3 Sep 2011

Jurukamera BERNAMATV Maut Di Somalia

Mogadishu: Jurukamera BernamaTV, Noramfaizul Mohd Nor, 41, terbunuh selepas ditembak ketika membuat liputan Misi Bantuan Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia dan Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) di sini, malam tadi.

Allahyarham meninggal dunia jam 11.15 malam tadi (jam 6.15 petang di Somalia) iaitu kira-kira sejam selepas terkena tembakan curi dipercayai dilepaskan kumpulan pemberontak.

Dalam kejadian serang hendap itu, seorang jurukamera TV3, Aji Saregar Mazlan turut dilaporkan cedera di tangan terkena tembakan yang dipercayai dilepaskan secara rambang.

Wartawan Harian Metro, Mohamad Apendy Issahak ketika dihubungi di Mogadishu lewat malam tadi memberitahu, ketika kejadian kira-kira jam 5.15 petang waktu tempatan, Allahyarham bersama petugas media Malaysia sedang dalam perjalanan pulang ke hotel penginapan di sini selepas melawat kem penempatan dalaman (IDPs) Waveri, dekat sini.

Seramai 53 lagi anggota misi bantuan kemanusiaan dari Malaysia termasuk petugas media bagaimanapun terselamat dalam serangan itu dan mereka kini dalam proses pemindahan ke lokasi selamat.

IBU Jurukamera BERNAMATV, Noramfaizul Mohd Nor (gambar kecil), Naemah Abdul Majid ditenangkan ahli keluarga selepas mengetahui anaknya meninggal dunia terkena tembakan curi semasa membuat liputan Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia dan BAKTI di Mogadishu, Somalia di rumahnya di Taman Serdang Jaya di Kuala Lumpur, malam tadi. - Foto BERNAMA

Ketika kejadian kedua-dua mangsa berada dalam kenderaan yang sedang menuju ke hotel.

Sementara itu, wartawan BernamaTV, Khairulanuar Yahaya yang turut serta dalam misi itu berkata, kejadian itu berlaku ketika Noramfaizul bersama rakan media elektronik yang sedang menaiki trak dalam perjalanan ke sebuah pusat komersial untuk menghantar laporan berita apabila terkena tembakan curi yang mengenai bahunya dan menembusi paru-parunya.

Mangsa yang dibawa masuk ke dalam hotel sejurus selepas kejadian, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan pada jam 11.07 malam waktu Malaysia.

Khairulanuar berkata, tembakan itu ditujukan kepada trak tentera kerajaan yang mengiringi pasukan media Malaysia, tetapi tersasar dan mengena Noramfaizul yang duduk berdekatan tingkap.

Misi berkenaan yang berlepas pada 28 Ogos dari Kuala Lumpur dijangka pulang pada 8 September ini.

Wartawan Astro Awani Tan Su Lin yang membuat liputan langsung di Astro malam tadi memberitahu Aji Saregar cedera ringan di bahu kanan terkena serpihan peluru.

Beliau berkata, kejadian itu berlaku pada kira-kira 5.40 petang waktu tempatan (Malaysia lima jam lebih awal dari Somalia) ketika mereka seramai enam orang sedang menaiki pacuan empat roda dalam perjalanan pulang ke tempat penginapan dengan diiringi tentera kerajaan Somalia.

"Tiba-tiba saya terdengar dua bunyi kuat dari sebelah kanan dan ada bau asap. Saya tidak menyangka kenderaan kami terkena tembakan apabila menoleh ke belakang, Aji dalam kesakitan dan Faizul dalam keadaan pucat," katanya.

Noramfaizul meninggalkan seorang isteri Norazrina Jaafar, 37, dan dua anak lelaki, Mohd Irfan, 8, dan Mohd Naufal, 3.

Sementara itu, Norazrina, yang sedang dalam perjalanan balik dari Johor ke rumah mentuanya di Serdang Raya, dekat sini, terkejut dan sedih dengan pemergian Allahyarham.

IMBAS...Noramfaizul (dalam bulatan) bergambar bersama rombongan bantuan kemanusiaan dari Malaysia sebelum berlepas ke Somalia.

Norazrina berkata sebelum suaminya berlepas ke Somalia, Allahyarham berpesan supaya menjaga diri dan anak mereka dengan baik.

"Dia turut berpesan dia pergi kerana berkhidmat untuk negara dan jangan bimbang dengan keselamatan dirinya," kata eksekutif perhubungan awam sebuah agensi kerajaan di Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, Tan berkata mereka pulang ke tempat penginapan untuk berkemas kerana dijangka pulang ke Malaysia pada kira-kira 5.30 pagi waktu tempatan hari ini. -hm

4 ulasan:

Beruk Ketawa berkata...

Kalau nak tahu kenapa mereka diserang, pergi la baca Blog Beruk...kah kah kah

Tanpa Nama berkata...

Salam takziah kepada keluarga Noramfaizul Mohd. Nor semuga roh simati dirahmati Allah dan ditempatkan dalam golongan yang dihormati.

Dipercayai ini adalah kali pertama terjadi dimana seorang jurukamera dari Malaysia terbunuh membuat liputan di luar negara.

Jurukamera adalah orang yang selalu berada dibarisan dihadapan, memang mudah menjadi sasaran penembak.

Hidup dan mati adalah ketentuan Ilahi yang tidak boleh tidak kita terpaksa menerima dengan redha. Cuma cara kematian itu yang membuatkan kita sedih dan menyesal.

Misi bantuan kemanusian yang dihantar ke Mogadishu oleh kelab putara 1 malaysia dan Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) dilihat memang baik. Menderma kepada yang memerlukan.

Tapi sebelum sibuk dengan masaalah orang lain sepatutnya kelab putara 1 malaysia dan Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) perlu melihat permasaalahan dalam negara dulu sebelum berlagak pemurah kepada orang luar.

Dalam keadaan hutang negara semakin meningkat....UMNO Baru ambil sikap biar papa asalkan bergaya. Itu hipokrit namanya.

Tindakan kelab putara 1 malaysia dan Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti)juga tak ubah seperti kera dihutan sibuk disusukan anak dirumah mati kehausan.

Hello Putra 1Malaysia... anak-anak diMalaysia masih ramai yang memerlukan perhatian, sokongan, bantuan dalam meneruskan kehidupan untuk menjadi warganegara yang lebih bertanggongjawab kepada agama, bangsa dan negaranya.

Atau UMNO Baru mahu anak-anak Malaysia jadi baruah komunis agar senang ditangkap dan disimpan dalam penjara...?

Tanpa Nama berkata...

"Dia turut berpesan dia pergi kerana berkhidmat untuk negara dan jangan bimbang dengan keselamatan dirinya,"

Sepatutnya Allahyaryam dimaklumkan bahawa orang-angkat-sumpah-pun-pakai-jaket kalis peluru Waris Allahyarham patut buat tuntutan ganti rugi terhadap kerajaan yang cuai ttg keselamatan anggota misi bantuan kemanusiaan ini!

Tanpa Nama berkata...

Bila kes Mohamad Sabu menghormati Mat Indera sebagai pejuang kemerdekaan, puak UMNO Baru pula menuduh Mohamad Sabu sebagai pengkhianat kerana menyokong Komunis.

Bila kes Mohamad Sabu tidak dapat sambut dari rakyat jelata maka Najib mengubah suasana berkata Noramfaizul (jurukamera Bernama) adalah seorang wira Malaysia sebenar yang mewakili peranan kita untuk membantu di mana sahaja bantuan diperlukan".

Pujian yang melampau-lampau ini sekedar untuk menutup kelemahan misi bantuan kemanusiaan yang tidak sepatutnya dilakukan dalam keadaan sekarang.

Betapa bercelarunya fikiran seorang Perdana Menteri sehingga tidak dapat merealisasikan status wira kepada pejuang kemerdekaan dengan jurukamera.

Jika PM dah kata jurukamera Bernama itu sebagai wira Malaysia sebenar maka ia perlu disemadikan ditempat negarawan disemadikan sebagai penghormatan.

Kalau Tunku Abd. Rahman yang selalu disebut sebagai bapa kemerdekaan tidak diberi penghormatan setelah kematiannya sebagai pejuang kemerdekaan oleh Tun Mahathir, apakah jurukamera Bernama itu lebih wira dari Tunku...?

Dasar UMNO Baru... cakap tak serupa bikin...!

Walau bagaimana pun selaku penulis komen dalam blog ini... saya ucapkan salam takziah kepada ahli keluarga Noramfaizul Mohd Nor. Semuga rohnya dicucuri rahmat oleh Allah dan ditempatkan didalam kumpulan orang-orang yang dikashinya.