26 Nov 2010

Perkahwinan Beramai-ramai - Satu Tren Masyarakat Yaman

Seperti kebiasaan, mengikut budaya Yaman yang sangat konservatif, Muhammed al-Khouja tidak pernah menemui tunangnya.

Pasangan itu telah bertunang hampir dua tahun dan beberapa kali menetapkan tarikh perkahwinan tetapi setiap kali tarikh itu makin hampir, setiap kali itu lah majlis terpaksa ditangguhkan.

Sebabnya? Muhammed tidak mampu untuk menanggung kos perkahwinan, sama seperti kebanyakan lelaki muda lain di Yaman.

Perkahwinan adalah sesuatu yang mahal di negara Arab itu kerana lelaki perlu membayar kepada keluarga wanita yang ingin dikahwini mereka.

Hantaran yang akan dibayar bersama oleh pengantin lelaki dan bapanya selalunya bernilai AS$5,000 (RM15,000) dan keluarga pengantin lelaki juga perlu menanggung semua kos berkaitan perkahwinan.

Jika perkahwinan diadakan di ibu negara Yaman, Sana'a, ini bermakna pengantin lelaki perlu menanggung semua bayaran termasuk sewa khemah besar yang dilengkapi dengan kerusi atau kusyen, sewa kumpulan nyanyian tempatan, memenuhi lorong-lorong berdekatan dengan lampu serta memainkan muzik selama tiga hari.

Kebanyakan pengantin lelaki juga perlu membayar kos mengadakan makan tengahari, yang selalunya melibatkan hidangan kambing, dan menyediakan daun qat kepada tetamu, iaitu daun yang kebiasaannya dikunyah pada majlis perkahwinan di Yaman.

Disebabkan Muhammed tidak mampu menanggung kos perkahwinannya, bapa Muhammed menyuruhnya mengurangkan kos perkahwinan dan berkahwin serentak dengan tiga lagi adik beradik lelakinya, salah satu cara perkahwinan yang semakin terkenal di Yaman, negara Arab termiskin.

1,600 pasangan berkahwin serentak

Dan kini, idea untuk mengurangkan kos itu dilihat berkembang ke satu tahap yang luar biasa apabila sejenis majlis perkahwinan baru wujud akibat kesusahan hidup penduduk Yaman - iaitu perkahwinan beramai-ramai membabitkan antara 10 dan 1,500 pasangan.

Bulan lalu, dalam majlis perkahwinan terbesar yang pernah dianjurkan di Yaman, 1,600 pasangan mengikat tali perkahwinan pada majlis yang dibiayai oleh Putera Arab Saudi, Sultan bin Abdul Aziz.

Kesemua pengantin lelaki yang terlibat dalam majlis itu memenuhi sebuah dewan sukan dengan memakai pakaian tradisional iaitu jubah panjang yang dihiasi dengan selendang berwarna hitam dan hijau yang dipakai di kepala.

Pengantin lelaki Yaman juga akan membawa sebilah pedang panjang berwarna emas pada hari perkahwinan mereka.

"Semua pengantin lelaki ini adalah anak yatim yang menghadapi kesukaran untuk berkahwin kerana tidak mempunyai sokongan kewangan daripada seorang bapa untuk membayar hantaran," menurut penganjur.

Di Yaman, perkahwinan menjadi majlis yang memisahkan lelaki dan wanita dengan pengantin perempuan akan mengadakan majlis sambutan secara berasingan di rumah mereka.

Kemudian barulah pasangan pengantin baru itu akan bertemu pada malam perkahwinan mereka, dan kebanyakan mereka berjumpa buat pertama kali.

Upacara perkahwinan besar-besaran di Yaman itu diserikan dengan tarian di pagi hari, bacaan sajak dan persembahan drama komedi.

Malah, ulama ulung Yaman, Sheikh Abdul Majeed al-Zindani yang dituduh Amerika Syarikat sebagai 'pengganas' juga meluangkan masa menghadiri majlis perkahwinan unik itu.

Kesemua pengantin lelaki kemudian menari dengan mengangkat pedang masing-masing mengikuti rentak lagu popular, sebelum bacaan beberapa ayat al-Quran didengarkan.

Perkahwinan beramai-ramai di Yaman seakan menjadi satu kegilaan dalam masyarakat. Ianya wujud kerana kebimbangan penduduk Yaman bahawa lelaki negara itu yang tidak mampu membiayai perkahwinan akan melakukan maksiat.

Ini kerana persahabatan antara lelaki dan wanita di negara itu sebelum berkahwin dianggap memalukan dan ibu bapa yang bimbang dengan keadaan itu akan mengahwinkan anak masing-masing secepat mungkin.

Perkahwinan korporat

Kaedah perkahwinan beramai-ramai ini diterima baik masyarakat Yaman sehinggakan syarikat swasta menganjurkan majlis itu sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial mereka.

Syarikat telekomunikasi Afrika Selatan, MTN yang menyediakan perkhidmatan rangkaian telefon bimbit di Yaman menganjurkan perkahwinan beramai-ramai secara tahunan bagi pekerja di Yaman sejak beberapa tahun lalu.

Dalam satu majlis terbaru, labih 30 rakan sepejabat berkahwin secara serentak.

Seorang pengurus kanan syarikat itu berkata, matlamat utama mengadakan majlis perkahwinan itu adalah bagi memastikan pekerja kekal setia kepada syarikat dan meningkatkan nilai moral masyarakat.

Bagaimanapun, perkahwinan secara beramai-ramai ini bukanlah hanya menjadi fenomena di Yaman.

Pemimpin Iran kerap menganjurkan perkahwinan sama sejak pertengahan 1990-an lagi bagi membantu golongan susah, mengelakkan orang muda berkahwin pada umur lanjut dan bagi mengelakkan maksiat.

Di Korea Selatan pula, pengasas kontroversi Gereja Unification yang menggelar dirinya sebagai 'pesuruh Tuhan', Paderi Sun Myung Moon sudah mengahwinkan puluhan ribu pasangan muda yang datang dari seluruh dunia.

Kumpulan pejuang Hamas di Palestin juga membantu golongan muda negara itu berkahwin dengan menganjurkan perkahwinan beramai-ramai secara percuma.

Mungkin cara ini juga boleh digunakan di Malaysia, terutama di zaman ekonomi meleset ini.

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Why not? Mohon pihak berkuasa@kerajaan@swasta@whoever yg layak la anjurkan perkara baik ini...saya orang pertama akan daftar anak saya...

she

Tanpa Nama berkata...

kahwin beramai-ramai, kahwin poligami, kahwin muda juga baik, yang tak baik tak kahwin dan buang anak

Tanpa Nama berkata...

jangan poligami sudah, nanti shahrizat marah???