22 Mei 2011

[Video] Pasca Tragedi Tanah Runtuh Hulu Langat



Lebih 500 Sertai Solat Jenazah Mangsa Tanah Runtuh

KUALA LUMPUR: Lebih 500 orang terdiri daripada ahli keluarga dan waris mangsa serta penduduk setempat hadir di Masjid Sultan Hisamuddin Alam Shah, Pekan Batu 14 Hulu Langat, bagi menunaikan solat jenazah untuk tujuh mangsa yang terkorban dalam kejadian tanah runtuh di Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa semalam.

Ketujuh-tujuh jenazah itu disembahyangkan selepas solat Zohor di masjid berkenaan.

Masjid berkenaan mulai dipenuhi jemaah sejak 10 pagi tadi untuk urusan pengebumian jenazah mangsa terbabit.

Mereka ialah Dzahir Haziq M Muin, 18; Mohd Azret Azahari, 8; Wan Ahmad Hasrim Hazim, 11; Mohd Mustakim Mamat, 12; Mohd Zaid Azahari, 14; Mohd Imal Fahad, 9; dan Mohd Hazim Sapri, 10.

Mereka disemadikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Dusun Nanding, Batu 14, Hulu Langat.

Dalam kejadian tanah runtuh kira-kira 2.30 petang semalam, seramai 25 orang terdiri daripada anak yatim, warden dan kakitangan rumah anak yatim itu tertimbus dalam runtuhan tanah.

Enam belas orang terkorban dalam tragedi tersebut manakala sembilan lagi yang turut terperangkap dalam runtuhan itu selamat.

Semua mayat mangsa yang terkorban di hantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.

Semua jenazah selesai dituntut ahli keluarga dan waris pada kira-kira 12.05 tengah hari tadi.

Jenazah mangsa yang lain akan dikebumikan di kampung halaman masing-masing iaitu tiga di Pantai Dalam, Kuala Lumpur, Dengkil (dua) dan masing-masing satu di Batu Caves, Perak, Pahang dan Kelantan. - BERNAMA


Tiada ulasan: