22 Jan 2012

2 Graduan UiTM Sertai DAP: Usaha UMNO Takutkan Melayu Kepada DAP Gagal

Umno gagal takutkan Melayu kepada DAP

KUALA LUMPUR, 20 Jan: Dengan penyertaan beberapa orang Melayu termasuk orang kuat Umno ke dalam DAP sejak akhir-akhir membuktikan dakwaan Umno bahawa DAP anti Melayu selama ini meleset sama sekali.

Malah kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar (gambar), cubaan Umno menakut-nakutkan orang Melayu terhadap DAP itu ternyata gagal apabila terbaru bekas Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Mohd Hata Wahari menyertai DAP semalam.

Yang lebih menarik lagi, Hata Wahari adalah bekas wartawan Utusan Melayu, organisasi media milik Umno sendiri.

Perkembangan itu juga jelas Mahfuz membuktikan bahawa DAP lebih diyakini oleh sesetengah rakyat termasuk Melayu berbanding Umno dan MCA.

"Kita melihat sekarang ini bahawa DAP lebih baik daripada Umno mahupun rakan mereka MCA yang mana ia diterima oleh semua kaum termasuk orang Melayu itu sendiri.

"Kalau Umno dan juga media mereka mengatakan DAP itu anti kepada orang Melayu ataupun bersikap perkauman adalah fitnah semata-mata," jelasnya.

Semalam, Hata Wahari yang juga bekas wartawan Utusan Malaysia, menjadi orang Melayu terbaru yang menyertai DAP.

Selain itu juga awal bulan ini, penulis blog Sakmongkol AK47 yang juga bekas ADUN Pulau Manis dari Umno dan Mohd Ariff Sabri Aziz yang juga merupakan bekas Ketua Penerangan Umno Bahagian Pekan sehingga tahun 2004 telah terlebih dahulu menyertai DAP.

Turut dikatakan berbuat demikian ialah seorang lagi penulis blog Umno dan veteran parti itu, Aspan Alias.

Mengulas lanjut, Mahfuz yang juga ahli parlimen Pokok Sena berkata Umno sepatutnya menilai kembali sikap rasis di dalam parti mereka sendiri bukannya menuduh orang lain, apatah lagi dengan tujuan menakut-nakutkan orang Melayu.

"Bagaimana DAP yang dikatakan anti kepada orang Melayu boleh menerima kemasukan orang Melayu beragama Islam di dalam parti mereka, apatah lagi individu tersebut merupakan salah seorang kakitangan akhbar Umno sebelum ini.

"Fitnah yang telah dilemparkan oleh Umno selama ini telah gagal, orang Melayu bukannya takut tetapi semakin boleh menerima parti itu (DAP) dalam kehidupan mereka," kata Mahfuz. -HD

Dua graduan UiTM sertai DAP

IPOH, 21 JAN: Dua graduan muda jurusan undang-undang daripada UiTM yang berminat dengan politik telah memilih untuk menyertai DAP. Mereka adalah Fairuz Azhan Amirruddin dan Dyana Sofya Mohd Daud.

Fairuz Azhan, 25, merupakan seorang penulis manakala Dyana Sofya, 24, seorang peguam.

Penyertaan mereka dilihat sebagai keseinambungan populariti parti tersebut di kalangan profesional Melayu yang semakin meningkat.

Kedua-dua mereka telah diperkenalkan dalam satu sidang media di ibu pejabat DAP Perak di sini hari ini.

Dalam sidang media itu, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang yang mengalu-alukan penyertaan Fairuz dan Dyana berkata, kemasukan mereka ke dalam DAP mengingatkan beliau kenangan manisnya menceburi bidang politik 46 tahun yang lalu.

Katanya beliau dapat merasakan idealisme, semangat cintakan negara dan sayangkan rakyat di kalangan golongan muda yang mahu membuat apa yang mampu bagi menambah baik negara tercinta ini.

Menurutnya DAP jelas dari dulu sampai sekarang merupakan parti untuk semua kaum, malah di Perak sahaja, DAP pernah mempunyai lima wakil rakyat Melayu.

“Jadi amat tidak logik jika DAP dituduh sebagai parti anti-Raja mahu pun anti-Melayu. Jika tidak, parti ini tidak mungkin wujud hari ini kerana parti DAP sudah pasti akan diharamkan jika mempunyai matlamat tersebut.

“UMNO bertanya siapa nak membela orang Melayu, Islam, dan Raja Melayu jika UMNO kalah dalam pilihan raya? Dan kemungkinan besar itu akan berlaku, maka kita menjawab bahawa DAP dan Pakatan Rakyatlah yang akan membela dan mempertahankan orang Melayu, agama Islam, dan kedudukan Raja Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” jelas beliau.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata dasar bersama Pakatan Rakyat jelas mempertahankan keluhuran Perlembagaan.

Pengerusi DAP Perak Datuk Ngeh Koo Ham pula berkata ramai orang Melayu telah menyertai DAP sejak penubuhannya dan banyak pula yang memegang jawatan penting dalam parti serta diletakkan sebagai calon dalam pilihan raya.

“DAP tidak pernah diskriminasi terhadap orang Melayu. Ia adalah sebuah parti yang berbilang bangsa yang terbuka untuk semua orang. Ia berusaha ke arah sebuah sistem demokrasi sosial, dan parti demokrasi sosial ini tidak pernah menjadi parti cauvinis Cina mahu pun parti komunis seperti yang sering difitnah oleh UMNO.”

“Kita memang menjangkakan serangan daripada UMNO yang akan mengatakan bahawa DAP sedang melatih orang Melayu kononnya untuk menjadi Menteri Besar di pelbagai negeri.

“Namun hari ini saya ingin sekali lagi menegaskan terutamanya bagi rakyat Perak bahawa DAP tidak mempunyai cita-cita tersebut, dan jika cerita tersebut keluar, ia hanya lagi satu fitnah daripada Barisan Nasional. DAP menyatakan sokongan penuh kepada Datuk Seri Nizar (daripada PAS) sebagai Menteri Besar untuk Perak,” katanya.

Sementara itu, Fairuz Azhan menjelaskan beliau menyertai DAP kerana tidak sanggup berdiam diri melihat negara semakin lama semakin dirosakkan oleh kerajaan UMNO-BN.

Beliau mengambil contoh kadar hutang negara yang semakin meningkat akibat sikap tidak bertanggungjawab kerajaan kini dan secara langsung menyebabkan rakyat menderita kerana pemotongan subsidi dan juga pengenalan cukai baru seperti GST yang bakal menambah beban rakyat.

“Saya juga percaya dengan ideologi yang dibawa oleh parti. Mengikut pemahaman saya, Deklarasi Setapak yang menegaskan tujuan penubuhan DAP adalah untuk mempertahankan Perlembagaan negara. Ini juga bermaksud, DAP mempertahankan agama Islam sebagai agama rasmi, menzahirkan kedaulatan Raja, Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, dan kedudukan istimewa bumiputera.

“Saya juga berpegang kepada ideologi demokrasi sosial yang kejayaannya boleh dilihat di Pulau Pinang. Saya juga yakin bahawa DAP merupakan platform yang terbaik untuk membebaskan minda masyarakat daripada politik perkauman dan politik ketakutan.”

Dyana Sofya pula berpendapat bahawa kejayaan urus tadbir cekap, akauntabel dan telus (CAT) oleh kerajaan negeri Pakatan Rakyat di Pulau Pinang yang dipimpin oleh Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng meyakinkan beliau untuk memilih DAP sebagai wadah politiknya.

“Bayangkan jika kejayaan CAT di Pulau Pinang boleh diketengahkan ke peringkat kerajaan pusat? Bukankah semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama akan mendapat faedah secara lebih adil dan saksama?

“Kemiskinan tegar telah dihapuskan di Pulau Pinang dan kemakmuran negeri bertambah berlipat kali ganda. Mengapa kita tidak boleh mengimpikan itu di peringkat nasional?” katanya. – Roketkini


3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Malaysia akan lebih baik tanpa UMNO.

robertocarlos berkata...

pari perkauman 3 serangkai patutu dipupuskan dari muka bumi Malaysia ini..

Tanpa Nama berkata...

Mungkinkah mereka merupaka spy-spy UMNO untuk melihat DAP dari dalam...?