10 Jan 2011

Kakitangan DBKU Ditahan Rakam Pengguna Tandas

Kakitangan DBKU ditahan rakam pengguna tandas

KUCHING: Kegiatan seorang kakitangan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) yang gemar merakam pengguna tandas awam di Muzium Kucing Sarawak di sini, terbongkar selepas lelaki berkenaan ditahan polis, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, suspek berusia 21 tahun itu dipercayai menggunakan telefon bimbitnya bagi merakam seorang pelancong wanita dari Australia yang menggunakan tandas ketika melawat muzium berkenaan.

Sebelum itu, mangsa berusia 20 tahun itu bertanya lokasi tandas dengan suspek yang kemudian mengambil kesempatan merakam mangsa di dalam tandas berkenaan.

Perbuatan suspek disedari mangsa apabila mendapati terdapat kotak sabun mencurigakan tergantung pada pemegang pintu sebelah dalam tandas.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Mun Kock Keong, berkata mangsa yang berasa pelik kemudian memeriksa kotak berkenaan dan mendapati terdapat telefon bimbit yang sedang merakam video.

Katanya, mangsa terus memaklumkan kepada teman lelakinya yang kemudian membawa telefon itu ke pondok polis berdekatan untuk membuat laporan.

"Suspek kemudian cuba mendapatkan semula telefonnya tetapi ditahan anggota polis untuk disoal siasat," katanya.

Tiada ulasan: