12 Mei 2011

Kes Sarbani: Petunjuk Baru Bukti Sarbani Tidak Bunuh Diri

Keluarga Allahyarham Ahmad Sarbani Mohamed, 56, pegawai kastam yang ditemui mati di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wilayah Persekutuan, pada 6 April lalu, percaya mangsa tidak membunuh diri berdasarkan petunjuk baru diperolehi akhir bulan lalu.

Petunjuk itu merujuk kenyataan 'bukan saya... orang saya' yang dilafazkan oleh seorang pegawai SPRM kepada balu mangsa, Masiah @ Maziah Manap, 50, ketika pegawai berkenaan serta beberapa individu lain dari SPRM menemui Masiah dan dua anaknya untuk menyerahkan kembali dokumen peribadi Allahyarham di Pejabat Kastam Subang, Selangor, pada 28 April lalu.

Peguam yang mewakili keluarga Allahyarham, Awtar Singh, dari Tetuan Awtar, Ghazali, Augustine & Co berkata, jawapan mengejutkan itu terpacul dari mulut pegawai itu sebaik Masiah meluahkan perasaannya berhubung kematian suaminya sebelum bertanya kepada pegawai berkenaan apa yang akan dilakukan jika pegawai itu berada ditempatnya.

Katanya, pada ketika itulah, pegawai berkenaan dengan nada perlahan mengeluarkan kata-kata 'bukan saya...orang saya' kepada Masiah tetapi apabila Masiah mahu mendapatkan penjelasan apa dimaksudkan 'orang', pegawai terbabit hanya mendiamkan diri.

"Masiah sudahpun membuat laporan polis berhubung petunjuk baru itu pada 2 Mei lalu, namun sehingga kini kami difahamkan polis belum mengambil keterangan daripada mana-mana individu berhubung maklumat terbaru itu.

"Dengan maklumat yang ada berserta maklumat baru ini, anak guam kami yakin sepenuhnya bahawa arwah tidak membunuh diri sebagaimana didakwa oleh pihak tertentu sebelum ini," katanya pada sidang media di frima guaman berkenaan di sini, semalam.

Sementara itu, rakannya, Ghazali Mohd Ramli dari firma guaman sama berkata, keluarga Allahyarham mengesyaki kenyataan 'terlepas cakap' pegawai SPRM itu mendedahkan siapa yang bertanggungjawab di dalam kes kematian Ahmad Sarbani.

Katanya, kenyataan akhbar semalam juga bagi menyangkal dakwaan dan spekulasi dibuat akhbar dan media elektronik yang memberi gambaran bahawa ada kemungkinan Allahyarham membunuh diri akibat tekanan yang diterima daripada siasatan yang dibuat SPRM.

Ahmad Sarbani yang juga Penolong Pengarah Cawangan Import, Eksport dan Kawalan Sempadan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Selangor ditemui mati di tingkat satu, pejabat SPRM berkenaan yang terletak di Jalan Cochrane pada 6 April lalu, selepas datang ke kepajabt itu untuk memberi keterangan berhubung siasatan dilakukan agensi itu.

Polis sebelum ini mengesahkan siasatan kes kematian itu sudah selesai dan diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) kerana mendapati tiada unsur jenayah.

Pejabat Peguam Negara yang menerima kertas siasatan itu daripada polis bagaimanapun memulangkan semula kertas itu kepada pasukan berkenaan untuk siasatan lanjut termasuk mengambil semula keterangan seorang saksi berhubung kes berkenaan secara terperinci. -BH

Laporan sebelum ini:



Ulasan GB

Rakyat melihat seperti ada satu konspirasi, sama macam kes Teoh Beng Hock, untuk pihak tertentu melakukan cover-up.

Muga kebenaran akan terserlah.

Itulah pentingnya untuk kita berdoa dan mengharap kepadaNya seperti yang pernah GB tuliskan di dalam tulisan-tulisan yang lalu:

1) Allahumma arinal haqqa, haqqa, warzuqnattiba’ah,
wa arinal bathila bathila, warzuqnajtinabah


Ya Allah, tunjukkanlah yang haq itu sebagai haq, dan kurniakanlah kami kekuatan utk mengikutinya, dan tunjukkanlah yg batil itu sebagai batil dan kurniakanlah kami kekuatan untuk menjauhinya.

2) Rabbi adkhilni mudkhala sidqin wa akhrijni mukhraja sidqin waj'alli min ladunka sulthanan nashiran wa qul ja alhaqqu wa zawaqal bathilu innal bathila kana zahuqan

Ya Allah, masukkanlah aku secara masuk yang benar dan keluarkanlah(pula) aku secara keluar yang benar dan berikanlah kepadaku dari sisi-Mu kekuasaan yang menolong. Dan katakanlah yang benar telah datang dan yang batil telah lenyap. Sesungguhnya yang batil itu adalah sesuatu yang pasti lenyap.

Kebenaran tetap akan menang mengalahkan kebatilan sepertimana janjiNya:

Firman Allah bermaksud,



Katakanlah : Telah datang yang haq (kebenaran) dan telah lenyap yang batil atau yang palsu. Sesungguhnya yang batil itu pasti lenyap. (Al Israa' 81)

Tiada ulasan: