26 Jan 2011

Nik Aziz: Kekalkan Kecemerlangan!

Nik Aziz mahu Kelantan kekal kecemerlangan

Gambar: Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (tengah) menyampaikan sumbangan kepada penjaga gol pasukan bola sepak Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat, 21, (kanan) pada Majlis Penyampaian Cek Kepada Pasukan Bola Sepak Negeri Kelantan Sempena Kejuaraan Piala Malaysia Tahun 2010 di Kota Darulnaim di sini. Turut sama Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa (dua, kanan) dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri Kelantan Abdul Fattah Mahmood (kiri).

KOTA BHARU - Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mahu semua pihak yang terbabit dalam bidang bola sepak di Kelantan mengekalkan semangat dan kecemerlangan sehingga membolehkan negeri itu menjadi juara Piala Malaysia musim lalu.

Beliau berkata, orang ramai harus melihat bola sepak sebagai suatu cabang riadah yang bukan saja boleh menjaga kesihatan dan dijadikan hiburan, malah ia dapat mengubah minda masyarakat ke arah kebaikan.

"Jika permainan bola sepak menjadi suatu bidang permainan dan hiburan semata-mata ia boleh membawa kepada gejala tidak baik, seperti masalah sosial dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan RM200,000 kepada pemain dan pegawai Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) kerana kejayaan Kelantan menjuarai Piala Malaysia musim lalu.

Mengenai sumbangan itu, Nik Aziz berkata, walaupun kecil, ia penting bagi memberi semangat dan dorongan kepada pemain bagi meneruskan kecemerlangan dalam menghadapi liga musim seterusnya. - Bernama

1 ulasan:

calvin berkata...

Syabas!