31 Dis 2010

Pemberian Tender Tak Ikut Peraturan - Mahfuz Letak Jawatan

Mahfuz: Biar Kedah jelaskan mengapa saya letak jawatan

KUALA LUMPUR, 30 Dis — Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata beliau telah pun memaklumkan kepada Menteri Besar dan pengurusan Kedah Sato Sdn Bhd secara rasmi apabila memutukan untuk meletakkan jawatan sebagai pengerusi anak syarikat kerajaan negeri itu baru-baru ini.

Sehubungan itu kata Mahfuz, keputusannya adalah muktamad dan menyerahkan kepada pucuk kepimpinan negeri untuk mendedahkan sebab beliau berbuat demikian.

“Keputusan saya muktamad. Dalam surat itu saya mengatakan bahawa saya meletakkan, saya bukan kata saya pohon mahu berhenti.

“Kalau saya pohon bermakna mereka akan mempertimbangkan surat saya, tidak . . . saya sudah letak jawatan, keputusan muktamad,” kata beliau sambil menambah, ia berkuat kuasa serta-merta.

The Malaysian Insider difahamkan beliau berbuat demikian berkuat kuasa 20 Disember lalu.

Ketika ditanya sebab berbuat demikian, Mahfuz berkata, dalam suratnya Ahli Parlimen Pokok Sena itu menyebut beliau meletakkan jawatan “atas sebab yang semua orang sudah tahu”.

Bagaimanapun beliau enggan menghuraikan sebab-sebabnya.

“Terpulang kepada mereka (pengurusan dan kerajaan negeri) mendedahkan sebab mengapa saya memutuskan untuk meletakkan jawatan,” kata Mahfuz (gambar) yang juga timbalan pesuruhjaya PAS Kedah.

“Saya mahu dengar apa mereka hendak berkata,” katanya lagi.

Dalam ulasan kepada The Malaysian Insider yang disiarkan pagi ini, Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata beliau tidak tahu apa-apa kononnya Mahfuz telah meletakkan jawatan sebagai pengerusi anak syarikat kerajaan negeri, Kedah Sato.

Laporan media lewat petang semalam menyebut Mahfuz telah menghantar surat kepada pihak pengurusan syarikat itu dan juga kepada Menteri Besar Kedah.

Ketika dihubungi The Malaysian Insider, Azizan berkata, pihaknya masih belum menerima sebarang maklumat berhubung keputusan Mahfuz itu.

Mahfuz berkata, surat peletakan jawatan telah diserahkan kepada pihak pengurusan Kedah Sato minggu lalu yang merupakan anak syarikat Bina Darulaman Berhad (BDB).

Beliau berkata memandangkan berita itu sudah tersebar sama ada melalui internet ataupun dari mulut ke mulut, beliau mengambil sikap terbuka dengan tidak menafikannya kerana tidak mahu berbohong kepada umum.

Desas-desus tentang peletakan jawatan Mahfuz sebagai Pengerusi Kedah Sato tersebar sejak akhir-akhir ini dikatakan berpunca daripada Mahfuz yang tidak bersetuju dengan penganugerahan projek pembinaan kampus Kolej Universiti Insaniah kepada pihak yang tidak mengambil bahagian dalam tender dan tidak mengikut peraturan.

Februari lalu, Azzian menyaksikan majlis meterai kemudahan pembiayaan bernilai RM330 juta antara Bank Islam Malaysia dengan Kedah Sato bagi pembinaan dan pembangunan kampus tetap Kolej Universiti Insaniah di Kuala Ketil, Baling. -TMI


BDB jumpa MB bincang isu Mahfuz letak jawatan

Satu perbincangan dijangka diadakan dengan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak malam ini berhubung isu peletakan jawatan pengerusi Kedah Sato Sdn Bhd, Datuk Mahfuz Omar ekoran pemberian tender yang didakwa tidak mengikut peraturan.

Ahli lembaga pengarah eksekutif bebas Bina Darulaman Berhad (BDB) Senator Ir. Zamri Yusuf berkata perbincangan itu melibatkan beberapa pegawai dilantik dibawah pentadbiran kerajaan negeri bagi menyelesaikan masalah berkaitan anak syarikat. BDB merupakan syarikat induk kepada Kedah Sato.

"Mungkin mereka akan meneliti dan menyemak semula surat peletakan jawatan Datuk Mahfuz bersama menteri besar untuk menyelesaikan isu berkenaan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.

Menurutnya, perbincangan itu hanya melibatkan pegawai dan menteri besar sahaja tanpa kehadiran Mahfuz, yang juga merupakan ahli parlimen Pokok Sena.

Mengulas lanjut, Zamri tidak menolak berlaku berlaku salah faham mengenai maklumat berhubung pemberian tender oleh Kedah Sato kepada IJM Berhad.

Menurutnya, tender itu adalah untuk pembinaan Kolej Universiti Insaniah berjumlah kira-kira RM180 juta.

"Rugi kalau kita kehilangan orang seperti beliau (Mahfuz) - seorang yang berprinsip," katanya.

"Saya berharap pihak pengurusan peringkat tertinggi dan kumpulan berbincang bersama Mahfuz bagi menyelesaikan isu tersebut.

Semalam, Mahfuz yang juga naib presiden PAS, mengesahkan telah meletak jawatan tetapi enggan mengulas sebab-sebab beliau berbuat demikian.

Bagaimanapun, sejak kelmarin, tersebar berita di internet bahawa ia berkaitan dengan pemberian tender oleh syarikat itu yang didakwa tidak mengikut peraturan.

Difahamkan Mahfuz meletak jawatan kerana tidak bersetuju dengan penganugerahan projek kepada pihak yang tidak mengambil bahagian dalam tender. -mk


Tiada ulasan: