26 Nov 2010

Penampilan Adi Putra Lebih UMNO Dari Keadilan - Merdeka Review

Lebih UMNO daripada KeADILan: Penampilan Adi Putra cungkil pertikaian

"Apa kena-mengena dengan perjuangan parti? Tiada kaitan langsung! Persembahannya tidak mengandungi unsur perjuangan, malah tidak menyuntik semangat untuk perjuangan parti!"

Segelintir anggota terpinga-pinga dengan penampilan Adi Putra (gambar kiri, tengah), genius matematik berusia 11 tahun di Kongres Angkatan Muda Keadilan, pagi tadi. Adi Putra tampil selepas Ketua AMK Shamsul Iskandar Mohd. Akin menyampaikan ucapan dasar beliau, diberi sambutan yang meriah sebermulanya.

Setelah memperkenalkan diri, Adi Putra mempersembahkan bakatnya kepada perwakilan AMK, iaitu keupayaannya untuk menghafal sekumpulan angka digit, dan kemudian diulangi mengikut tertib songsang.

Bagaimanapun, penampilan ini menimbulkan keraguan di kalangan anggotanya, yang tidak faham mengapa ia dimasukkan ke dalam aturcara kongres. "Ia tidak memberi apa-apa makna..." ulas seorang pemimpin AMK ketika berkata kepada MerdekaReview.

Lebih UMNO daripada KeADILan

Mungkin pertimbangan politik di sebaliknya adalah untuk menunjukkan bahawa genius anak Melayu ini turut bersama PKR. Namun, kemungkinan ini disangkal oleh pemimpin AMK yang ditemuramah MerdekaReview, "Beliau (Adi Putra) bukan datang untuk menyatakan sokongan kepada PKR, beliau datang sekadar untuk membuat pertunjukan (show)."

"Malah, jikalau anda mengikuti sajaknya tadi, masih ada ayat-ayat seperti 'Takkan Melayu hilang di dunia ini', 'Wawasan 2020'... Ini lebih UMNO daripada KeADILan-lah!" katanya secara terus-terang.

Seorang lagi pemimpin peringkat cabang menambah, "Apa yang membingungkan, persembahan power point menunjukkan gambar Adi Putra bersama pemimpin seperti Mahathir Mohamad, malah isteri Perdana Menteri Rosmah Mansor! Lebih-lebih lagi, ada orang yang melaungkan 'Reformasi' selepas persembahan Adi Putra!"

"Apa kaitan Adi Putra dengan Reformasi? Dengan sajaknya yang berbau perkauman...apa kaitan Adi Putra dengan Reformasi?" beliau tertanya-tanya.

Penghargaan terhadap remaja

MerdekaReview cuba mendapatkan maklum balas daripada Ketua Penerangan AMK, Lee Khai Loon. Beliau bagaimanapun gagal memberi apa-apa respon kerana tidak tahu-mengetahui dengan "slot Adi Putra" yang diselitkan ke dalam aturcara kongres AMK.

Naib Ketua AMK Khairul Anuar Ahmad Zainudin (gambar kanan) ketika dihubungi MerdekaReview berkata, beliau melihat slot tersebut dirancang untuk memberi penghargaan kepada seorang remaja yang berbakat, tetapi tidak diberi peluang yang sewajarnya dalam ruang arus perdana.

Khairul Anuar menyedari beberapa kenyataan Adi Putra yang berbau perkauman, namun beliau menganggap itu persoalan lain. "Yang penting, beliau pada usia yang begitu muda, berani tampil ke depan untuk bersuara. Soal kita setuju atau tidak dengan pandangannya, itu soal kedua. Kita boleh debat kemudian. Yang penting, beliau bukan sahaja berbakat, tetapi berani untuk tampil dan bercakap, malah lebih berani daripada banyak profesor universiti (yang berdiam diri)." -MR

Tiada ulasan: