14 Mac 2011

Anak Jatuh Dalam Parit Besar Depan Rumah

Jerantut: “Saya sangka anak bongsu bermain di rumah jiran, tetapi saya gagal menemuinya sebelum seorang rakannya memberitahu bahawa dia ternampak anak saya terjatuh ke dalam parit besar depan rumah,” kata ibu kanak-kanak berusia tiga tahun, Raziq Azmi, yang lemas apabila terjatuh ke dalam saliran air itu sedalam dua meter di Taman Wira, Jumaat lalu, sebelum mayatnya ditemui pagi kelmarin.

Mengimbas semula kejadian, Rashiah Mohd Ali, 45, berkata, dia tiada di rumah kerana menjemput anak sulungnya berusia 17 tahun di asrama sebuah sekolah pada kira-kira jam 2.30 petang.

Mangsa yang anak bongsu daripada lima beradik tidak mahu mengikutnya dan ditinggalkan bersama suami, Azmi Ismail, 45, dan tiga lagi anaknya berusia 14,12 dan 9 tahun.

“Sebaik sampai di rumah saya mencari Raziq kerana tidak melihat kelibatnya di rumah dan ke rumah jiran yang dia selalu bertandang serta bertanya jika mereka ternampak anak saya.

“Hancur luluh hati saya apabila seorang budak kecil berkata, ternampak Raziq bermain di tepi parit dan mungkin terjatuh ke dalamnya sebab dia melihat semula anak saya sudah tiada di situ,” katanya.

Katanya, dia dan keluarganya memohon bantuan jiran mencari Raziq tetapi gagal menemui sebelum menghubungi pihak berkuasa.

“Tiada apa yang boleh kami lakukan lagi berikutan arus deras selain berdoa Raziq dapat ditemui semula dengan selamat. “Tidak tergambar perasaan saya yang kehilangan anak bongsu yang manja ini. Tambah lagi, ulang tahun kelahirannya akan tiba tidak lama lagi,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis daerah, Deputi Superintendan Zakaria Kassim, berkata mayat kanak-kanak itu ditemui pasukan mencari pada jam 9.15 pagi. -hm

Tiada ulasan: