26 Jul 2011

BERS✔H 2.0: Peguam Keluarga Baharuddin Minta Polis Henti Beri Kenyataan Berbaur Politik

Keluarga Allahyarham Baharuddin Ahmad hari ini menggesa polis supaya berhenti memberi kenyataan berbaur politik bersabit kematian beliau semasa menyertai perhimpunan Bersih 2.0 awal bulan ini.

Peguam keluarga, Ahmad Zuflis Faiza mempersoalkan dakwaan polis kononnya kecederaan Allahyarham seperti gigi dan tulang rusuk yang patah mungkin dialami semasa bantuan kecemasan diberikan kepada beliau, dan bukan akibat asakan polis.

Jumaat lalu, Polis Bukit Aman turut menayangkan rakaman video detik- detik Allahyarham rebah di Avenue K, bagi menguatkan dakwaan kononnya beliau bukan mangsa asakan polis.

Ahmad Zuflis menyifatkan dakwaan-dakwaan polis itu sebagai tidak lebih untuk memenuhi kepentingan politik pihak tertentu.

Polis tak patut buat kenyataan berbau politik. Kedua benda ni masih dalam siasatan, kita sudah tulis surat untuk membuat inkues di mahkamah, jadi polis tak perlu tergesa- gesa buat kenyataan politik untuk respon kepada orang- orang politik. kata beliau kepada TV Selangor.

Ahmad Zuflis turut mempersoalkan penggunaan video untuk menyokong dakwaan polis kononnya Allahyarham Baharuddin tidak menjadi mangsa asakan polis.

Beliau berkata kesahihan video itu sendiri dipertikaikan manakala rakaman pendek itu tidak mempaparkan punca Baharuddin dan peserta Bersih lain mencari perlindungan di pusat membeli belah Avenue K.

Merujuk kepada rakaman itu, kita tak tahu betul atau tak betul, maknanya mungkin orang lain dan kalau betul itu si mati ketika berlari, persoalan kita ialah sebelum dia berlari itu pasal apa ? Anda ambil gambar sebahagian sahaja. Jadi sebab itu kita kata, kita minta mereka jalankan siasatan mengikut undang- undang, tambah beliau.

Katanya, pihaknya dan keluarga mangsa akan mengadakan sidang akhbar Rabu ini bagi memberikan penjelasan lanjut dan tindakan susulan yang akan dambil.

Anggota keluarga Allahyarham sebelum ini mengemukakan memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) dan juga kepada Ketua Polis Negara, mendakwa kecederaan yang dialami mangsa itu mungkin berpunca daripada keganasan polis.

Puluhan ribu orang menyertai perhimpuan itu untuk menuntut pilihanraya bersih dan adil walaupun terpaksa menongkah arus tembakan air berkimia dan gas pemedih mata oleh polis.

Lebih 1,600 orang ditahan manakala Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pengawal peribadi beliau, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dan Ahli Parlimen, Shah Alam Khalid Samad antara yang cedera. -tvsnews


Tiada ulasan: