2 Jan 2011

Baru Menjamah Juara, Skuad Harimau Malaya Bakal Kehilangan Safee

Susulan Piala Suzuki, Safee diburu empat kelab asing

KUALA LUMPUR, 2 Jan — Penyerang sensasi bola sepak negara Mohd Safee Mohd Sali kini dipikat sekurang-kurangnya empat tawaran kontrak untuk menyertai kelab di luar negara.

Tiga tawaran datangnya dari Indonesia manakala satu lagi Vietnam.

Perkara itu didedahkan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) Datuk Hamidin Mohd Amin pada majlis taklimat serta undian Liga Malaysia 2011 di Bukit Jalil.

“Setakat ini, empat kelab bola sepak telah menawarkan diri membeli kontrak Safee Sali dengan Selangor,” katanya kepada pemberita tanpa menamakan kelab berkenaan.

Hamidin yang juga Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berkata pegawai kelab bola sepak Vietnam itu telah menemuinya berhubung “pembelian” Mohd Safee, manakala wakil tiga kelab terkemuka Indonesia pula menelefon beliau mengenai perkara yang sama.

Beliau berkata perbincangan mengenai tawaran itu telah dilakukan dengan Mohd Safee di pejabat FAS semalam, sebelum pasukan Selangor berangkat ke Australia pagi semalam untuk beraksi dalam tiga perlawanan persahabatan bersama kelab di negara tersebut esok, 5 serta 7 Januari ini, dan dijadualkan pulang dua hari kemudian.

“Ketika perbincangan semalam, dia seolah-olah macam tidak percaya dengan apa yang saya katakan.

“Saya akan ke Australia petang ini, dan akan berbincang dengan beliau di sana agar dia mampu berfikir secara terbuka, kerana saya telah memberitahu risiko dan kekangan yang bakal ditempuhi nanti,” katanya.

Hamidin berkata keputusan sama ada Mohd Safee beraksi di luar negara atau tidak, akan ditentukan oleh Ahli Tertinggi Jawatankuasa FAS.

“Saya akan berbincang dengan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan exco Selangor. Kita akan ikut prosedur yang betul sebelum melepaskan beliau pergi,” katanya.

Pada pertandingan Piala AFF Suzuki 2010 baru-baru ini, Mohd Safee muncul sebagai penjaring terbanyak, yang melayakkan beliau memperoleh kasut emas di edisi tersebut. — Bernama

4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

ini berita baik..boleh membuka bnyk peluang untuk maju...tp mau ke rakyat sana terima kita, selamat ke

Tanpa Nama berkata...

Bermainlah di kelab-kelab Eropah. Kalau mencari peluang di negara-negara Asia yang tarafnya lebih kurang dengan kita juga, bilakah bolasepak kita akan maju? Buat permulaan, pemain-pemain perlu mencuba nasib di liga-liga Belgium, Turki, Serie B Itali, Liga Segunda Sepanyol dsan sebagainya. Sebagai perbandingan, lebih daripada 6 pemain Jepun beraksi di Bundesliga. Ada yang bermain di Scotland, Rusia dan tempat lain di Eropah.

Web Sutera berkata...

Berita baik. Saya tak kisah dia keluar dari pasukan Selangor. Itu baik untuk dia dan mutu bola sepak Malaysia.

Tanpa Nama berkata...

kah-kah-kah. Aku ingat tawaran dari englannd ke, perancis ke, itali ke, spanyol ke, jerman ke. Third division pun OK. Ini dari negara lagi mundur daripada M'sia.