2 Dis 2010

Doktor Palsu Ditahan Selepas Sambut Bayi

Doktor' kena tahan selepas sambut bayi

Gambar hiasan

KAPAR: Seorang lelaki yang menyamar sebagai seorang doktor sejak 2008 dan diburu kerana mencabul seorang pembantu klinik wanita, ditahan selepas menyambut kelahiran seorang bayi di sebuah klinik swasta di Klang Utama di sini.

Bayi terbabit adalah yang ke-10 disambut kelahirannya oleh suspek yang bertugas di klinik swasta terbabit sejak enam bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superintendan Mohamad Shukor Sulong, berkata suspek berusia 41 tahun pada mulanya disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana dipercayai terbabit dalam satu kes cabul seorang pembantu klinik di klinik swasta terbabit.

“Pembantu klinik yang berusia 18 tahun membuat laporan polis pada 15 November lalu mendakwa dirinya dicabul suspek yang berkahwin dengan dua wanita dan mempunyai sembilan anak itu,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Beliau berkata, sebaik menerima laporan itu, polis bergegas ke klinik swasta itu untuk menahannya tetapi gagal kerana suspek dikatakan pulang bercuti di kampung sempena Aidiladha.

“Polis sekali lagi pergi ke klinik swasta terbabit untuk menahan suspek kira-kira jam 11.30 pagi pada 22 November lalu.

“Ketika itu suspek sedang membantu menyambut kelahiran seorang bayi di klinik berkenaan dan selepas tugasnya selesai, polis terus menahannya untuk siasatan,” katanya.

Beliau berkata, polis yang menjalankan siasatan susulan mendapati lelaki terbabit bukan doktor seperti didakwanya, sebaliknya hanya bertugas sebagai pembantu perubatan di sebuah hospital tentera di Melaka.

“Majlis Perubatan Malaysia (MMC) juga mengesahkan lelaki terbabit bukan seorang doktor. Siasatan men-dapati suspek hanya memiliki Diploma Pembantu Perubatan daripada Kolej Pembantu Perubatan, Seremban,” katanya.

Katanya, siasatan juga mendapati, suspek pernah terbabit dalam penipuan sama di Rawang dan Batang Berjuntai.

“Suspek kini ditahan reman untuk siasatan mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menyamar,” katanya. -BH

Tiada ulasan: