25 Mac 2011

Bahan Radioaktif Tersebar, Sayur Import Tercemar Ditemui Di Singapura

Tokyo: Ancaman bahan radioaktif berpunca daripada pelepasan radiasi di loji nuklear Fukushima semakin naik selepas tahapnya meningkat di Saitama, bandar bersebelahan Tokyo selain dikesan di beberapa negeri Amerika Syarikat dan juga Eropah.

Di Saitama, tahap radiasi dikesan lebih tinggi dalam sistem pembersihan air di daerah Kawaguchi, dan tidak selamat untuk kanak-kanak.

Pihak berkuasa Kawaguchi mendapati tahap radiasi iodin radioaktif mencapai 120 becquerel, sedikit tinggi daripada paras selamat.

Kelmarin, iodin radioaktif di Tokyo mencapai 210 becquerel di sebuah loji pembersihan air menyebabkan pihak berkuasa menyarankan penduduk tidak memberi air paip untuk diminum kanak-kanak.

Selain itu, pencemaran radiasi juga dikesan di tiga lagi negeri Amerika iaitu Colorado, Oregon dan Hawaii tetapi pihak berkuasa menegaskan ia dalam kadar yang kecil dan membahayakan keselamatan awam.

Agensi Perlindungan Alam Sekitar (EPA) mendedahkan kehadiran radiasi itu tetapi menekankan kadarnya kecil dan terlalu rendah untuk memberi masalah.

Di Oregon, radiasi iodin-131 juga dikesan agensi berkenaan manakala di Hawaii ia dikesan sehari sebelumnya. Radiasi itu dipercayai dari Fukushima. Sebelum ini, Washington dan California melaporkan pencemaran berkenaan.

Di Vienna, radiasi juga dilaporkan sudah tiba di Iceland dan dijangka sampai ke Perancis dan negara Eropah lain tidak lama lagi.

Pihak Berkuasa Keselamatan Iceland mengesahkan bahan radioaktif iodin-131 dikesan tetapi masih pada paras terlalu rendah.

Loji nuklear Fukushima rosak dan melepaskan radiasi sejak dilanda gempa 9 skala Richter dan tsunami yang melanda selepas itu pada 11 Mac lalu.

Usaha menyejukkan loji nukklear itu belum berjaya selepas diganggu letupan, kebakaran dan kebimbangan mengenai radiasi.

Terbaru, tiga pekerja di loji itu terdedah kepada radiasi 180 millisievert dan dibawa ke hospital, kata Fumio Matsuda, jurucakap Agensi Keselamatan Industri dan Nuklear (NISA).

Lebih 20 orang cedera dalam operasi untuk menyejukkan reaktor nuklear Fukushima.
Laporan menyatakan, radiasi sudah menyerap masuk produk tenusu termasuk susu mentah, air laut dan 11 jenis sayur termasuk brokoli yang ditanam dekat lokasi berkenaan.

Lebih 70,000 penduduk sudah dipindahkan dari kawasan 20 kilometer ke loji itu dan 130,000 berada di kawasan 10 kilometer lagi serta dinasihatkan tidak keluar rumah. – Agensi


Singapura Temukan Radiasi Di Sayuran Import Dari Jepun

PENGUASA Pertanian-Makanan dan Ternakan (AVA) telah menghentikan import susu dan produk susu, buah-buahan dan sayur-sayuran, makanan laut dan daging yang dihasilkan dari enam wilayah berhampiran loji tenaga nuklear Fukushima di Jepun.

Tambahan dua lagi wilayah, daripada empat sebelum ini, diumumkan AVA lewat malam tadi.

Langkah yang berkuat kuasa mulai kelmarin itu melibatkan produk-produk dari wilayah Fukushima, Ibaraki, Tochigi, Gunma, Chiba dan Ehime.

AVA dalam kenyataannya menyatakan pihaknya mendapati adanya kesan radioaktif dalam empat contoh sayuran yang diimport dari negara tersebut.

Sebelum ini, AVA menyatakan ia telah menerima maklumat daripada Jabatan Kesihatan Jepun, Tenaga Kerja dan Kesejahteraan (MHLW) Jepun yang telah mengesan tahap radioaktif yang tinggi dalam susu mentah dan sayur-sayuran daripada empat wilayah berkenaan.

Rabu lalu, Kementerian Kesihatan Jepun menyatakan ia mengesan tahap radioaktif, yang melebihi had yang ditetapkan dalam peraturan kesihatan, dalam 11 jenis sayur yang ditanam dekat loji nuklear Fukushima.

Kementerian itu menerangkan bahawa seseorang yang memakan 100 gram sayuran yang terjejas selama 10 hari sama seperti menelan separuh jumlah radiasi yang yang biasa terdapat daripada sekitaran selama setahun.

Kerajaan Jepun juga telah menghentikan penjualan susu mentah dan beberapa jenis sayuran dari wilayah Fukushima dan Ibaraki.

Loji tenaga nuklear Fukushima mengalami kerosakan menyusuli gempa bumi dan tsunami, menyebabkan pencemaran radioaktif.

Namun Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) memberi jaminan bahawa kemungkinan pencemaran radioaktif menular ke Singapura adalah amat rendah.

Dalam pada itu, AVA berkata langkah menghentikan import makanan dari Jepun itu selaras dengan langkah berjaga-jaga yang diambil negara-negara lain seperti Amerika Syarikat dan Australia.

Ia juga akan terus memantau dan menguji makanan import dari Jepun.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat terkini mengenai keadaan di Jepun atau pengumuman pihak berkuasa boleh melungsuri www.gov.sg/japanquake dan www.ava.gov.sg.

Sementara itu, usaha mengurangkan penderitaan mangsa bencana di Jepun terus dijalankan di sini.

Lebih $8.8 juta telah dikumpulkan bagi mangsa bencana di Jepun sejauh ini. --BHS


Tiada ulasan: