3 Sep 2011

Isu Komunis Cuba Alih Perhatian Rakyat Daripada Tuntutan BERS✔H

Mohamad Sabu menyifatkan isu komunis sengaja ditimbulkan bagi mengalih pandangan rakyat terhadap kepincangan pengurusan pilihan raya dan kenaikan harga barangan keperluan sekarang.

Timbalan Presiden PAS berkata, isu tersebut sengaja ditimbulkan akhbar milik Umno bagi menutup kelemahan pemerintah.

“Pemimpin Umno dilihat merasa gusar dan panik apabila sejarah perjuangan kemerdekaan mulai diketahui rakyat khususnya generasi muda.

“Perjuangan menuntut kemerdekaan bukan hanya dimiliki dan dipelopori pemimpin Umno sahaja,” katanya pada sidang media di Pejabat Perhubungan PAS Kelantan di sini, petang ini. Hadir sama Setiausaha Perhubungan PAS Negeri, Zulkifli Mamat.

Baru-baru ini dalam laporan muka hadapan sebuah akhbar milik Umno mendakwa Mohamad Sabu menganggap Mat Indera, lelaki yang bersekongkol dengan Goh Pen Tun dan 200 anggota komunis sebagai hero sebenar.

Kenyataan itu dipetik ucapan Timbalan Presiden PAS itu dalam satu ceramah di Tasek Gelugor, Pulau Pinang 21 Ogos lalu.

Mohamad berkata, Mat Indera diiktiraf sebagai pejuang kemerdekaan seperti pernah disiarkan dalam Berita Harian pada 13 Ogos 2010.

Menurutnya juga laporan disiarkan Utusan Malaysia berkaitan ucapannya di Pulau Pinang jelas cuba mengelirukan fakta sebenar.

”Ini kerana semua orang sudah tahu ketika zaman penjajah, sesiapa sahaja yang menentang British akan dianggap sebagai pengkhianat.

”Sama seperti Tok Janggut yang bangkit melawan Inggeris bagi menuntut kemerdekaan dianggap sebagai penderhaka, sedangkan mereka pejuang sebenar menuntut kemerdekaan,” ujarnya.

Ditanya pemberita apakah beliau juga menganggap Rashid Maidin juga sebagai pejuang apabila masih menentang kerajaan selepas kemerdekaan dicapai, katanya cara itu tidak betul.

”Saya tidak setuju selepas negara mencapai kemerdekaan masih ada yang melawan kerajaan seperti melawan British,” tambahnya.

Kata beliau peristiwa Bukit Kepong ada anggota polis yang terkorban merupakan satu fakta sejarah terhadap apa yang berlaku.

Begitu juga katanya dalam peristiwa Memali ada empat anggota polis yang terkorban.

”Cuma dalam setiap peristiwa yang berlaku hanya pemimpin Umno yang selamat. Begitu juga dalam kes Memali pihak yang mengarahkan serbuan iaitu pemimpin Umno masih lagi selamat,” katanya.

Mohamad juga menyifatkan tuduhan yang dilemparkan terhadapnya sebagai mendewakan fahaman komunis sebagai amat keterlaluan dan menjijikkan.

Kata beliau segala tomohan tersebut tidak lebih bagi memburukkan beliau dan PAS.

”Tuntutan Bersih 2.0 terhadap lapan perkara telah membongkar penyelewengan daftar pemilih dan lain-lain kepincangan. SPR dan kerajaan BN sedang berada di kandang orang salah menurut pandangan rakyat,” ujarnya.

Beliau menjelaskan juga perayaan sambutan ulangtahun kemerdekaan negara sekarang tidak lebih sebagai merayakan pemimpin negara dan bukannya tokoh pejuang kemerdekaan sebenar.

Katanya apabila ada fakta menyebut penglibatan tokoh lain ketika menuntut kemerdekaan negara, pemimpin Umno mulai menjadi gelabah.

”Maka tidak hairanlah semangat menyambut kemerdekaan sudah mulai luntur di Malaysia sekarang. Kita boleh lihat sendiri berapa buah kenderaan atau rumah yang sanggup memasang Jalur Gemilang.

”Berlainan dengan apa yang berlaku di Indonesia semangat rakyat begitu tinggi ketika perayaan ulangtahun kemerdekaan mereka,” katanya.

Beliau juga menjelaskan sedia berbincang dengan sesiapa sahaja mengenai sejarah perjuangan menuntut kemerdekaan bagi membolehkan generasi muda mendapat maklumat lebih tepat.

Zulkifli yang juga Adun Pulai Chondong pula berkata, generasi muda sekarang mulai tahu tokoh-tokoh yang benar-benar terbabit dalam perjuangan menuntut kemerdekaan negara.

Menurutnya pendedahan itu dibimbangi pemimpin Umno kerana sebelum ini setiap kali sambutan ulangtahun kemerdekaan hanya pemimpin negara yang diketengahkan, sedangkan pejuang sebenar disisihkan. -HD

6 ulasan:

Awanama berkata...

Abang Mat memang benar. Yang bekas anggota polis dan melayu UMNO buat report apa kejadahnya, apakah mereka bertugas dengan penjajah British yang merompak hasil negara? Kalau melayu bekerja dengan penjajah Jepun ianya disebut tali barut Jepun, sekarang bekas-bekas anggota polis dan melayu UMNO nak ke mengaku tali barut penjajah British? Jawap le...

Awan Network berkata...

ahli sejarawan sebenar perlu ambik tindakan sepatutny..ahli sejarawan UMNO dok diam pun takpa...

Entri Terhangat!! :
HOT!!Apa Kata Artis Kita Tentang Aurat!!
Identiti SebenarMakcik Hajjah Sitt Al-Wuzara Dibongkarkan !!

Awanama berkata...

Memang betul isu Mad Indra sudah dijadikan isu besar hingga menutup isu tuntutan Bersih dan Penyelewengan SPR juga mewarganegarakan 2.5 juta PATI.Alhamdullillah Mat Sabu dah faham.Pokoknya mengapa beri peluru kepada pihak lawan sehingga pihak lawan berjaya menggunkannya menikam diri sendiri.Walau pun apa yang dikatakan tu betul tapi timmingnya sudah salah.Dah jadi Tim.Presiden,Abang Mat kena cermat sikit.Jangan senang dibawa UMNO bermain atas papoan catur mereka.

rakab berkata...

Sejak bila pulak komunis dan Mat Indera menjadi sebahagian dari agenda perjuangan Pas ??.

Penyokong-penyokong Pas bertungkus-lumus menggali kisah-kisah silam demi mempertahankan Mat Sabu.....bukan mempertahankan Pas.

Mat Sabu sebenarnya tersilap cakap,,!!

Beliau memang suka merapu dan berlawak ketika berceramah.

Timbalan presiden Pas mengangkat Mat Indera,...seorang ketua rejimen ke 4 parti komunis Malaya sebagai pejuang kemerdekaan !!...ketika PRU 13 sudah semakin hampir..!!

Sendiri carik susah !!!

Kalau Karpal Singh dah mula belasah Mat Sabu,...agak-agak Pas boleh dapat undi cina ??!!.

Pemuda Umno berjihad sampai ke Somalia....pemuda Pas pulak sibuk nak buat forum pasal komunis dan Mat Indera ..!!

Awanama berkata...

berjihad ke Somalia apa ke bendanya?

baru sampai dua orang dah kena tembak, 1 mati.

lepas tu semua balik semula Malaysia...

umarmokhtar berkata...

Sokong rakab,

Mat sabu dalam ceramah yang sama keluarkan isu lagu negaraku selain isu komunis dan isu remeh temeh yang lain.

PRU 13 dah dekat, xkan xda isu nasional yang lebih besar dan intelligent yang mampu mat sabu bawa, kalau begitu maybe mat sabu lebih selesa berceramah pada org kampung...