4 Jan 2011

[Bergambar] Perompak Tebuk Dinding Pasaraya, Bungkusan Wang Syiling Dilarikan

Kuantan: Seorang pengurus cawangan sebuah pasar raya dekat Air Putih, di sini, terkejut apabila mendapati premis berkenaan dipecah masuk penjenayah yang menggunakan taktik ala James Bond dalam kejadian awal pagi semalam.

Difahamkan, penjenayah licik itu bukan saja menebuk dinding konkrit serta dinding pejabat untuk menceroboh masuk, malah berjaya mengelak dikesan sistem penggera sebelum melarikan beberapa bungkusan berisi syiling.

Pengurus cawangan berkenaan, Gan Yoke Chow berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 2 pagi dan hanya disedari kira-kira jam 8.30 pagi ketika dia mahu memulakan operasi perniagaan.

“Saya datang ke pejabat seperti biasa, tetapi terkejut apabila mendapati dinding berhampiran pintu pejabat berlubang sebelum memaklumkan kejadian itu kepada majikan.

“Selepas diperiksa, kami menemui dua lagi lubang di dinding dalam pejabat selain satu lubang dalam tandas sebelum mendapati beberapa bungkusan berisi syiling hilang,” katanya.

Menurutnya, pihaknya percaya penjenayah menceroboh masuk melalui lubang yang ditebuk pada dinding tandas restoran bersebelahan yang bercantum dengan tandas pasar raya itu sebelum masuk pejabat.

“Penjenayah itu juga berjaya mengelak dikesan sistem penggera dengan tidak masuk ke dalam bilik tempat bungkusan syiling disimpan, sebaliknya menggunakan kayu bagi mengambil bungkusan berkenaan.

“Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) juga gagal merakam penjenayah terbabit kecuali cahaya lampu suluh digunakan,” katanya yang belum dapat menilai jumlah kerugian akibat kejadian itu.

Sementara itu, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah daerah, Deputi Superintendan Kamaruzzaman Jaafar ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. -hm



ehsan Bernama


Ulasan GB

Menjelang Tahun Baru Cina, lazimnya kes rompakan akan meningkat. Justeru, kepada para peniaga dan mereka yang mengeluarkan wang di bank/ATM perlu berwaspada.

Tiada ulasan: