2 Jun 2011

No:2, Ustadz Nasharuddin Tidak Tarik Diri

No 2 PAS: Saya tidak tarik diri, kata Nasharudin

SHAH ALAM, 2 Jun — Nasharudin Mat Isa menegaskan beliau tetap akan mempertahankan kerusi timbalan presiden pada pemilihan sempena muktamar PAS pusat yang bermula esok meskipun ada khabar angin kononnya beliau telah pun memutuskan untuk menarik diri.

“Saya tetap bertanding. Khabar angin kata saya tarik diri, tidak benar. Apa-apa keputusan terserah kepada perwakilan,” kata timbalan presiden itu pada sidang media selepas merasmikan Muktamar Dewan Pemuda PAS pusat di sini malam tadi.

Khabar angin bertiup kencang sejak awal minggu ini mengatakan kononnya beliau sudah pun mengambil pendirian mahu menarik diri daripada persaingan dan ia akan diumumkan esok secara rasmi.

Lebih 1,000 perwakilan menghadiri muktamar kali ini.

Ketika dihubungi The Malaysian Insider kelmarin, desas-desus itu juga dinafikan oleh Ketua Dewan Ulama PAS Datuk Harun Taib sambil menyifatkan apa yang berlaku sekarang hanya sebahagian daripada kempen pemilihan.

Pada pemilihan kali ini selain Nasharudin, jawatan nombor dua parti Islam itu turut ditandingi oleh ahli jawatankuasa kerja PAS pusat Mohamad Sabu dan Naib Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Nasharudin yang memegang jawatan itu sejak 2005 juga enggan mengulas lanjut mengenai isu pemilihan kali ini.

Ahli Parlimen Bachok ini berkata, beliau menyerahkan kepada perwakilan untuk membuat keputusan.

“Pemilihan akan berlaku (diadakan) pada hari Jumaat, jadi kita tunggu perwakilan membuat keputusan,” katanya.

Difahamkan ada usaha bagi memujuk beliau berkompromi bagi mengelakkan undi berpecah antara calon kumpulan agama dan profesional.

Pada pemilihan kali ini, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengekalkan jawatan presiden yang disandang sejak 2002 tanpa saingan. -TMI


Nasha berserah pada perwakilan PAS

Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa enggan membuat andaian awal berhubung peluangnya dalam persaingan merebut jawatan timbalan presiden dalam pemilihan parti itu Jumaat ini.

Sebaliknya beliau menyerahkan kepada perwakilan untuk memenangkan calon bagi jawatan tersebut.

"Pemilihan (parti) pada hari Jumaat. Saya tidak boleh membuat sebarang andaian terhadap keputusan yang akan terjadi.

"Kami serahkan kepada perwakilan apabila tiba masanya," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Muktamar Pemuda PAS di Shah Alam pada Selasa malam.

Ditanya sama ada sokongan ulama akan berpecah susulan Naib Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man turut bertanding jawatan tersebut, Nasharudin menyifatkan soalan itu hanya bersifat "andaian".

Katanya beliau tidak boleh membuat andaian kerana kawasan PAS telah mencalonkan ketiga-tiga calon dan kesemuanya menyatakan kesediaan untuk bertanding jawatan tersebut.

"Sebagai amalan yang diamalkan dalam PAS, kami serahkan kepada perwakilan untuk membuat keputusan pada hari tersebut... Kami tak boleh buat ramalan," katanya.

Erti perpaduan Melayu-Islam

Sementara itu Nasharudin dalam ucapannya sebelum itu secara tidak langsung dilihat mengambil peluang menepis tanggapan yang mengaitkannya dengan Umno, khususnya dalam isu kerajaan perpaduan.

Beliau menegaskan kerjasama politik PAS bersama PKR dan DAP "terangkum dalam kaedah Siasah Syariyyah yang amat jelas."

"Kaedah at-Tahalluf as-Siyasi (kerjasama politik) pula mengizinkan kita bergabung dengan parti-parti lain seperti Semangat 46 dan kini dengan PKR dan DAP di bawah bendera Pakatan Rakyat."

Bukan itu sahaja, Nasarudin menambah, berdasarkan sejarah, PAS semakin diminati golongan intelektual ekoran sikap Umno yang didakwa amat pro-British dan "memberikan laluan mudah kepada MCA dan MIC".

"Ini semakin meyakinkan PAS untuk bertanding dalam pilihan raya pertama bersendirian di atas tiket PAS dan sanggup menentang mana-mana parti politik yang lain, hatta Umno itu sendiri yang turut dianggotai oleh umat Melayu-Islam!

"PAS amat memahami erti wehdah (kesatuan) dan 'perpaduan umat Melayu-Islam'," katanya lagi. -mk


Ulasan GB

Dah alang-alang seluk pekasam, biar saja ke pangkal lengan.

p/s Jika satu ketika Ustadz Nasha dikatakan terlibat di dalam menyelinap ke dalam kelambu musuh, pada hari ini, Ustadz Nasha menerima "tikaman" dari rakan dalam kelambu sendiri pula.

Tiada ulasan: