15 Mac 2010

Dua terselamat apabila pesawat ringat mendarat cemas dalam laut

Seorang juruterbang dan pelatih juruterbang terselamat apabila sebuah pesawat ringan yang mereka naiki melakukan pendaratan cemas di perairan berhampiran Mes Pegawai Polis Pasir Hitam, Ayer Hangat, di sini pagi ini.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Ishak Hasan berkata, dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu kedua-dua mangsa diselamatkan oleh nelayan yang berada di kawasan berhampiran.

"Difahamkan pesawat berkenaan baru berlepas dari pusat latihan untuk sesi latihan pagi tadi, tapi terpaksa melakukan pendaratan cemas selepas dipercayai berlaku kerosakan pada enjin pesawat.

"Pesawat berkenaan mendarat kira-kira 100 meter daripada pantai dan kedua-dua mangsa hanya mendapatkan rawatan biasa di hospital," katanya.

Beliau berkata, juruterbang dan pelatih berkenaan dipercayai dari pusat latihan penerbangan HM Aerospace Sdn Bhd yang beroperasi di pulau itu.

Ishak berkata, setakat ini pihaknya belum menerima laporan daripada pihak yang berkenaan dan punca sebenar kejadian masih disiasat.-Bernama foto :BH



Tiada ulasan: