9 Jun 2011

WASPADA: 2 Produk COSWAY Tercemar Dari Taiwan - Diarah Tarik Balik

Kuala Lumpur - Kementerian Kesihatan mengarahkan Cosway (M) Sdn Bhd supaya menarik balik dengan segera dua produk makanan dari Taiwan yang tercemar dengan Di (2-ethylhexyl) Phthalate (DEHP).

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Hasan Abdul Rahman juga meminta semua pengedar syarikat itu supaya menghentikan serta merta jualan Oriyen Nutri Grow (boy) Orange Drink Premix 330g dan Oriyen Nutri Grow (girl) Cranberry Drink Premix 330g keluaran Jin Zhuan Lifesciences Enterprise Co.Ltd, Taiwan.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Taiwan telah memaklumkan kepada Pusat Keselamatan Makanan Hong Kong mengenai kedua-dua produk itu yang diimport oleh Cosway (HK) Ltd.

"Kementerian Kesihatan mengambil maklum bahawa produk sama juga diimport oleh Cosway (M) Sdn Bhd. Kementerian telah mengambil sampel untuk dianalisis DEHP.

"Produk dari kelompok itu hanya akan dilepaskan sekiranya hasil analisis mendapati ia tidak tercemar dengan DEHP," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Hasan menasihatkan pengguna yang telah membeli produk makanan itu supaya tidak memakannya.

Menurutnya sebanyak sembilan lagi produk makanan keluaran Taiwan bagi kategori makanan yang disyaki tercemar telah dianalisis dan disahkan tidak mengandungi DEHP.

Produk berkenaan ialah Apple Juice, Guava Juice, Grape Juice dan Carambola Juice keluaran Uni-President.

Produk lain termasuklah Frugurt Assorted Flavors, Fibrous Jelly White Peach Flavor, Fibrous Jelly Mango Flavor, Fibrous Jelly Grape Flavor dan Squez`n Bites jenama New Choice, katanya.

Hasan berkata Kementerian Kesihatan turut menjalankan pemantauan terhadap produk makanan kategori lain keluaran Taiwan yang disahkan tidak mengandungi DEHP iaitu Pickled Strip Cucumber jenama Melovocom, Preserved Chili Bean Curd jenama Master dan Yam Nutritious Cereal jenama Greenmax.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan menghubungi Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan Kementerian Kesihatan di talian 03-88833652/0388833653 atau melayari laman web di http://moh.gov.my atau http://fsq.moh.gov.my. -- BERNAMA

Tiada ulasan: