5 Mei 2011

Mahathir: Bunuh Osama Tak Bertamadun, Najib & Hishamuddin Sokong Tindakan AS

Mahathir: Operasi bunuh Osama tindakan tak bertamadun

PUTRAJAYA, 4 Mei – Tun Dr Mahathir Mohamad memberi amaran kematian Osama bin Laden tidak mungkin petanda sudah berakhirnya keganasan atau rangkaian Al-Qaeda, sambil meramalkan tindakan balas akan terus berkembang di seluruh dunia.

Perdana menteri paling lama memegang tampuk kerajaan ini berkata, operasi dikendalikan oleh pasukan elit AS awal kelmarin adalah satu “tindakan tidak bertamadun.”

“Ya, dia mungkin bersalah tetapi menghantar satu pasukan untuk membunuh satu orang bukan caranya.

“Jika dia dapat ditangkap, tangkap dia. Tetapi mereka masuk, membunuh seorang yang tidak bersenjata dan kemudian mencampakkan jenazah ke dalam laut,” kata beliau kepada pemberita di sini hari ini.


Dunia Lebih Selamat Dengan Kematian Osama - Najib

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata dunia akan lebih selamat dan aman berikutan kematian pemimpin pengganas Al-Qaeda, Osman bin Laden, dalam satu operasi oleh pihak keselamatan Amerika Syarikat bersama Pakistan di luar Islamabad pada Isnin.

Perdana Menteri berkata kematian Osama adalah juga satu pengajaran bahawa keganasan tidak membuahkan sesuatu kebaikan sebaliknya membawa kemudaratan kepada semua pihak.

"Saya berharap bahawa pada masa akan datang, dunia akan lebih sedar bahawa keganasan bukanlah satu pendekatan yang patut dilakukan untuk mencapai apa juga tujuan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Rumah Terbuka Hari Vaisakhi 1Malaysia di Dataran Merdeka, di sini.

Najib berkata kerajaan Malaysia telah mengambil sikap menentang sebarang bentuk keganasan dan kefahaman yang keterlaluan ataupun ekstrem.

"Ini adalah selaras dengan prinsip agama Islam di mana perbuatan membunuh orang awam adalah dilarang dan ditegah dengan kerasnya oleh agama Islam," katanya.

Najib berkata Osama telah menggunakan Islam dalam perjuangannya dan telah memberi imej yang cukup negatif dan buruk terhadap Islam. "Sebab itulah, sebagai negara di mana majoritinya umat Islam, kita mesti juga menunjukkan pendirian kita yang mana dalam kita memartabatkan Islam, dalam kita memperjuangkan ketidakadilan dan sebagainya, kita mesti berpegang pada prinsip yang dibenarkan atau selaras dengan kehendak Islam." katanya.

Perdana Menteri berkata serangan 9/11 di bangunan Pusat Dagangan Dunia New York pada 2001 yang dirancang oleh Osama tidak boleh diterima oleh sesiapa yang mempunyai nilai ketamadunan dan juga tidak boleh diterima di sisi agama Islam.

Katanya ketidakadilan tidak boleh diperjuangkan menerusi penggunaan kekerasan atau melalui perbuatan membunuh orang awam yang tidak berdosa.

Katanya rakyat negara ini perlu menolak sebarang bentuk keganasan kerana kebijaksanaan berdasarkan pendekatan Wassatiah atau kesederhanaan dapat mencapai sesuatu yang diperjuangkan.

Mengulas tindakan pihak Amerika Syarikat itu, Najib berkata walaupun mengambil masa 10 tahun, pihak yang menjadi mangsa akan tetap tuntut pembalasan terhadap keganasan yang dilakukan ke atas orang awam yang menjadi mangsa pembunuhan.

Menyentuh tindakan rangkaian Al-Qaeda ke atas ancaman keselamatan negara, Najib berkata pada masa ini, tiada ada tanda-tanda yang anggota kumpulan itu berada di dalam negara.

Bagaimanapun, katanya polis akan berada dalam keadaan berjaga-jaga bagi mengesan mana-mana kumpulan yang mahu mengancam keselamatan negara kerana simpati dengan kematian pengasas kumpulan A-Qaeda itu.

"Ini satu tamparan yang hebat kepada Al-Qaeda, ini bukan bererti mereka akan terkubur sama sekali, kita tidak boleh anggap bahawa segala-galanya sudah pun tamat.

