31 Dis 2010

[Bergambar] Kepulangan Pemain Malaysia Disambut Meriah

Sambutan Meriah Kepulangan Hero Bola Sepak Negara

Gambar: PEMAIN pertahanan negara, Mohd Muslim Ahmad (tengah) dikerumuni penyokong pasukan Harimau Malaya setibanya dari Indonesia . - Foto Yusni Ariffin

SEPANG: Ketibaan wira bola sepak negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada Khamis, disambut meriah dengan lambaian bendera Jalur Gemilang oleh beratus-ratus peminat dan ahli keluarga.

Penyokong yang gembira menjerit mengucapkan tahniah sebaik sahaja pasukan juara Piala Suzuki AFF dan pegawai sukan keluar daripada balai ketibaan.

Keghairahan penyokong menyambut kepulangan wira-wira negara menyebabkan tugas polis untuk mengawal keadaan sedikit sukar.

Ketibaan pasukan bola sepak negara disambut oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek dan pegawai-pegawai kanan kementerian.

Penyokong yang gembira meraikan kemenangan mengalahkan Indonesia melambaikan Jalur Gemilang dan berbagai kain rentang menyanjungi kehebatan Skuad Harimau mempertahankan maruah negara.

Pemain bola sepak tersebut terlebih dahulu diberi sambutan selamat pulang oleh kakitangan KLIA sebelum keluar menemui penyokong.

Pada Rabu, pasukan bola sepak negara bimbingan jurulatih K. Rajagopal menjulang trofi kejohanan Piala AFF Suzuki untuk kali pertama selepas menewaskan Indonesia dengan agregat 4-2.

Pada pagi Khamis, pasukan tersebut mendaftar keluar dari Hotal Sultan di Jakarta selepas ‘dikepung’ selama tiga hari untuk pulang ke tanah air.

kepulangan itu disambut lega oleh Rajagopal dan anak buahnya yang tertekan semasa berdepan dengan sikap segelintir penyokong Indonesia.

Kapten pasukan Safiq Rahim menyifatkan perjalanan singkat mereka dari hotel ke Stadium Gelora Bung Karno pada Rabu dengan menainki kenderaan pelindung polis seperti pergi ‘berperang’.

“Ia pengalaman buat saya dan juga pemain-pemain... seperti pergi berperang.

“Bagaimanapun, saya gembira kami dapat mengekalkan fokus kami. Ia adalah pencapaian yang tinggi untuk pasukan muda,” katanya.

Pengurus pasukan, Datuk Subahan Kamal meluahkan rasa bangga dengan pemain pasukannya.

“Mereka telah melakukan yang terbaik. Kami mengjangkakan dapat ke peringkat akhir pada kejohanan 2012. Tetapi, mereka telah menunjukkan semangat berjuang untuk turut ke padang dan memenangi piala tersebut,” kata Subahan.

Pemain tersebut akan berehat sementara sebelum meneruskan permainan pada kejohanan dalam negeri bulan hadapan. -mstar


'RM25,000 setiap pemain'

DUA wira negara, kapten, Safiq Rahim (kiri) dan peledak terbanyak kejohanan, Safee Sali memperaga trofi di KLIA, petang semalam.

BONUS lumayan – sekitar RM25,000 – menunggu wira skuad Harimau Malaya pimpinan K Rajagobal yang mengerah keringat habis-habisan menamatkan kemarau 14 tahun menjuarai Piala Suzuki AFF di Jakarta, kelmarin.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Azzuddin Ahmad berkata presiden persatuan, Sultan Ahmad Shah akan membuat satu pengumuman penting mengenai ganjaran menarik itu setibanya pulang ke tanah air, minggu depan.

“Tuanku seorang yang sangat bermurah hati dan tidak berkira dengan pemain negara. Apa yang pasti bonus bakal diterima pemain kita nanti agak tinggi,” katanya selepas menyambut skuad negara yang pulang ke tanah air, semalam selepas menewaskan Indonesia dalam final di Stadium Gelora Bung Karno.

Angka besar yang bakal menggembungkan kocek pemain negara itu berpandu kepada perkiraan kasar hadiah kemenangan AS$100,000 (RM308,450) andai dibahagikan sama rata kepada 22 pemain serta RM5,000 setiap orang daripada Kementerian Belia dan Sukan dan RM4,000 setiap orang menerusi Tabung Akujanji Ganjaran Skuad Negara setakat ini.

Berpandu kepada kejayaan bersejarah itu, angka itu mungkin bertambah dengan FAM juga mungkin bermurah hati menambah wang sendiri buat menceriakan pemain kebangsaan sebagai satu penghargaan mengharumkan nama badan induk itu di pentas global.

Sementara itu, Azzuddin berkata skuad negara akan dikekalkan namun dalam masa yang sama tidak menutup pintu memasukkan lebih ramai bakat baru pada masa depan. -BH
















foto oleh Rosdan Wahid-nst

Tiada ulasan: