13 Nov 2011

Pasangan Lelaki Perempuan Rentung SUV Terbakar

Kuantan: “Saya sempat melihat tangan kiri penumpang kereta itu terjulur keluar dan bergerak-gerak sebelum kenderaan terbabit yang melekat pada pokok, hangus terbakar bersama dua individu di dalamnya,” kata Azura Jaafar, 40, saksi terawal kemalangan ngeri di Kilometer 47 Jalan Kuantan — Gambang, dekat Kampung Gelugor, di sini, semalam.

Gambar: Anggota bomba dan penyelamat sedang berusaha mengeluarkan mangsa dari SUV yang terbakar. -Foto:Azmaidi Abidin

Dalam kejadian jam 1 tengah hari itu, sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Toyota Harrier dinaiki dua individu, Mohd Saidi Mat Sani, 45; dan Yuzihaliza Ya’cob, 32, terbabas dan terjunam ke dalam semak serta merempuh sebatang pokok sebelum terbalik dan terbakar, menyebabkan kedua-duanya rentung.

Difahamkan, kenderaan berkenaan dipandu seorang wanita manakala seorang lelaki lain berada di tempat duduk penumpang depan, namun sehingga jam 6 petang semalam, identiti kedua-dua mangsa belum diketahui selepas semua barangan milik mangsa, termasuk dokumen pengenalan diri, hangus terbakar.

Azura berkata, dia tidak mendengar suara meminta tolong daripada individu di dalam kereta kecuali sebelah tangan yang bergerak-gerak, namun mengaku dia buntu untuk membantu memandangkan kereta remuk teruk dan melekat pada sebatang pokok.

Menceritakan semula kejadian itu, Azura berkata, sebelum kejadian, dia bersama suaminya, Ahmad Mat, 50, berada di dalam rumah sebelum dia terdengar bunyi kuat brek kenderaan diikuti bunyi dentuman kuat dan bergegas keluar untuk melihat apa berlaku.

“Ketika itu, saya hanya melihat beberapa pokok bergoyang dan tidak nampak kereta terbabit, namun selepas mendekati kawasan itu baru kami menyedari kereta terbabit terbabas dan melekat pada sebatang pokok,” katanya ketika ditemui Metro Ahad di tempat kejadian, semalam.

Sementara itu, Ahmad berkata, ketika mendekati kereta itu, dia tidak tahu berapa orang di dalam kenderaan namun selepas menyedari dia tidak mampu menolong mangsa bersendirian, dia bergegas mendapatkan bantuan penduduk kampung.

“Ketika itu, kereta terbabit belum terbakar namun selepas kembali ke tempat kejadian dua minit kemudian, saya terkejut melihat api marak dan menjulang tiga meter sehingga kaki saya menggigil kerana bimbang ia meletup,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Taman Tas, Zurin Mamat berkata, lapan anggota bersama satu jentera dikejarkan ke tempat kejadian dan mengambil masa tiga minit untuk memadam kebakaran.

“Ketika kami tiba, keseluruhan kereta terbakar dan selepas api dipadamkan, kami mengeluarkan dua mangsa iaitu seorang lelaki dan perempuan dari dalam kereta,” katanya. -hm

Kenderaan meletup

KUANTAN - “Kami tidak sempat membantu mangsa kerana berlari mendapatkan pertolongan dari jiran setempat,” kata seorang penduduk, Ahmad Mat, 50, yang sempat melihat sebuah kereta melekat pada sebatang pokok sebelum meletup dan terbakar dalam kejadian di Kampung Gelugor dekat Gambang, semalam.

Menurutnya, ketika kejadian kira-kira jam 1 petang, dia sedang berehat di rumah, manakala isterinya, Azura Jaafar pula memasak di dapur.

“Tiba-tiba kami terdengar dentuman kuat dan nampak pokok bergoyang. Sebaik keluar dari rumah, kami dapati sebuah kereta sudah melekat di bahagian batang pokok dan sebelah tangan mangsa terkulai,” katanya.

Ahmad berkata, tanpa berlengah dia segera berlari mendapatkan bantuan beberapa jiran, namun mereka tidak dapat mendekati kenderaan itu yang tiba-tiba terbakar.

Katanya, dia dan isteri hanya beristighfar serta menggigil ketakutan melihat keadaan kenderaan yang terbakar kira-kira 100 meter dari rumah mereka dan memikirkan mangsa yang berada di dalamnya.

Pegawai Operasi Balai Bomba Taman Tas, Zurin Mamat berkata, pihaknya tiba di tempat kejadian kira-kira jam 2.14 petang dan berjaya memadamkan kebakaran setengah jam kemudian.

Menurutnya, dua mayat rentung lelaki dan wanita berjaya dikeluarkan, tetapi tiada sebarang pengenalan diri.

“Kami mengeluarkan mayat seorang lelaki di bahagian tempat duduk penumpang dan seorang wanita selepas berjaya memadamkan kebakaran pada kenderaan itu,” katanya.

Sementara itu jurucakap polis mengesahkan kejadian itu, namun memberitahu identiti mangsa belum dapat dikenal pasti. -SH

4 ulasan:

Awanama berkata...

Mayat wanita tu..Penolong Pegawai Belia dan Sukan Kuantan..Al-Fatihah!!

Awanama berkata...

Mati itu wajib bagi yg bernyawa & dgn izin Allah....tapi inilah bahananya jika Rakyat diberi gunapakai minyak Ron95 yg mudah terbakar jika berlaku kemalangan. Hrp pihak NGO dpt perjuangkan masalah ini. Negara pengeluar minyak terbaik didunia tapi rakyat guna minyak yg entahapaaapaentah.......

Awanama berkata...

Betl...betul...betul.....aku dah try, test, uji, kaji....minyak RON95 memang mudah terbakar bila pergeseran berlaku....jika siapa tak percaya...bak sini kereta kau org....biar aku test....kita tengok apa akan jadi pada kereta tersebut.

farah tasnim berkata...

she's my auntie .. i still can't believe she's gone .. sayang dia gila-gila ! last jumpa dia , masa raya puasa .. memang kenangan yg best la masa tu .. she's funny ..