15 Mac 2011

Malaysia Enggan Belajar Dari Kesengsaraan Jepun, Mahu Teruskan Juga Projek Nuklear

TPM: Malaysia akan teruskan cita-cita nuklear

Di sebalik kebocoran radioaktif di Jepun berikutan gempa bumi kuat yang mengegarkan negara itu, Malaysia tetap dengan cita-citanya membina loji tenaga nuklear, kata timbalan perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya agensi tempatan akan melakukan yang terbaik bagi menjamin keselamatan di dua loji tenaga yang dijadual dibina di negara ini.

"Semua negara di dunia memantau dan meneliti perkembangan di Jepun. Yang penting ialah soal keselamatan negara dan rakyat. Jadi dalam soal ini kita ada agensi yang bertanggungjawab. Mereka tahu apa yang mereka lakukan dan kita yakin mereka melaksanakan yang terbaik," katanya.

Muhyiddin bercakap kepada pemberita selepas majlis Perasmian Penutupan Program Keluarga 1Malaysia, anjuran Kementerian Pelajaran, di Putrajaya hari ini.

Berikutan magnitud 8.9 pada skala Richter yang menggoncang Jepun, tiga daripada reaktor nuklearnya di Fukushima, yang hanya kira-kira 250 km dari Tokyo menghadapi kemungkinan musnah.

Puluhan ribu masyarakat yang tinggal berhampiran pusat itu juga terpaksa dipindahkan kerana kebimbangan kebocoran radiasi.

Sebelum ini, Menteri Teknologi Hijau, Tenaga dan Air, Datuk Seri Peter Chin pada Disember lalu mengumumkan Malyasia akan membina dua loji tenaga nuklear yang mampu menjana 1,000 megawatts setiap satu. Loji pertama dijadual beroperasi pada 2021 manakala yang kedua setahun kemudian.

'Tidak pasti'

Chin juga dilaporkan berkata semalam bahawa Agensi Nuklear Malaysia akan memberi penjelasan dalam tempoh terdekat mengenai impak letupan dan kebocoran radiasi di loji di Jepun itu.

Ditanya mengenai kelulusan loji pemprosesan tanah jarang di Gebeng dekat Kuantan yang dikatakan telah diberikan kepada sebuah syarikat di Australia, dan mencetuskan kebimbangan ramai, Muhyiddin berkata beliau tidak pasti.

“Kami faham penduduk bimbang tetapi beberapa syarat mesti dipatuhi seperti soal keselamatan dan alam sekitar.

“Jadi agensi-agensi yang relevan mesti kaji sebelum satu keputusan dibuat. Sama ada ia sudah dibuat keputusan atau tidak, saya tidak pasti,”
katanya.

Minggu lalu, akhbar harian Amerika, the New York Times (NYT) melaporkan pekan industri Gebeng berhampiran Kuantan bakal menyaksikan pusat pemprosesan tanah jarang (rare earth) yang paling besar di dunia.

Pusat penapiasan bernilai RM700 juta itu sedang dibina oleh syarikat Australia, Lynas Corp. Mereka akan menghantar tanah jarang yang dilombong di barat negara itu di Mount Weld dengan kapal.

Ini adalah percubaan kedua Malaysia dalam penapisan tanah jarang, kali pertama menimbulkan kontroversi dan bantahan apabila ia cuba didirikan di Bukit Merah, Perak pada sekitar 1980an.

'Jangan percaya SMS'

Muhyiddin juga menasihatkan orang ramai supaya tidak mempercayai khidmat pesanan ringkas (SMS) kononnya Malaysia juga terdedah kepada bahaya kesan radiasi akibat kebocoran loji janakuasa nuklear Fakushima Daiichi di Jepun.

Menyifatkan penyebaran sms itu sebagai tidak bertanggungjawab, Muhyiddin berkata Malaysia selamat daripada sebarang ancaman dengan agensi terbabit sentiasa memantau perkembangan di Jepun dan di negara ini.

Justeru beliau meminta orang ramai supaya tidak terpedaya atau panik sebelum meneliti kesahihan maklumat tersebut.

"SMS itu dikeluarkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Jangan kita mudah menerima apa sahaja yang dilaporkan itu dengan tidak menyemak.