"Tetapi jelas bahawa kumpulan itu hilang kekuatan dengan kehilangan Osama bin Laden yang merupakan sumber inspirasi kepada pergerakan itu," katanya. -BERNAMA


Harap Kematian Osama Bawa Keamanan Sejagat: Hishamuddin

KLUANG: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berharap kematian pemimpin kumpulan pengganas Al-Qaeda Osama bin Laden dalam satu operasi ketenteraan Amerika Syarikat di Pakistan pada Isnin dapat membawa dunia ke arah keamanan dan keharmonian sejagat.

Namun, beliau memberi amaran bahawa perjuangan kumpulan yang terlibat di dalam beberapa serangan pengganas di seluruh dunia itu tidak berkisar kepada seorang individu sahaja.

"Saya harap ia (kematian Osama bin Laden) akan menjurus kepada keselamatan dan keamanan sejagat yang merupakan tanggungjawab bersama," katanya kepada pemberita selepas persidangan perwakilan Umno Bahagian Semberong yang dirasmikan Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir di sini.

Hishammuddin, yang juga Naib Presiden dan Ketua Umno Bahagian Semberong, berkata adalah amat penting bagi semua pihak untuk memahami punca yang menyebabkan kelahiran gerakan militan.

Pemimpin Al-Qaeda kelahiran Arab Saudi yang hidup di dalam persembunyian itu dilaporkan terbunuh di dalam satu operasi khas tentera Amerika Syarikat di sebuah rumah di bandar Abbotabad, berdekatan Islamabad.

Turut dilaporkan terbunuh di dalam serangan itu termasuklah seorang anak Osama dan beberapa yang lain.

Hishammuddin berkata Polis Diraja Malaysia menerusi pelbagai unit khas pasukan itu sentiasa bekerja keras bagi memastikan rakyat negara ini bebas daripada segala ancaman kumpulan pengganas.

"Tidak ramai yang tahu di dalam tugas-tugas dilakukan oleh polis yang bekerja keras bagi memastikan keselamatan rakyat negara ini dan memastikan mereka dapat tidur lena pada waktu malam," katanya.

Baru-baru ini, kata Hishammuddin, Malaysia telah menandatangani perjanjian keselamatan dengan Arab Saudi dan sebelum itu perjanjian seumpamanya dengan Australia meliputi isu keganasan, imigresen dan isu penyeludupan manusia dan pemerdagangan orang.

Beliau berkata Malaysia juga menandatangani perjanjian keselamatan dengan United Kingdom ketika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melawat negara itu tidak lama lagi.

Malaysia dan Turki, katanya turut sedang berunding bagi mengeratkan kerjasama keselamatan.- BERNAMA


Ulasan GB

Ketara kini Najib dan Hishamuddinlah yan terperangkap apabila Mahathir mengecam tindakan Amerika membunuh Osama.

Jika Mahathir sendiri menyatakan tindakan Amerika itu tidak bertamadun, maka tidak bertamaddun jugalah Najib dan Hishamuddin yang menyokong tindakan Amerika itu.

Bukankah begitu sifirnya?


7 ulasan:

Ismi Azraf berkata...

Tindakan membunuh Osama memanglah tidak bertamadun. Membunuh umat Islam ketika peristiwa Memali bagaimana pula?

Tanpa Nama berkata...

Mangsa-mangsa bunuh di Memali bukan pengganas pun. Begitu ramai pegawai dan anggota polis digunakan bagi menjalankan operasi membunuh tersebut. Bertamaddun ke?

Tanpa Nama berkata...

Penipuan terhadap waris-waris Memali tu jugak tak bertamdun.

Tanpa Nama berkata...

Terima Kasih Tun kerana komen Tun setidak2 nya kami warga Pencinta Islam rasa sedikit lega,,,Kami sedih dan terharu dgn Najib & Hisamudin yng terlalu biadap,,,, BIADAP dan Melukakan hati warga Islam yang sayangkan Osama dan BERCITA2 NAK MATI SYAHID MCM OSAMA, ADAKAH KERANA najid dan hisamudin telah di BRIEF OLEH US

Tanpa Nama berkata...

mahathir pandai berlakon, dia PM yang paling banyak tahan umat islam ISA

Tanpa Nama berkata...

tak payah pergi jauh mahathir!! siapa bunuh umat islam memali?????????

Tanpa Nama berkata...

I wonder if Mahathir will have as much mercy if someone murdered his entire family?