15 Mac 2011

WASPADA: 5 Sekeluarga Keracunan Akibat Makan Cendawan Tahun

Alor Setar - Akibat memakan cendawan tahun yang tumbuh di tepi sebuah terusan, lima sekeluarga di Kota Sarang Semut dekat sini dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini petang semalam selepas mengalami sakit perut dan muntah yang teruk.

Gambar: Mahdzir Baharom, 53, ditemuramah oleh para wartawan di wad Hospital Sultanah Bahiyah selepas dimasukkan di hospital itu petang semalam akibat keracuran selepas memakan cendawan tahun semalam.

Mahdzir Baharom dan isterinya serta tiga anak mereka dipercayai mengalami keracunan makanan selepas memakan cendawan itu tengah hari semalam.

Cendawan tahun ialah sejenis cendawan yang tumbuh beberapa hari selepas berlakunya petir dan hujan lebat di sesuatu kawasan dan dipercayai tumbuh setahun sekali sahaja dan selalunya tumbuh di kawasan ladang kelapa sawit, getah atau kawasan berbusut.

Mahdzir, 53, yang merupakan pesara tentera ketika ditemui di HSB hari ini berkata dia menjumpai cendawan itu yang tumbuh di tepi Terusan Wan Mat Saman.

“Semasa saya pulang dari pekan Kota Sarang Semut, saya terlihat cendawan itu tumbuh subur di tepi terusan itu dan mengambilnya...hanya lauk itu sahaja makanan kami sekeluarga untuk tengah hari semalam,” katanya.

Katanya dia berasa pening ketika menunggang motosikal untuk berniaga ais kacang dari rumah ke rumah dan kemudiannya muntah-muntah dan mengambil keputusan pulang ke rumahnya di Taman Impian dan ketika sampai di rumah dia lihat isteri dan tiga anaknya juga mengalami keadaan yang sama.

“Memandangkan keadaan semakin teruk, saya menghubungi abang untuk meminta bantuan, dia (abang) menghubungi polis dan ambulans dan membawa kami ke hospital,” katanya.

Isterinya, Faridah Yusof, 50, telah dibenarkan keluar dari hospital malam tadi manakala tiga anaknya Siti Nur hidayah, 22, Siti Nor Bazuri, 17, dan Syafikah, 13, masih di rawat di hospital yang sama.

Pengarah HSB, Datuk Dr Juita Ghazalie berkata mereka disahkan mengalami keracunan makanan dan keadaan mereka kini stabil dan menasihatkan orang ramai berhati-hati ketika makan cendawan yang tumbuh liar di sesuatu kawasan. — Bernama

Tiada ulasan: