22 Mei 2011

Dasar Laut Berganjak Kerana Gempa

Tokyo: Dasar laut berganjak lebih 20 meter dan naik tiga meter selepas Jepun dilanda gempa bumi magnitud 9 pada Mac lalu, perubahan lebih besar daripada jangkaan awal saintis.

Ia berdasarkan ukuran peralatan yang diletak pada dasar laut dan direkodkan Pengawal Pantai Jepun, menunjukkan mengapa kemusnahan berlaku di kawasan timur laut negara itu yang dilanda gempa bumi disusuli tsunami.

“Skala yang didapati itu lebih dua kali ganda daripada jangkaan data terkumpul menerusi ukuran pada tanah,” kata Dr Mariko Sato kepada Perbadanan Penyiaran Britain (BBC).

Pengawal Pantai Jepun meletakkan lima peralatan lokasi untuk mengukur perkembangan di dasar laut.

Gempa itu berlaku dekat Jurang Jepun, satu sempadan pelantar tektonik terletaknya bongkah batu dasar Lautan Pasifik ditarik ke bawah Jepun serentak pergerakan ke barat, ke arah Eurasia.

Gempa bermula di laut dalam, 130 kilometer dari bandar Sendai di wilayah Miyagi pada kedalaman 32 kilometer.

Berikutan itu, penyelidik memberi amaran bahawa masih ada banyak tekanan yang tersimpan di kawasan berkenaan sekali gus wujud kemungkinan gempa lebih besar berlaku.
Jurnal Science menerbitkan tiga kertas kerja baru mengenai kesan dan punca gempa mega 11 Mac lalu yang menunjukkan keadaan di lokasi gempa bumi lebih rumit dan bahaya.

Satu daripada kertas kerja itu menunjukkan Pengawal Pantai Jepun menyiarkan data lima peralatan geodetic yang diletakkan di bawah laut pada 2000 hingga 2004, dekat kawasan gempa bermula.

Satu daripada peralatan itu yang diberi nama MYGI diletakkan hampir di atas pusat gempa berkenaan menunjukkan sejauh mana anjakan dasar laut berlaku sejak ukuran diambil pada Februari lalu.

Empat peralatan di lokasi lain dikenali dengan nama FUKU, MYGW, KAMS dan KAMN.

Sato percaya, perubahan itu berlaku ketika gempa bumi melanda. Malah, ada yang menganggarkan anjakan di bawah dasar laut lebih besar, antara 48 hingga 60 meter.

“Kami guna satelit, kemudian kedudukan alat itu dari kapal menggunakan ombak akustik.

“Kami ulanginya dan memerhati kedudukan alat itu sebelum dan selepas gempa,” kata Sato. – Agensi

Tiada ulasan: