9 Feb 2011

Ibu Campak Anak Lima Tahun Dari Tingkat Enam Sebelum Bunuh Diri

Wanita murung nekad bunuh diri terjun dari tingkat 10

Gambar: ANGGOTA polis memeriksa mayat mangsa yang dipercayai terjun dari tingkat 10 Flet Aman, Seri Kembangan, semalam.

SERDANG: Seorang ibu yang disyaki mengalami kemurungan mencampakkan anak perempuannya berusia lima tahun dari tingkat enam Blok B, Flet Aman, Jalan SK 6/1, Seri Kembangan di sini, tengah hari semalam, sebelum membunuh diri dengan terjun dari tingkat 10 blok bersebelahan.

Kejadian itu berlaku selepas suami mangsa, Teoh Hock Hwa, 45, keluar rumah untuk membaiki kereta selepas mengambil anaknya dari sebuah tadika sejam sebelum kejadian dan menghantarnya pulang serta meninggalkan mereka berdua di rumah.

Menurut Teoh, selepas 10 minit keluar dari rumah, dia menerima panggilan daripada jiran yang menyatakan isteri dan anaknya mati akibat terjatuh dari bangunan.

“Ketika menghantar anak pulang, saya turut membelikan makanan untuk anak dan isteri sebelum meninggalkan mereka di rumah. Ketika itu isteri saya menangis kerana ingin mengikut saya ke bengkel kereta, tetapi saya tidak mengendahkannya,” kata Teoh yang kesal ketika ditemui di tempat kejadian.

Teoh berkata, sebelum kejadian itu beberapa jiran mendakwa melihat isterinya membawa kerusi dari rumah mereka di tingkat dua Blok B flet berkenaan menuju ke tingkat enam sebelum bertindak mencampakkan anak mereka.

Kanak-kanak itu yang dikenali sebagai Man Yee mati di tempat kejadian akibat kecederaan teruk di badan, selain tangan yang hampir putus selepas tersangkut pada tangki air serta hentakan kuat pada kepala.

Selepas mencampakkan anaknya, isteri Teoh kemudiannya dilihat menuju ke Blok A sebelum naik ke tingkat 10 bangunan terbabit dan terjun ke bawah.

Mayat isteri Hock Hwa kemudian ditemui di tingkat bawah blok berkenaan dalam keadaan berlumuran darah.

Teoh berkata, beliau tidak menyangka isterinya sanggup bertindak sedemikian walaupun sedar dia mengalami kemurungan sejak 10 tahun lalu.

Difahamkan, keluarga mangsa menyewa di tingkat 2 blok itu sejak 10 tahun lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Razak Elias, berkata kes kematian anak beranak itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Kematian Mengejut (SDR) iaitu membunuh dan bunuh diri. -BH

Tiada ulasan: