17 Jun 2011

Pemuda UMNO Iktiraf BERSIH, Bukan Lagi Beruk Di Jalanan

PAS: Langkah Pemuda Umno ‘iktiraf’ Bersih, Khairy lupa diri

KUALA LUMPUR, 17 Jun — Dewan Pemuda PAS pusat mendakwa keputusan Pemuda Umno yang turut mahu menganjurkan satu perhimpunan bagi memperkukuh sistem demokrasi pada 9 Julai ini sebagai satu sokongan tersirat kepada agenda utama Bersih 2.0 yang mahukan pemulihan demokrasi dilakukan.

Semalam, Pemuda Umno mengumumkan pihaknya juga mahu menganjurkan satu perhimpunan bagi memperkukuh sistem demokrasi pada 9 Julai ini — hari Himpunan Bersih 2.0 akan diadakan.

Bagaimanapun sayap Umno itu tidak akan menyertai Himpunan Bersih 2.0, kata ketuanya Khairy Jamaluddin.

Perkara tersebut diputuskan pada mesyuarat Exco Pemuda Umno semalam.

Dalam reaksinya hari ini, Ketua Penerangan Pemuda PAS Riduan Mohd Nor berkata, tindakan sayap pemuda parti saingan mereka itu sekali gus dilihat sebagai tindakan memperlekehkan ketidakmatangan organisasi Umno dan Perkasa sendiri, yang sebelum ini beriya-iya membuat laporan polis kononnya mendakwa Himpunan Bersih 2.0 sebagai ancaman kepada warga Kuala Lumpur dan kestabilan negara.

“Dengan begitu banyaknya laporan polis dibuat, akhirnya Pemuda Umno membuat keputusan yang boleh dianggap seperti menjilat ludah sendiri dan menempelak organisasi Umno-Perkasa.

“Rakyat tidak lupa bagaimana ketua pergerakan itu, Khairy Jamaluddin pada 2007 pernah mengelarkan rakyat yang menyertai Himpunan Bersih sebagai ‘beruk-beruk di jalanan’,” kata beliau.

Riduan berkata kini beliau sendiri mahu turun ke jalanan atas alasan mahu memperkukuhkan demokrasi dan “mungkin dia sudah sedar siapa dirinya.”

Riduan menambah, alasan beliau itu juga membuktikan bahawa “adanya kepincangan dalam sistem demokrasi negara, adanya kecacatan yang harus diperbaiki.”

“Dan, begitu banyak masalah yang belum diselesaikan hingga Pemuda Umno pun mahu berhimpun.

“Tidak kisahlah kalau mereka hanya mahu berhimpun kalangan puak-puak mereka sahaja di PWTC dan bukannya bersama rakyat,”
kata beliau sambil menambah, keputusan Pemuda Umno itu menunjukkan rakyat sudah mendapat signal bahawa ia sendiri jelas tidak berpuas hati dengan sistem demokrasi yang ada.

Sehubungan itu kata Riduan, pihaknya akan mengerah semua ahli Pemuda PAS dalam dan luar negara bagi menyertai Himpunan Bersih 2.0 sebagai tanda solidariti bersama rakyat.

“Dewan Pemuda PAS pusat mengajak rakyat turun beramai-ramai pada 9 Julai ini untuk menyatakan bantahan kepada sistem demokrasi yang lemah dan pincang ini.

“Hanya rakyat yang mampu membuat perubahan ini,” katanya. -TMI


Himpunan Bersih 2.0 cetusan dan hasrat rakyat

KUALA LUMPUR, 16 Jun: Penganjur himpunan Bersih 2.0 iaitu Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) menegaskan himpunan yang bakal diadakan 9 Julai ini adalah hasrat dari rakyat sendiri.

"Bersih 2.0 sekali lagi mahu menegaskan bahawa Perhimpunan Bersih adalah seratus peratus inisiatif pertubuhan masyarakat.

"Ini adalah gerakan rakyat untuk menuntut pilihan raya bebas dan adil.

"Kami juga menjemput pertubuhan lain termasuk parti politik untuk menyertai kami dalam usaha mengangkat demokrasi dan menuntut reformasi pilihan raya," kata mereka dalam satu kenyataan hari ini.

Bersih turut dianggotai wakil dari 62 NGO yang mana memainkan peranan besar dalam mempromosikan demokrasi dan pilihan raya bersih dan adil.

Mereka akan terlibat menggerakkan himpunan di Kuala Lumpur, 9 Julai ini.

Pelancaran himpunan itu akan dibuat 19 Jun ini bertempat di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor.

Sehubungan itu, mereka menyeru semua pihak menyokong himpunan itu demi masa depan demokrasi negara dan bukan menentangnya.

PAS sahaja akan mengerahkan 300 ribu ahlinya menyertai himpunan itu seperti usul yang diluluskan pada Muktamar 57 lalu.

Sejak hasrat himpunan itu diutarakan, Umno khusus dilihat tidak senang duduk sehingga terpaksa membuat beratus laporan polis di seluruh negara.

Tidak cukup dengan itu, kumpulan pendesak Melayu, Perkasa pula mengancam mahu bertembung dengan himpunan itu jika penganjur Bersih enggan membatalkan hasrat mereka.

Terbaru, pihak polis pula mengumumkan akan bertindak membuat tangkapan awal sebagai pencegahan agar himpunan tersebut tidak berlaku. -hd


1 ulasan:

Awanama berkata...

bangun supaya cengkaman kuku besi najib dan mahathir dibuang untuk keadilan malaysia