26 Okt 2011

Mayat Gaddafi Dikebumikan Di satu Tempat Rahsia Di Gurun

Selepas dikecam banyak pihak kerana menangguhkan pengebumian pemimpin Libya, Muammar Gaddafi, 69, anaknya, Mutassim, 34, dan bekas Menteri Pertahanan, Abu Bakar Younis Jaber, 59, akhirnya Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) mengumumkan jenazah ketiga-tiganya dikebumikan di sebuah tanah perkuburan rahsia di kawasan gurun pasir di negara itu, semalam.

Jurucakap NTC menyatakan jenazah Gaddafi dan anaknya, Mutassim didakwa semakin mereput selepas ia dipertontonkan kepada umum selama lima hari di sebuah pasar daging lama di Misrata.

Bagaimanapun, NTC enggan mendedahkan lokasi sebenar pengebumian tersebut bagi memastikan ia tidak akan menjadi mangsa vandalisme dan tempat pemujaan pihak tertentu pada masa hadapan.

Sebelum ini, kerajaan sementara Libya dan pemberontak bersenjata bertelagah kerana gagal mencapai persetujuan mengenai siapa yang berhak untuk melaksanakan pengebumian jenazah ikon negara Afrika itu.

Minggu lalu, puak asal Gaddafi di Sirte, suku kaum Gaddadfa turut menuntut jenazah beliau dalam satu rundingan yang diadakan bersama kumpulan anti-Gaddafi tetapi tidak berhasil selepas NTC memutuskan mereka akan menyempurnakan pengebumian tersebut.

Dalam satu kenyataan, pengerusi NTC, Mustafa Abdel Jalil berkata, kerajaan telah menubuhkan satu jawatan kuasa untuk menyiasat kejadian pembunuhan Gaddafi selepas pemimpin veteran itu ditangkap dan ditembak mati dipercayai angkara pemberontak di Sirte, minggu lalu.

“Mereka yang kononnya ‘membantu’ Gaddafi pada hari kejadian sebenarnya dalang di sebalik insiden pembunuhan tersebut,” menurutnya tanpa memberi butiran lanjut.

Tindakan itu diambil selepas beberapa badan hak asasi manusia antarabangsa menggesa satu siasatan penuh dijalankan selepas beberapa rakaman video mengerikan berhubung kejadian penangkapan Gaddafi seakan mencetuskan persoalan kerana berlaku percanggahan fakta antara satu sama lain.

Kerajaan sementara Libya pimpinan NTC kini berhadapan cabaran untuk merealisasikan impian rakyat untuk membentuk sebuah negara demokrasi dan bebas berikutan negara antarabangsa mula mempertikaikan kredibiliti mereka selepas insiden pembunuhan Gaddafi yang telah menggemparkan masyarakat dunia.



1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

nasib baik tak diletup macam altantuya