23 Jun 2011

Kes Amah Dihukum Pancung: Saudi Minta Maaf Kerana Tak Maklumkan Jakarta

Jakarta: Kerajaan Arab Saudi telah meminta maaf kepada Indonesia kerana tidak memberitahunya mengenai hukuman pancung yang dilaksana ke atas seorang pekerja pembantu rumah Indonesia bagi kesalahan membunuh majikannya di Arab Saudi, kata para pegawai di Jakarta semalam.

Permohonan maaf itu dibuat dalam satu mesyuarat antara Menteri Luar Indonesia, Encik Marty Natalegawa, dan Duta Besar Arab Saudi, Encik Abdurrahman Mohammed Al-Khayyat, kata seorang jurucakap kementerian luar Indonesia.

'Duta Besar telah memohon maaf dan menyesali suasana itu, dan berkata bahawa perkara seperti itu tidak akan berulang lagi pada masa depan,' kata jurucakap tersebut, Encik Michael Tene.

Encik Natalegawa turut menyerahkan sepucuk surat bantahan kepada duta besar itu bagi dikirim kepada rakan sejawatannya dari Arab Saudi, kata Encik Tene.

Pada awal minggu ini, Indonesia mengarahkan duta besarnya ke Riyadh supaya mengadakan rundingan sedang para penggubal dasar mengesa tindak balas tegas terhadap Arab Saudi berhubung hukuman mati itu.

Pekerja pembantu rumah Indonesia itu, Ruyati Sapubi, 54 tahun, dihukum mati dengan dipancung Sabtu lalu, selepas mahkamah agung Arab Saudi memutuskan dia bersalah membunuh majikannya, Cik Khairiya Hamid Mijlid, dengan sebilah pisau potong daging tahun lalu.

Cik Ruyati membunuh Cik Khairiya selepas permintaannya untuk meninggalkan Arab Saudi dan pulang ke Indonesia ditolak oleh majikannya itu dan juga kerana selalu dimarahi, menurut para pegawai di Jakarta
.

Kes Ruyati adalah yang terbaru dalam satu siri insiden mengharukan membabitkan pekerja Indonesia di Timur Tengah.

Kelmarin, para penggubal dasar Indonesia menggesa pemerintah supaya menghentikan penghantaran pekerja warga negara itu ke luar negara tanpa perjanjian yang menjamin hak asasi asas mereka.

Berikutan kes Cik Ruyati, Encik Natalegawa dan beberapa anggota utama kabinet pimpinan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono menghadapi desakan agar mereka meletak jawatan kerana seringnya berlaku penganiayaan ke atas pekerja pendatang Indonesia di luar negara.

Kira-kira 70 peratus daripada 1.2 juta tenaga pekerja Indonesia di Arab Saudi adalah pembantu rumah, menurut para pegawai.

Kumpulan-kumpulan hak asasi berkata pekerja dari negara-negara seperti Indonesia, India, Pakistan dan Sri Lanka menjadi pengukuh ekonomi negara-negara Teluk.

Namun, mereka berhadapan dengan bentuk-bentuk eksploitasi paling ekstrem, menurut kumpulan-kumpulan itu. -- AFP.

2 ulasan:

wan kota tinggi berkata...

Bila nak GANYANG SAUDI ? Dah berani sangat..........

Awanama berkata...

apa le en wan ni ,kan hukum bunuh adalah qisas ( bunuh balas )