28 Jan 2011

Kes Kugan: Betul-betul Wayang, Konstabel Polis Dibebaskan

Kes Kugan: MIC, keluarga tuntut badan bebas siasat

Dalam reaksi segera ekoran keputusan mahkamah membebaskan konstabel polis daripada tuduhan kes kematian A. Kugan pagi tadi, MIC mahu perdana menteri mengadakan sebuah badan bebas untuk menyiasat kes-kes suspek mati ketika berada dalam tahanan polis.

Pada sidang media berasingan, keluarga Kugan juga mahu kerajaan menubuhkan sebuah suruhanjaya siasatan bagi menyiasat kes itu.

“Saya meminta PM menubuhkan sebuah badan bebas, seperti Suruhanjaya Polis, dengan kuasa penuh untuk menerima aduan, menyiasat dan mengeluarkan laporan dan mendakwa mereka yang bertanggungjawab terhadap kematian-kematian ketika dalam tahanan polis,” kata Ketua Penerangan MIC pusat S. Murugessan dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, langkah itu akan mengembalikan keyakinan orang ramai terhadap pasukan polis dan memperlihatkan keseriusan kerajaan mengendalikan kejadian-kejadian itu.

Kata beliau, bilangan kes kematian ketika dalam tahanan di negara ini semakin banyak.

“Kes terbaru seorang anggota polis dibebaskan menunjukkan kita tiada mekanisme yang sesuai untuk memantau dan membawa mereka yang bertanggungjawab ke atas kematian semasa dalam tahanan ke muka pengadilan,” katanya.

Murugessan berkata buat masa ini Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat kes-kes kematian tahanan di lokap dan “keadilan mesti kelihatan diberikan” kepada mereka yang terbabit.

“Dalam keadaan penyiasat adalah dari badan yang sama (pasukan polis), di mana kematian didapati berlaku, maka isu berkecuali dan ketelusan juga bangkit,” kata beliau.

Pagi tadi, Mahkamah Sesyen melepaskan dan membebaskan Konstabel V. Navindran daripada dua tuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang tahanan polis, A. Kugan, dua tahun yang lalu.

Hakim Aslam Zainuddin berkata setelah meneliti hujah pihak pendakwaan dan pembelaan, beliau mendapati pihak pendakwaan telah gagal membuktikan satu kes prima facie dalam pertuduhan terhadap Navindran.

Beliau tidak memberikan sebarang alasan penghakiman.

Navindran, 28, dituduh melakukan kesalahan itu di bilik soal siasat Balai Polis Taipan USJ, Subang Jaya, antara 7 pagi dan 4 petang pada 16 Januari 2009.

Kugan, 23, suspek kes curi kereta mewah, meninggal dunia ketika dalam tahanan polis.

Navindran, yang jelas kelihatan tersentak dan terharu dengan keputusan mahkamah, memberitahu pemberita bahawa beliau amat gembira dengan keputusan itu dan ingin kembali bertugas semula secepat mungkin.

Dalam pada itu, ibu saudara Kugan, Renuka Subramaniam, memberitahu pemberita di Petaling Jaya bahawa keluarganya mahu keadilan diberikan ekoran kematian Kugan.

“Kami tidak puas hati langsung dengan keputusan ini. Kami sebagai rakyat Malaysia merasakan tidak selamat memandangkan kita masih boleh mati walaupun berada dalam tahanan polis,” katanya ketika berada di sini ibu Kugan.

Justeru katanya keluarga mereka ingin tahu bagaimana Kugan mengalami kecederaan jika tiada pihak yang bertanggungjawab.

“Jika pihak polis dibenarkan untuk terus bertindak macam ini, maka ramai lagi akan mati ketika dalam tahanan,” katanya.

Ibu Kugan, N. Indira, pula berkata, dia hanya boleh mengatakan bahawa mereka mahu Kugan kembali.

Naib Presiden PKR N. Surendran juga mengesahkan keluarga itu akan meminta agar suruhanjaya diraja siasatan diadakan berhubung kematian Kugan.

“Kes ini perlu dibuka semula dan kesemua mereka yang bertanggungjawab perlu didakwa melakukan pembunuhan, ini kes bunuh,” katanya lagi.

Surendran berkata, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail telah gagal dalam tanggungjawabnya memastikan keluarga Kugan menerima keadilan. -TMI


Konstabel Navindran Bebas Tuduhan Cederakan Tahanan Polis

PETALING JAYA: Mahkamah Sesyen di sini melepaskan dan membebaskan Konstabel V. Navindran daripada dua tuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang tahanan polis, A. Kugan, dua tahun yang lalu.

Hakim Aslam Zainuddin berkata setelah meneliti hujah pihak pendakwaan dan pembelaan, beliau mendapati pihak pendakwaan telah gagal membuktikan satu kes prima facie dalam pertuduhan terhadap Navindran.

Beliau tidak memberikan sebarang alasan penghakiman.

Navindran, 28, dituduh melakukan kesalahan itu di bilik soal siasat Balai Polis Taipan USJ, Subang Jaya antara 7 pagi dan 4 petang pada 16 Jan 2009.

Kugan, 23, suspek kes curi kereta mewah, meninggal dunia ketika dalam tahanan polis.

Kedua-dua pertuduhan terhadap Navindran itu adalah mengikut Seksyen 331 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Navindran, yang jelas kelihatan tersentak dan terharu dengan keputusan mahkamah, memberitahu pemberita bahawa beliau amat gembira dengan keputusan itu dan ingin kembali bertugas semula secepat mungkin.

"Saya amat berterima kasih kepada keluarga, peguam dan rakan yang memberi sokongan moral kepada saya sepanjang perbicaraan sejak awal tahun lalu," katanya.

Navindran, yang kini digantung kerja, mempunyai seorang anak lelaki berumur tiga tahun. Isterinya adalah seorang guru.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Abazafree Mod Abbas berkata beliau akan mendapatkan arahan seterusnya daripada Pejabat Peguam Negara sebelum membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah hari ini.

Kugan telah diwakili peguam Datuk P.M. Nagarajan. - BERNAMA


Ulasan GB

Rakyat melihat ia benar-benar satu sandiwara apabila konstabel polis yang dikatakan terlibat di dalam pembunuhan Kugan dibebaskan oleh mahkamah hari ini. Dan tiada sebarang alasan penghakiman diberikan selain daripada "mendapati pihak pendakwaan telah gagal membuktikan satu kes prima facie dalam pertuduhan terhadap Navindran."

Memang pun tiada kes prima facie terhadap Navindran sebab bukan beliau yang membunuh, beliau hanya dikambinghitamkan oleh pihak pendakawa - di dalam hal ini - Peguam Negara.

Polis yang membunuh masih terlepas bebas. Sama juga kes Teoh Beng Hock.

Justeru itu kita menyokong penuh, satu Suruhanjaya Bebas perlu ditubuhkan.

Tiada ulasan: