanpa Nama berkata...

abu, aku setuju dgn mu, Allah dah buat spesifikasi khusus cam mana nak selamat sejahterakan tubuh badan manusia, masyarakat, organasasi, negara & dunia, sbb Dia yg mencipta.

Tapi manusia ni kebyakan sombong & kufur sbb syaitan & nafsu dah menguasai.

ya Allah, kasihankan lah kami, sedarkanlah kami terutama para pemimpin. Beri lah kemenangan pihak yang ikhlas ingin menegakkan & martabatkan hukum2Mu. Amin.