3 Feb 2011

Ibu-bapa Pelajar Mesir Keliru Dengan Jaminan Wisma Putra

Perbincangan hangat Wisma Putra dengan ibubapa

Perbincangan Kementerian Luar Negeri bersama ibu bapa yang menuntut di Mesir hari ini bertukar menjadi hangat dan penuh emosi apabila soalan bertubi-tubi diajukan gagal di jawab dengan baik oleh pihak kementerian terbabit.

Seramai 22 anggota keluarga hadir seawal jam 2.00 petang di Wisma Putra bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung keadaan dan keselamatan anak-anak mereka yang belajar di negara bergolak itu.

Namun perbincangan itu menjadi hangat apabila setiap ibu bapa tampil mempersoalkan tindakan kerajaan yang disifatkan lemah dan
menggesa penyelesaian segera diambil.

Wakil ibu bapa turut menuntut kerajaan memberikan jaminan keselamatan ke atas anak-anak mereka.

Wakil kementerian terdiri daripada Timbalan Menteri Luar Negeri Datuk Richard Riot, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri Datuk Mohd Radzi Abdul Rahman dan Ketua operasi Datuk Mat Nor, malah perbincangan itu berlangsung hampir tiga jam.

Seorang ibu Wan Rohani Halim, 46, sebak apabila menceritakan keadaan dua anak lelakinya yang masing-masing berusia 15 dan 19 tahun yang kini menuntut di Kaherah.

Wan Rohani berkata keselamatan anaknya Mohd Ikramah Al-Din, 19, tidak terjamin apabila bersama-sama penduduk tempatan menjaga keamanan kawasan terbabit daripada diceroboh penjenayah.

“Saya hubungi dia Ahad lalu dia pegang pisau, kayu dan turut serta dengan penduduk tempatan jaga keselamatan di kawasan itu.

“Saya sedih dan bimbang dengan keselamatan Ikramah kerana kawasan yang didudukinya semakin huru-hara. Saya segera minta beliau pindah dengan adiknya ke Sekolah Ar-Rahim kerana saya difahamkan keadaan di situ selamat,” katanya ketika ditemui FMT.

Menceritakan pula kisah seorang lagi anaknya Mohd Qayyum Al-Din, 15, beliau berkata anaknya itu masih tidak dimaklumkan mengenai keadaan huru-hara itu.

“Anak saya dalam ketakutan. Bayangkanlah dengan umur beliau yang masih muda dan terpaksa berhadapan dengan keadaan begini pula. Saya mahu kerajaan buat tindakan cepat bagi menyelamatkan anak-anak kami,” katanya sebak.

“11,000 bakal jadi pembangkang”

Dr Muhammad Nasir Musa, 55, yang ditemui berkata tindakan lemah oleh kerajaan ini bakal menghasilkan 11,000 pembangkang.

“Anak saya dan rakan-rakannya mempersoalkan mengapa ramai yang pergi ke Tenang sedangkan rakyat Malaysia boleh bantu. Kami pula di sini tidak dibantu nak tunggu pemerintah mana sehingga kami dapat keluar?

“Ini akan hasilkan 11,000 pembangkang untuk 10 ke 20 tahun akan datang. Sedangkan anak saya menyertai kelab Umno dan anti pemerap. Kita jangan salahkan anak-anak kita,” katanya yang turut disokong ibu bapa lain yang hadir.

Beliau turut membangkitkan kelemahan pihak kedutaan Malaysia di Mesir yang didakwa gagal bertindak pantas dalam menangai isu itu.

“Duta kita gagal berfungsi dengan baik untuk atasi masalah ini. Sepatutnya masalah ini diselesaikan oleh duta, bukan Menteri Luar Negeri. Datuk Sahlan sehingga beliau perlu pergi ke Mesir,” katanya.

Dalam pada itu, Richard Riot pula berkata pihak kerajaan sentiasa komited dalam mengangani isu itu serta menggalakkan ibu bapa untuk terus berkomunikasi dengan Wisma Putra.

Kerajaan katanya, telah menjalankan pelan tindakan memindahkan para pelajar di segenap negeri di Mesir ke Jeddah.

“Walaupun terdapat kekangan, namun kami masih mendapatkan kerjasama negara lain untuk membawa pulang pelajar dan rakyat kita dengan selamat.

“Kami membuka bilik operasi 24 jam dan ibu bapa boleh terus hubungi kami dengan memberi maklumat lanjut berhubung anak masing -masing,” katanya.

Wakil ibu bapa juga turut dibawa melawat ke bilik operasi 24 jam serta memberikan butir-butir maklumat bagi memudahkan pihak Wisma Putra mengesan pelajar-pelajar terbabit.

Media dilarang membuat liputan

Sementara itu, FMT difahamkan media seperti TV Selangor, Selangor Kini dan Suara Keadilan dilarang membuat liputan.

Menurut wartawan TVSelangor Naeem Raffi alasan yang diberikan pengawal keselamatan terbabit “Hanya media utama sahaja yang dibenarkan masuk”.
Wakil persatuan pelajar dan parti politik turut hadir hari ini bersama-sama mendesak kerajaan mengambil tindakan pantas bagi mengatasi hal ini.

Ibu bapa boleh menghubungi talian dibawah untuk mendapatkan informasi terkini daripada pihak Wisma Putra:

Bilik Operasi, Kementerian Luar Negeri
Tel: 03-88892746 / 03-88874570 / 03-88874770 /
03- 8892830 dan 019-2784566
Bilik Operasi, Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah, Mesir
Tel: 00 202 3760 7375 / 00 202 3761 0270


Ibu bapa keliru jaminan keselamatan anak di Mesir

PUTRAJAYA: Sesi taklimat di Wisma Putra bersama ibu bapa pelajar yang melanjutkan pelajaran di Mesir, semalam agak tegang apabila terdapat sebahagian ibu bapa yang beremosi dan tidak berpuas hati kerana keliru dengan jaminan kerajaan mengenai tahap keselamatan anak mereka di Mesir.

Taklimat itu turut dihadiri Timbalan Menteri Luar, Datuk Richard Riot Anak Jaem Seorang ibu, Zainon Suratman, 50, berkata dia bimbang mengenai tahap keselamatan empat anaknya yang berada di negara bergolak itu ekoran demonstrasi besar-besaran rakyat Mesir yang mendesak Presiden Husni Mubarak berundur.

“Agak mencemaskan apabila diberitahu oleh anak saya dimana terdapat banduan penjara melepaskan diri serta bertindak memecah masuk bangunan kedai dan rumah berhampiran tempat kediaman mereka.

“Pihak polis sudah tidak melakukan kawalan dan ini mendedahkan lagi pelajar-pelajar kepada risiko menjadi mangsa samun, rompak dan jenayah rogol,”
katanya.

Dia berkata, anaknya turut menghadapi masalah kewangan kerana kebanyakan bank dan kedai ditutup menyukarkan mendapatkan bekalan makanan.

“Malah, kad prabayar juga melambung tinggi dari RM10 kepada RM50 menyukarkan mereka untuk menghubungi kami,”
katanya. Maizarah Abu Bakar, 47, berkata, dia berharap kerajaan dapat bertindak pantas memindahkan semua rakyat Malaysia dari negara itu kerana negara lain seperti Amerika Syarikat dan Indonesia sudah mula membawa pulang rakyat mereka sejak awal lagi.

“Saya sangat bimbang mengenangkan anak saya, Kauthar Hassan, 21, pelajar perubatan dari Universiti Mansourah kerana kebanyakan rumah berhampiran tempat tinggal anaknya juga dipecah masuk oleh perompak sekali gus mendedahkan mereka kepada bahaya.

“Pada Disember lalu saya pernah melawatnya di sana dan di sekeliling rumahnya tidak ada penduduk Malaysia menyukarkan mereka untuk meminta bantuan,” katanya.

Sementara itu Richard Riot berkata, kira-kira 2,000 rakyat Malaysia di Mesir akan dipindahkan ke Jeddah dengan menggunakan pesawat C-130. -hm


3 ulasan:

Rakyat Malaysia berkata...

saya merasakan pihak kedutaan Malaysia di MESIR gagal menjalankan tugas..seharusnya mereka merupakan orang yang pertama membantu kerana mereka berada berdekatan dengan pelajar...

mengenai 11000 bakal pembangkang akan lahir..senang sahaja lahir pembangkang dengan 1 isu sahaja..bagaimana pula dengan bantuan selama ini yang diberikan oleh kerajaan??? mungkin ibu bapa terlalu emosional dalam isu ini, lagi pula melibatkan hal anak-anak mereka.....

apa lagi yang perlu dikata, belajarlah sahaja di Universiti tempatan..apa-apa terjadi pun senang..dan tidak perlu asyik menyalahkan sesuatu pihak..

diharapkan semua Rakyat Malaysia di MESIR, selamat kembali ke tanah air....

Tanpa Nama berkata...

Terlalu banyak tindakan pihak kerajaan yang menunjukkan mereka tak ada duit atau bajed untuk mengurus perkara-perkara yang berbangkit. Berbuat, tetapi umpamaa 'siput' atau berkira-kira.

Pakatan Rakyat telah seupaya mungkin menjelaskan akan salah urus tadbir kewangan negara. Mereka juga telah membuktikan upaya mereka dalam negeri yang mereka diberi mandat mengurus-tadbirkannya walau sentiasa diasak dengan berbagai tohmahan dan halangan oleh UBN.

Bukan duit itu tak ada. Amalan pengurusan yang lemah dan 'ketirisan' itulah yang menyebabkan kesulitan kewangan negara. Pemilihan pihak yang mentadbir negara lebih berdasarkan upaya dan kredibiliti yang dibuktikan. Bukan sentimen.

Kebodohan kita yang ditenggelamkan oleh sintimen-sentimen menjadikan 'kebobrokan' berterusan. Takkan dah sesengsara rakyat di Tunisia, Mesir dan Palestin baru nak sedar dan bertindak.

PRU ke-13 sangat sesuai untuk kita bersama-sama memilih dan menetapkan satu pasukkan kerja urus-tadbir negara yang lebih baik berbanding yang sedang dok ada sekarang ini.

Berterima-kasih dan berhemah biar bertempat dan rasional. Satu pihak kita buat baik dengan 'berterima-kasih' tetapi pada masa sama kita mengekalkan kelangsungan elimen negatif yang semakin mengazabkan kehidupan kita dan masa depan negara.

Peristiwa- demi peristiwa Allah jadikan untuk kita alami sendiri supaya membuat pertimbangan solusinya.

Beringatlah sebelum kita berkeringat.

Tanpa Nama berkata...

"Rakyat Malaysia said...

apa lagi yang perlu dikata, belajarlah sahaja di Universiti tempatan..apa-apa terjadi pun senang..dan tidak perlu asyik menyalahkan sesuatu pihak.."

Negara China dan India berlumba-lumba menghantar pelajar ke luar negara supaya negara mereka maju. Tetapi apabila ada orang seperti 'Orang Malaysia' berfikiran sebaliknya, bilakah Malaysia akan menjadi negara maju?

My foot!!!