12 Mei 2011

Undang-undang Wajibkan Anak Beri Nafkah Kepada Ibu-bapa Bakal Digubal

Kuala Lumpur - Kerajaan mungkin mengkaji keperluan mewujudkan satu undang-undang mewajibkan anak-anak memberi nafkah hidup kepada ibu bapa mereka, sekiranya terdapat keperluan dan keadaan yang mendesak.

Pengarah Bahagian Warga Tua dan Keluarga, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Mohd. Fazari Mohd. Salleh bagaimanapun berkata, sebarang saranan ke arah mewujudkan undang-undang sedemikian harus terlebih dahulu mengambil kira daripada segi implikasi keseluruhan terhadap hubungan ibu bapa dan anak-anaknya dalam jangka panjang.

Menurut beliau, JKM melihat kesedaran menyeluruh semua pihak khususnya anak-anak terhadap tanggungjawab ke atas ibu bapa mereka sebagai pendekatan yang lebih sesuai untuk menangani isu ini.

"JKM mahu kesedaran untuk menjaga ibu bapa datang daripada anak-anak itu sendiri. Sikap menjunjung tinggi ibu bapa merupakan sesuatu yang bersesuaian dengan norma-norma masyarakat negara kita.

"Lagipun, masih ramai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab terhadap ibu bapa mereka," katanya ketika ditemu ramah dalam program Kerusi Panas, terbitan Bernama Radio24 semalam.

Mengulas lanjut, Mohd Fazari menjelaskan, Dasar Warga Emas Negara yang baharu sahaja diluluskan pada 5 Januari lalu dilihat lebih komprehensif dan mampu untuk memperbaiki warga tua negara ini ke status yang lebih baik selepas ini.

Tegas beliau, dasar berkenaan memperlihatkan kelainan berbanding Dasar Warga Tua Negara sebelum ini yang mana ia lebih memberikan penekanan secara menyeluruh.

Bawah dasar berkenaan, tumpuan kini akan menjurus kepada usaha menyediakan warga tua ke arah penuaan yang lebih aktif lagi produktif, kesepaduan dari segi hubungan antara generasi muda dan warga tua serta penekanan kepada aspek penyelidikan pembangunan dalam program-program yang dianjurkan.

Sehubungan itu, Mohd Fazari memberitahu masalah warga tua yang hidup merempat mungkin dapat dielakkan jika warga tua membuat persediaan yang lebih awal semasa zaman mudanya. 

Tiada ulasan: