29 Jun 2011

Bawa Watak Suu Kyi, Michelle Yeoh Diusir Dari Myanmar

Pelakon Michelle Yeoh diusir dan dilarang masuk Myanmar

YANGON: Bintang Hollywood dari Malaysia, Michelle Yeoh, telah diusir dari Myanmar dan disenarai hitam, kata seorang pegawai semalam.

Gambar: Datuk Michelle Yeoh (kiri), Cik Aung San Suu Kyi(kanan)

Yeoh memainkan watak pejuang prodemokrasi Myanmar, Cik Aung San Suu Kyi, dalam filem yang bakal diterbitkan lewat tahun ini.

'Beliau tidak berpeluang masuk ke Myanmar lagi dan diusir serta-merta dengan menaiki penerbangan pertama selepas beliau tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Yangon.

'Beliau telah dimasukkan dalam senarai hitam,' kata seorang pegawai Myanmar.

Tiada sebab diberi di sebalik tindakan itu.

Yeoh, 48 tahun, terkenal selepas berlakon di samping pelakon Pierce Brosnan dalam filem James Bond, Tomorrow Never Dies, dengan memegang watak sebagai seorang perisik China, pada 1997.

Beliau kemudian berlakon dalam filem arahan Ang Lee, Crouching Tiger, Hidden Dragon, yang mendapat sambutan hangat di peringkat antarabangsa. Yeoh juga berlakon dalam filem Memoirs of a Geisha, yang berdasarkan novel tulisan Arthur Golden.

Pada Disember lalu, Yeoh bertemu Cik Suu Kyi di kediamannya di Yangon selepas baru saja tamat penggambaran di Thailand bagi filem mengenai pemenang Hadiah Nobel Keamanan itu.

Butir mengenai filem arahan pengarah Perancis, Luc Besson, itu masih dirahsikan.

Cik Suu Kyi dibebaskan November lalu selepas tujuh tahun berada di bawah tahanan dalam rumah. Beliau, yang genap berumur 66 tahun bulan ini, telah mendapat pengiktirafan dunia kerana giat melancarkan penentangan secara aman walaupun ditindas oleh junta tentera Myanmar.

Pada 1990, beliau menerajui Liga Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD) yang menang dalam pilihan raya umum negara itu. Namun, kemenangan itu tidak diiktiraf pemimpin junta dan partinya tidak dibenarkan membentuk pemerintah.

Cik Suu Kyi memboikot pilihan raya umum Myanmar tahun lalu selepas mendakwa proses itu tidak dijalankan secara adil. -- AFP.



2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Pakai baju Bersih pun kena tangkap

serenity9260 berkata...

pejuang demokrasi yang asli takde yang selamat kat dunia ni


Ni best bro!!!
Cool Aje : 2 Siri Xperia Baru,Xperia Ray Dan Xperia Active