5 Okt 2011

Isu Tung Shin: Najib, Hisham, Liow Tiong Lai & KPN Perlu Bertanggungjawab & Dihakimi

Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara adalah individu yang tepat untuk dihakimi dalam tindakan penyuraian perhimpunan BERSIH 2.0 di sekitar Hospital Tung Shin (HTS) dan Hospital Bersalin Cina (CMH) di Jalan Pudu pada 9 Julai lalu.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar berkata langkah Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mengambil tindakan tatatertib terhadap anggota polis yang bertindak di luar garis panduan operasi polis (SOP) pada operasi tersebut adalah suatu yang tidak wajar.

"Walaupun tindakan polis itu satu benda yang salah, tetapi mereka hanya melakukan arahan atas provokasi dan arahan pihak atasan iaitu Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri dan juga Ketua Polis Negara."

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media ringkas di lobi Parlimen bagi mengulas tindakan KDN ke atas anggota polis yang menyalahi SOP ketika menjalankan tugas.

Berita Harian dalam keluarannya hari ini melaporkan bahawa KDN akan mengambil tindakan tatatertib terhadap anggota polis yang menjalankan tugas di luar garis panduan operasi polis (SOP) dalam operasi penyuraian perhimpunan BERSIH lalu.

Ketua Setiausaha KDN, Tan Sri Mahmood Adam dilaporkan berkata wujud tindakan tidak beretika dan di luar garis SOP oleh anggotanya dalam menangani orang ramai yang menyertai perhimpunan yang secara salah menggunakan premis hospital berkenaan.

“Susulan daripada laporan hasil siasatan ini, KDN akan merujuk senarai kakitangan berkenaan kepada Jawatankuasa Tatatertib Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk pertimbangan dan tindakan selanjutnya,” jelas Mahmood Adam.

Mengulas lanjut isu ini, Mahfuz dengan tegas berpendapat bahawa kerajaan berlaku tidak adil dengan meletakan seluruh kesalahan ke atas anggota bawahan sedangkan pemimpin dan golongan tertinggi terlepas dan cuci tangan.

"Pemimpin cuci tangan, ini suatu penganiayaan kepada anggota polis yang pada akhirnya anggota polis takut untuk menjalankan tugas mereka kerana khuatir akan melakukan kesilapan" jelas Mahfuz. -tvsnews

Isu Tung Shin: KDN, Menteri Kesihatan perlu minta maaf- Jui Meng

JOHOR: Menteri Dalam Negeri dan Menteri Kesihatan perlu memohon maaf berhubung isu polis melanggar garis panduan operasi polis (SOP), ketika menyuraikan peserta himpunan Bersih 2.0 di Hospital Tung Shin, 9 Julai lalu.

Ini kerana Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamudin Hussein sebelum ini menafikan keganasan polis terhadap peserta Bersih, malah pernah memberi amaran bahawa tindakan akan diambil terhadap dakwaan yang dikatakan tidak berasas itu.

Manakala Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai turut menafikan dakwaan bahawa gas pemedih mata, bom asap dan meriam air telah dilepaskan ke kawasan hospital tersebut.

“Sebelum ini mereka menafikan keganasan polis. Menteri kesihatan sendiri buat penafian dan memberi kenyataan yang membodek Menteri Dalam Negeri. Mereka perlu bersama-sama minta maaf di atas fakta-fakta yang diutarakan,”
kata Naib Presiden KEADILAN, Datuk Seri Chua Jui Meng.

Semalam, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Tan Sri Mahmood Adam berkata, anggota polis yang melanggar dan mengengkari peraturan yang ditetapkan itu akan dirujuk kepada jawatankuasa tatatertib polis.

Sehubungan itu, Chua Jui Meng menggesa agar nama-nama polis yang bertanggungjawab diumumkan kerana rakyat berhak mengetahui tentangnya.

“Nama polis yang melanggar etika perlu disebutkan dan disenaraikan namun kita tunggu dan lihat samada pihak atasan betul-betul akan mengambil tindakan tatatertib atau mereka akan melindungi pegawai yang sebenarnya mengikut arahan pihak atasan,”
kata beliau yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Johor.

Pada 9 Julai lalu, kakitangan Hospital Tung SHin mendakwa polis menembak gas pemedih mata dan meriam air ke dalam perkarangan Hospital Tung Shin di Jalan Pudu bagi menyuraikan peserta perarakan Bersih.

Ramai saksi mengesahkan kejadian tersebut termasuk 11 pegawai kanan perubatan yang telah menandatangani surat mengutuk pihak berkuasa.

Namun Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar dan pemangku ketua polis Kuala Lumpur Amar Singh, menafikan dakwaan itu meskipun banyak gambar dan video bukti yang berlegar di internet berhubung tembakan tersebut.

Gambar-gambar tersebar meluas di Internet memaksa kerajaan untuk mengumumkan pembentukan “Jawatankuasa Siasatan Dalaman Peringkat Tertinggi Kementerian Kesihatan”. -kd




3 ulasan:

pena marhaen berkata...

Bukankah sebelum ni puak-puak ni beriya sangat menafikan semua salah laku polis ketika BERSIH 2.0. Sekarang nak tipu pulak..pigi dahhh...Logikkah dari 11 ribu lebih anggota polis, hanya seorang sahaja yang buat? Depa tak tau kot apa itu YOUTUBE..hahahahaha

Awanama berkata...

Anggota FRU yang bertugas tak boleh disalahkan.Yang bersalah dan wajar pikul tanggungjawab ialah "ketua" yang beri arahan.Kalau Pak Menteri sendiri sudah "putuskan" Bersih itu haram,orang bawah pun bertindak gila,free-for-all,tanpa ambil kira SOP.Inilah yang kerap berlaku,ikut arahan dari "atas".Penyakit ini berjangkit hingga kemahkamah dimana hakim turut berkata "My hands are tied"(Tangan saya terikat).

Awanama berkata...

lepas ni bila isu pengundi PATI dah tak boleh elak lagi, kerajaan akan umumkan kesalahan adalah terletak pada pembekal komputer yang tidak menentukan nama-nama PATI di filter dari kemasukan rekod.

dan juga SPA kerana tidak menentukan tahap kecerdikan memuaskan kerani-kerani SPR yang diambil bekerja.