"Jangan kita timbulkan kebimbangan yang agak luar biasa, walaupun berlaku di Jepun tetapi sehingga orang ramai rasa takut untuk mengurus atau buat kerja seperti biasa," katanya.


Radiasi loji Jepun terlepas ke atmosfera: IAEA

VIENNA: Jepun sudah memberitahu badan pemantauan nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bahawa bahan radioaktif terlepas "secara terus" ke atmosfera daripada tapak reaktor nuklear yang terjejas akibat gempa bumi dan ia sudah memandam kebakaran di kolam penyimpanan sisa bahan api di situ.

Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), merujuk maklumat yang diterima daripada pihak berkuasa Jepun pada 0350 GMT, menyatakan kadar dos sehingga 400 milisievert sejam dilaporkan di loji tenaga nuklear Fukushima.

Ia tidak menyatakan butiran atau perbandingan tahap radiasi tetapi menurut Persatuan Nuklear Sedunia, pendedahan terhadap dos melebihi 100 milisievert setahun adalah tahap yang boleh menyebabkan barah.

“Pihak berkuasa Jepun menyatakan terdapat kemungkinan bahawa kebakaran itu disebabkan letupan hidrogen," menurut IAEA dalam satu kenyataan hari ini. - Reuters


Ulasan GB

Inilah akibat Malaysia mempunyai seorang TPM yang bermentaliti rendah. Mungkin beliau ingat melihat anak-anak Malaysia satu hari nanti semuanya cacat-cacat belaka akibat dari kesan radioaktif.

Muhyiddin berkata:

Jadi dalam soal ini kita ada agensi yang bertanggungjawab. Mereka tahu apa yang mereka lakukan dan kita yakin mereka melaksanakan yang terbaik

Sedangkan di Jepun sendiri, yang tenaga kepakaran mereka bertaraf dunia tidak mampu untuk menyekat bahan radioaktif terlepas "secara terus" ke atmosfera daripada tapak reaktor nuklear dengan kadar dos sehingga 400 milisievert sejam seperti dilaporkan di loji tenaga nuklear Fukushima.

Menurut Persatuan Nuklear Sedunia, pendedahan terhadap dos melebihi 100 milisievert setahun adalah tahap yang boleh menyebabkan barah, inikan pula 400 milisievert!

Kedua, ditanya mengenai kelulusan loji pemprosesan tanah jarang di Gebeng dekat Kuantan yang dikatakan telah diberikan kepada sebuah syarikat di Australia, dan mencetuskan kebimbangan ramai, Muhyiddin berkata beliau tidak pasti.

Seorang TPM, tidak pasti terhadap perkembangan yang berlaku ke atas satu projek yang begitu merbahaya kepada negara, tetapi masih terus mahu membelanya!

Justeru itu wajar rakyat menentang projek ini habis-habisan kerana jelas ia bukan satu projek yang lebih banyak membawa mudharat daripada menafaat kepada Malaysia.

Untuk makluman, KPI Muhyiddin, hanya seinci lebih sedikit dari Pak Lah.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Kalau apa yang sedang berlaku diJepun sekarang,berlaku dinegara ini kelak,anak-cucu kita akan menyumpah dan kencing diatas kubur Najib dan Muhyiddin.Depa tak kisahkan keselamatan rakyat,yang penting ada masyuuuuk.

Tanpa Nama berkata...

Kalau anak cucu kencing atas kubur depa pun tak ada gunanya sebab depa mungkin tengah diazab oleh Mungkar dan Nangkir. Paling baik berjuang habis-habisan hatta bercerai roh dan jasad menentang pembinaan Reaktor Nuklear di Malaysia. Pembinaan ini bukan main-main, kalau stadium runtuh yang mati mungkin yang hadir di stadium, kalau KLCC roboh yang mati mungkin Tun Mahathir (kalau dia ada di situlah) dan pekerja-pekerja dan pengunjung-pengunjung menara. Tapi kalau reaktor meletup, bocor atau sebagainya merana seluruh bangsa Malaysia di Semenanjung hingga ke hari kiamat. Masa tu dia bukan nak kenal hang sokong BN ke, hang sokong PR ke, hang PDRM ke, hang ATM ke, semua disapu sama rata.