2 Jun 2011

Ketua Dewan Muslimat: Siti Zailah, Timbalan Ketua: Dr. Siti Mariah

Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusoff dipilih sebagai Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat yang baru bagi sesi 2011-2013 apabila menewaskan Nuridah Salleh dengan 358 undi.

Menerusi keputusan itu, Siti Zailah mengetepikan penyandang bagi jawatan tersebut sebelum ini, Nuridah yang menerima 264 undi.

Seramai 622 perwakilan layak mengundi pada pemilihan pucuk pimpinan Dewan Muslimat PAS kali ini yang berlangsung di Dewan Jubli Perak di sini Khamis.

Keputusan itu diumumkan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS Pusat, Datuk Wan Mutalib Wan Embong pada pukul 7.40 malam.

Sementara itu, bagi jawatan Timbalan Ketua, Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud memenangi saingan satu lawan satu tersebut dengan memperoleh 437 undi.

Dalam saingan empat penjuru bagi jawatan Naib Ketua, Mumtaz Md Nawi mengekalkan jawatan beliau buat penggal kedua apabila menerima 334 undi.

Jawatan Pengerusi Tetap diisi Norhashimah Deraman yang menang tanpa bertanding.

Fatimah Ismail menerima 234 undi untuk menerajui jawatan Timbalan Pengerusi Tetap.

Selain itu, 12 Ahli Jawatankuasa Dewan Muslimat PAS yang diumumkan menang pada pemilihan kali ini.

Pengerusi Tetap
1. Nor Hashimah Deraman

Timbalan Pengerusi Tetap
Fatimah Ismail

KETUA
Siti Zailah Mohd Yusof, YB

TIMBALAN KETUA
1. Siti Mariah Mahmud, Dr

NAIB KETUA
Mumtaz Mohd Nawi

JAWATANKUASA KERJA
1. Aiman Athirah Al-Jundi
2. Halimah Ali, Dr. YB
3. Asiah Ali, Dr.
4. Aida@Nurul Huda Yusof Rawa
5. Wan Ubaidah Omar, YB
6. Kartini Ahmad
7. Mastura Mohamad
8. Normala Sudirman
9. Azizah Khatib Mat
10. Rosni Adam
11. Najihatussolehan Ahmad, Dr.
12. Siti Aisyah Ghazali, YB

Pemeriksa kira-kira
1. Basmatul 'Uyun Yusof
2. Normilan Mamat



Muslimat mahu pasukan IT antifitnah

Dewan Muslimat PAS meluluskan usul mewujudkan pusat informasi parti bertujuan mewujudkan ruang menjelaskan dasar parti dan menepis fitnah yang dilemparkan kepada parti itu.

Wakil Shah Alam Azlin Hezri ketika mencadang usul itu berkata, pusat berkenaan perlu diwujudkan bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13 akan datang.

“Apa yang kita harapkan, kita perlu task force. PAS wujudkan satu medan dan ruang menyampaikan maklumat terutamanya berkaitan pilihan raya.

“Betul kita ada banyak laman web dan blog, tapi perlu ada satu (portal) untuk PAS sahaja,” katanya lagi ketika mencadangkan usul berkenaan di muktamar sayap pergerakan itu di Shah Alam hari ini.

Azlin turut menyeru perwakilan supaya mencontohi aktivis internet Wa'el Ghomi – eksekutif muda Google yang mencetuskan revolusi di Mesir melalui media maya.

Azlin juga mencuit hati perwakilan wanita apabila mengajuk dialog daripada filem popular Kung Fu Panda ketika menasihatkan perwakilan bersabar menghadapi apa yang disifatkannya sebagai fitnah.

“Kita perlu kepimpinan keluarkan idea... kita mesti pakai kekuatan dalaman.

“Kamu akan dapat kekuatan daripada ketenangan dalaman,” katanya sambil disambut gelak ketawa daripada kira-kira 600 orang perwakilan di Dewan Jubli Perak, Shah Alam.

Media sedia ada terhad

Usul itu menerima sokongan daripada ketua penerangan dewan berkenaan, Salbiah Abdul Wahab yang melihat keadaan itu sebagai cabaran kepada muslimat PAS memperluaskan kebolehan mereka.

“Saya juga ingin menyatakan di dalam dewan ini ramai dari ahli yang ada (akaun) blog, Facebook dan Twitter. Saya (rasa) kita patut perkasakan kebolehan anda sekalian,” katanya.

Sementara itu, wakil Muslimat Dungun, Khairah Mokti turut serta berbahas dengan mencadangkan semua Muslimat kawasan menghasilkan laman web sendiri.

"(Perdana Menteri Datuk Seri) Najib (Razak) pun ada dah ada Facebook sendiri,” katanya.

Seorang lagi perwakilan, Erna Aznira Anuar pula berkata, usaha bagi mewujudkan pusat pasukan bertindak informasi itu perlu memandangkan PAS kini masih kurang menggunakan media baru.

“Kita ada, contohnya TV Kelantan tetapi terhad,” katanya lagi yang berpandangan bahwa PAS patut mempunyai mekanisme khusus bagi usaha berkenaan. -mk

Tiada ulasan: