28 Dis 2010

Tragedi Bot Karam Di Mersing: 2 Penumpang Kisahkan Pengalaman Detik-detik Ngeri

Paut pada pelampung dengan tiga penumpang lain untuk selamat

Dua penumpang Singapura cerita saat bot kayu yang dinaiki tenggelam dekat Mersing

Dari Mersing, Johor: CIK Xenn Teo, 25 tahun, terpaksa berpaut pada pelampung dengan tiga penumpang lain apabila bot kayu yang membawa 29 penumpang dari sebuah kelong di Pulau Sibu dekat Mersing, Johor, terbalik kirakira 300 meter dari jeti Tanjung Leman kelmarin.

Teman lelakinya pula, Encik Daniel Lim, 35 tahun, sempat berpaut pada kotak ais sebelum diselamatkan tidak lama kemudian.

'Kami dalam perjalanan dalam keadaan air pasang apabila air mula masuk ke dalam bot kayu itu.

'Tekong bot kemudian mengarahkan kami supaya bergerak ke depan bot kayu itu apabila bot itu mula senget dan dimasuki air. Kami menuruti arahannya dan bergerak ke depan.

'Namun pada saat itu lebih banyak air laut mula mengalir masuk dan secara tiba-tiba bot kayu itu senget ke belakang dan tiba-tiba terbalik,' ujar Cik Teo semasa ditemui di Hospital Mersing petang semalam.

Beliau adalah antara 19 pelancong Singapura, sembilan pelancong Malaysia dan seorang warga China yang pergi bercuti di sebuah kelong di Pulau Sibu.

Bot yang melebihi dua kali ganda muatan yang dibenarkan itu terbalik selepas dipukul ombak di perairan Mersing, 300 meter dari Jeti Tanjung Leman sekitar 1.30 tengah hari.

Cik Teo ke sana bersama Encik Lim dan sembilan anggota keluarganya bagi merai cuti Krismas.

Mereka ke kelong itu pada pagi Sabtu dan dijadualkan pulang ke jeti Tanjung Leman tengah hari kelmarin.

'Apabila bot itu karam naluri pertama yang berdetik ialah saya tidak ingin mati pada waktu itu.

'Walaupun saya tidak pandai berenang, saya kuatkan diri untuk keluar dari tingkap dan melompat keluar sebelum cepat-cepat berpaut pada pelampung dengan tiga penumpang lain,' cerita Cik Teo, seorang ekesekutif pentadbiran.

Menurut Cik Teo, ini kali pertama beliau pergi ke kelong untuk bercuti.

'Daripada pemerhatian saya, memang sah bot itu agak sarat dengan penumpang,' kata beliau.

Menurut Encik Lim, seorang eksekutif khidmat pelanggan, sewaktu kejadian cuaca agak baik tetapi keadaan laut agak bergelora.

'Apabila bot itu karam, saya cuba mencari apa yang tercapai untuk terapung. Mujur saya dapat berpaut pada kotak ais. Selepas terapung-apung saya hampir berputus asa, mujur saya berjaya diselamatkan kemudian,' ujarnya.

Dua daripada sembilan anggota keluarganya maut dalam kejadian itu.

Mereka ialah sepupunya, Encik Chua Lim Khoon, 45 tahun, dan Cik Low Lee Jun, 33 tahun.

Cik Teo dan Encik Lim mengaku mereka tidak memakai jaket keselamatan apabila bot kayu itu terbalik.

Ketika diminta menyingkap pengalaman mereka yang hampir terlepas dari maut, Encik Lim berkata beliau amat bersyukur dapat diberi peluang kedua.

'Kejadian ini sememangnya mengajar saya untuk lebih menghargai kehidupan. Sudah pasti saya tidak akan mensia-siakannya,' kata beliau. -cyberita

Tiada ulasan: