14 Nov 2011

Mahasiswa Bidas Naib Canselor UiTM, Cakap Lain Buat Lain

Politik pelajar: Jangan cakap lain, buat lain, kata KAMI

Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI) menuntut penjelasan daripada Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Prof Sahol Hamid Abu Bakar (gambar) berhubung pertandingan pidato politik anjuran Pemuda BN di kampus universiti itu, semalam yang dikatakan secara terang- terangan berunsurkan politik.

Dalam satu kenyataan media, presiden KAMI, Haziq Abdullah Abdul Aziz berkata jika kerajaan benar-benar ikhlas tidak mahu mahasiswa berpolitik, sepatutnya kebenaran kepada mana-mana parti politik masuk ke kampus tidak seharus dikeluarkan.

“Mahasiswa merasakan keterangan naib canselor UiTM bertajuk “Tidak Perlu Pinda AUKU” hanyalah sekadar retorik semata-mata.

“Kalau betul tidak mahu mahasiswa berpolitik , jangan bagi kebenaran kepada mana-mana parti politik masuk ke kampus.

“Tindakan memberi kebenaran kepada parti politik masuk ke kampus sebenarnya akan menimbulkan keraguan kepada masyarakat khususnya mahasiswa,” katanya.

Menurut Haziq Abdullah, kenyataan Sahol Hamid (kiri), Jumaat lalu bahawa politik di universiti hanya akan memecahkan perpaduan sesama penuntut sedangkan matlamat utama mereka ialah menimba ilmu dan mendapatkan pekerjaan bagi menjamin masa depan, bercanggah dengan apa yang terjadi di kampus UiTM.

Sahol Hamid juga dilaporkan berkata bahawa universiti itu tidak bersetuju dengan cadangan pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) kerana kebebasan politik hanya akan mengancam keamanan serta kesepakatan penuntut Melayu dan Bumiputera di universiti.

"Anak-anak (penuntut UiTM) saya aman harmoni berjuang bersama-sama dan menuntut ilmu untuk menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.

"Apa yang penting kita semua bersatu padu dan tidak berpecah belah," katanya.

Kongkong mahasiswa

Bagaimanapun menurut KAMI, mahasiswa perlu diberikan kebebasan untuk meluahkan pendapat walaupun apa yang bakal diperkatakan itu mungkin bertentangan dengan apa yang dihasratkan oleh pihak universiti.

“Sejujurnya KAMI tidak bersetuju dengan kenyataan yang dikeluarkan naib canselor UiTM yang mengatakan penglibatan mahasiswa dalam politik akan menyebabkan perpecahan.

“Kenyataan bahawa pindaan AUKU akan mengancam keamanan serta kesepakatan penuntut bumiputera dan Melayu di universiti itu kami kira sebagai sesuatu yang tidak relevan," kata Haziq Abdullah.

Beliau tegas mempertahankan bahawa mahasiswa mesti diberikan kebebasan yang sewajarnya untuk bersuara.

“Tindakan mengongkong mahasiswa sebenarnya tidak membawa apa-apa faedah malah akan melahirkan mahasiswa yang tidak kritikal, konservatif serta jumud dalam berfikir,” katanya.

Menurutnya lagi jika “orang politik pemerintah boleh dibawa masuk ke kawasan kampus, apa salahnya berikan sahaja kebebasan kepada mahasiswa untuk berpolitik.”

“Jangan pula nanti cakap lain tapi buat lain.”

Pertandingan pidato politik Piala Perdana Menteri peringkat saringan zon tengah di UiTM, Shah Alam, semalam,dirasmikan Ketua Pergerakan Pemuda Umno Khairy Jamaluddin ).

Khairy juga dipetik Bernama berkata program anjuran unit pidato Pemuda Umno itu akan diteruskan di empat zon iaitu zon utara, selatan, pantai timur dan Sabah serta Sarawak. -mk


1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Layakkah dia ini menjadi Nc? Selepas yg tak layak pencen, diganti dgn yg tak layak juga.